Monday, February 2, 2009

Dafi harum di seberang


KETIKA menyertai Akademi Fantasia musim kelima (AF5), seorang pesertanya, Gadaffi (Dafi) Ismail Sabri, 21, dikritik ramai penonton. Sebabnya, pembabitan Dafi dalam rancangan realiti TV itu hanya berbekalkan rupa tetapi tidak bakat.

Dakwaan itu sememangnya pedih untuk diterima orang baru seperti Dafi yang cuba mencari 'tapak' dalam industri seni tempatan.

Bagaimanapun, kerana azam menjadi penyanyi begitu menebal, kritikan diterima tidak sedikit pun melemahkan semangat jejaka berasal dari Petaling Jaya, Selangor itu.

Hampir setahun bergelut dengan rencah dan asam garam dunia seni akhirnya apa diimpikan Dafi berjaya direalisasikan. Pada 14 Disember lalu, sempena hari jadinya yang ke-21, pelancaran album sulungnya, Seumur Hidup dilakukan syarikat rakaman KRU Music.

"Saya puas apabila apa yang ditunggu selama ini berada depan mata. Saya percaya peminat yang selama ini menyokong sejak AF5 hingga sekarang adalah orang paling gembira kerana mereka menanti cukup lama," katanya.

Begitupun, album yang menampilkan lapan lagu termasuk dua ciptaan komposer seberang, turut menerima kritikan apabila ada yang berasakan lagu ditampilkan tidak mengangkat vokal Dafi.

"Sudah saya jangkakan kritikan seperti itu akan timbul tetapi ia perkara biasa. Tidak semua orang suka dengan apa yang kita lakukan. Cita rasa manusia juga berbeza-beza.

"Secara peribadi saya menerima setiap kritikan diberikan dengan hati terbuka. Ada antara kritikan itu boleh digunakan untuk membaiki kelemahan. Saya tidak kata album Seumur Hidup sempurna tetapi ia menepati selera peminat semasa," katanya.

Lebih menarik, jelas Dafi, dia seronok sepanjang proses rakaman kerana turut terbabit secara tidak langsung dalam pemilihan lagu. Lagu pertama dirakamkan Bila Terasa Rindu.

"Bagaimanapun, proses pembikinan agak lambat kerana dua lagu dihasilkan komposer Indonesia iaitu Dua Hati Menjadi Satu ciptaan Yovie Widianto dan Antara Badai ciptaan kumpulan Kerispatih mengambil masa panjang untuk disiapkan.



"Bagaimanapun, saya gembira dengan hasilnya apatah lagi dua lagu ini turut mendapat perhatian syarikat rakaman di sana. Album ini akan dipasarkan di Indonesia di bawah label Sony Music," katanya.



Edaran Seumur Hidup di seberang bukan sesuatu mengejutkan kerana pelajar Universiti Limkokwing ini sudah dikenali apabila lagu Dua Hati Menjadi Satu menampilkan duet bersama Gita Gutawa turut mendapat tempat di hati peminat di sana.

Selain itu, iklan aiskrim Walls yang menampilkan Dafi bersama Gita turut dipaparkan di stesen televisyen di sana. Lebih daripada itu, membanggakan apabila wajah kacak penyanyi ini turut terpampang di papan iklan gergasi di beberapa kawasan utama di Jakarta.

"Semua ini saya anggap rezeki, tetapi kalau ada berpendapat saya sudah berjaya mencipta nama di sana perkara itu masih jauh. Tidak dinafikan sewaktu lagu Dua Hati Menjadi Satu dimainkan di seberang saya sering ke sana dengan mengadakan promosi di beberapa daerah. Itupun hanya seketika.

"Kalau ikutkan hati apabila Seumur Hidup diedarkan di Indonesia, saya mahu memberikan tumpuan dengan mengadakan promosi. Saya tidak kisah terpaksa berulang-alik antara Kuala Lumpur dan Jakarta. Masalah saya sekarang, terikat dengan jadual pengajian yang agak ketat.

"Tahun ini tahun akhir saya mengikuti pengajian dalam bidang muzik dan bunyi. Jadi tumpuan lebih perlu diberikan agar saya dapat menyelesaikan pengajian dengan cemerlang.

"Insya-Allah jika pengajian sudah tamat saya memang mahu memberikan tumpuan penuh pada kerja promosi album di sini dan di seberang. Saya juga tidak keberatan untuk tinggal lama di sana jika diperlukan bagi memastikan album dihasilkan dapat diterima," katanya.

Jelas Dafi lagi, selain albumnya diedarkan di sana, dia juga dirisik produksi di sana untuk membintangi filem terbaru terbitan mereka.

"Syarikat pengurusan saya, KRU Artised and Management kini meneliti kontrak. Kalau ditanya secara peribadi memang saya berminat melakukannya. Jika filem itu nanti dapat memperkenalkan saya kepada peminat di sana apa salahnya?

"Saya sendiri tidak keberatan untuk belajar untuk bercakap dialek Indonesia. Apa saja yang diperlukan bagi membolehkan saya diterima, saya akan cuba lakukan asal saja ia tidak melanggar batas," katanya.

Selain album Seumur Hidup, satu lagi membuatkan Dafi sangat teruja apabila filem lakonan sulungnya, Sayang U Can Dance bergandingan dengan Sharifah Amani dan Samuel Rizal bakal ditayangkan Mac ini.





Profil

Nama Penuh : Gadaffi Datuk Ismail Sabri

Panggilan: Dafi

Umur : 21 Tahun

Asal : Petaling Jaya, Selangor

Tarikh Lahir : 14 Disember 1988

Tinggi : 168 CM

Berat : 65 KG

Hobi : Menyanyi dan Melepak

Penyanyi Idola : Justin Timberlake

Pendidikan: Sedang mengikuti pengajian tahun akhir jurusan bunyi dan muzik di Universiti Limkokwing.

Pencapaian: Menjadi peserta Akademi Fantasia 5 (AF5)

Filem: Sayang U Can Dance

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: