Menjelang usia 21 tahun pada 20 Februari depan, dengan kurang empat tahun bergelar penyanyi, gadis yang berasal dari Barbados, Robyn Rihanna Fenty atau Rihanna mencipta sejarahnya tersendiri.
Dalam tempoh tersebut, dia telah memiliki tiga buah album studio dengan ketiga-tiganya memberi pulangan yang lumayan. Debut perdana yang diberi judul Music of the Sun adalah taruhan yang tepat.
Single Pon de Replay yang disalut dalam jalur reggae dan pop membuat namanya melonjak sebelum album kedua yang menyusul hanya lapan bulan selepas itu menjadikan nama Rihanna semakin dikenali.
SOS yang terkandung dalam A Girl Like Me menjadi 'panas' apabila menduduki tempat pertama dalam carta 100 lagu paling hangat di Australia dan Eropah. Ia disusuli dengan lagu-lagu yang lain seperti Unfaithful dan We Ride yang terus mengukuhkan namanya.
Namun paling mencetus fenomena tentulah lagu Umbrella yang terkandung dalam album ketiganya Good Girl Gone Bad yang lahir pada tahun lalu.
Kemuncaknya, dia diiktiraf dengan pelbagai anugerah termasuk pada Anugerah Muzik Billboard, Anugerah Muzik Amerika, Anugerah Muzik Barbados, Anugerah Teen Choice dan terbaru dinobatkan sebagai pemenang lagu duo/rap terbaik untuk lagu Umbrella menerusi Anugerah Grammy tahun lalu.
Dia sendiri tidak menyangka masa depannya menjadi begitu cerah. Sangkanya, jika tiada sesiapa yang menyedari bakat seni yang ada dalam diri, dia masih lagi bersekolah.
"Mungkin sedang belajar dalam bidang psikologi," begitu kata Rihanna memulakan bicara tentang tuah yang datang bergolek kepadanya pada usia seawal 16 tahun.
Awalnya, anak sulung daripada tiga beradik ini memulakan cita-cita menyanyi dengan menubuhkan trio bersama dua teman sekelas.
Bagaimanapun, rezeki hanya memihak kepadanya sewaktu mereka bertemu penerbit album Evan Rogers yang kebetulan bercuti di kepulauan tersebut bersama isterinya.
Terpesona dengan aura yang dimiliki Rihanna, Evan membawa gadis ini terbang ke Amerika dan bersama Carl Sturken, mereka memulakan 'projek' sebelum Jay Z tertarik dengan kredibiliti Rihanna dan terus menjadikan dia artis naungan Def Jam Recordings.
Nakal bukan jahat
"Kembara ini seperti sebuah cerita dongeng yang menyenangkan," ujar Rihanna menterjemahkan kebahagiaannya menjadi selebriti dalam waktu singkat.
Sejak kelahiran Music of The Sun pada tahun 2005 lagi dia sudah diperhatikan. Namun kemunculan Good Girl Gone Bad nyata telah mengubah persepsi khalayak terhadap kenaifan seorang Rihanna. Dan dia sendiri mengakui hal itu.
Malah perubahan imej yang dilakukan tampak lebih berani. Potongan rambut pendeknya menjadi ikutan. Penampilan yang seksi dan sering mengikut musim juga membuat dirinya dijadikan ikon generasi muda.
"Nakal bukan bermaksud tidak baik. Saya kira setiap orang mempunyai persepsi sendiri terhadap perkataan ini. Dalam kes saya, nakal saya melambangkan sedikit pemberontakan dari segi muzik saya.
"Saya mahu muzik saya tidak lagi dalam satu kotak saja. Saya mahu ia lebih progresif, berada dalam tempo yang laju, ada rasa pop juga rock.
"Sementara dari segi imej pula, saya rasa saya tidak nakal. Hanya dua hal ini (kerjaya dan personaliti), saya belajar untuk mengambil risiko.
"Saya mahu keluar daripada kepompong lama. Saya mahu lebih berani," begitu luah Rihanna mengenai perubahan yang dilakukannya.
Seribu teman lelaki
Kesuksesannya sebagai anak seni membuatkan dia tidak punya banyak masa untuk diri sendiri. Kata Rihanna dalam satu temu bual, 99 peratus masanya kini dihabiskan untuk bekerja. Hanya satu peratus merupakan masa yang digunakan untuk mengurus peribadi.
|
|
Selepas tiga tahun menjadi terkenal, jadual kerjanya begitu padat sehingga mencuri waktu untuk pulang ke kampung halaman dan menikmati hari-hari indah bersama keluarga sudah lama tidak dapat dikecapi seperti dahulu.
Akuinya, dia terlalu merindukan masa lampau. "Saya kini semakin jauh daripada keluarga, teman dan budaya serta masakan ibu.
"Sukar apabila kebanyakan waktu saya kini hanya bersendirian di bilik hotel sambil menanti waktu bekerja.
"Namun dalam setiap kedukaan ini, saya sebenarnya sedang menjalani sebuah pekerjaan yang menakjubkan yang membuatkan saya sampai ke setiap tempat yang dahulu hanya satu mimpi," jelas Rihanna mengenai kehidupan sebagai selebriti.
Tidak terlepas juga, gadis sepopular dan secantik dia, selalu diterjah dengan gosip berkaitan lelaki.
Antara gosip yang paling melekat dengan dirinya adalah hubungan cinta bersama Jay-Z. Dia juga dikatakan telah keluar berpacaran dengan Chris Brown serta beberapa selebriti lelaki lain.
Hanya ketawa sambil memberitahu dirinya masih solo, kata penyanyi yang juga seorang komposer ini, realitinya dia mempunyai begitu ramai teman lelaki.
"Saya hanya punya tiga teman wanita dan beribu-ribu teman lelaki. Saya lebih suka berkawan dan berborak dengan lelaki kerana mereka lebih memahami dan tidak memeningkan.
"Tapi untuk masa sekarang, saya senang dengan status solo," akui Rihanna.
Bagaimanapun dia tidak menolak untuk bercinta apabila bertemu dengan lelaki yang sesuai. Lelaki yang bakal menjadi belahan jiwanya itu, menurut pemahaman dan kehendak penyanyi ini harus mampu membuat dia ketawa, bahagia serta membawa aura yang menyenangkan.
Tolak pembedahan plastik
Selain kehebatannya sebagai seorang penyanyi, hal yang selalu menjadikan Rihanna hangat adalah bentuk badannya yang menggiurkan. Terutama pada bahagian kakinya yang selalu mendapat pujian.
Namun penyanyi yang mempunyai guru senam peribadi ini tidak menyukai kakinya. Biar selalu menyarung seluar pendek atau skirt mini, hakikatnya bahagian kaki adalah bahagian yang paling tidak digemarinya.
"Saya tak suka kaki saya dan berasa tak selesa dengan kaki saya kerana saya melihat kaki perempuan lain lebih cantik," katanya serius.
Namun itu tidak bererti dia mahu melakukan sesuatu termasuk pembedahan plastik yang dianggapnya sebagai tidak perlu buat masa 20 hingga 25 tahun mendatang.
"Saya akan berusaha untuk menjalani kehidupan natural sebaik mungkin," katanya lagi.
Sementara itu, 13 Februari ini bakal melakar sejarah tersendiri buat Rihanna juga peminatnya. Penyanyi fenomena yang menewaskan Beyonce dalam anugerah Muzik Amerika tahun lalu ini bakal menghangatkan Malaysia dengan konsert jelajah perdananya Rihanna Live In KL 2009.
Biar sempat diancam boikot, konsert yang dibawa oleh Pineapple Concert Sdn. Bhd dengan tajaan Celcom ini tetap akan diteruskan. Sementelah penyanyi ini sendiri berikrar untuk tidak melanggar etika yang ditetapkan.
Bakal menghiburkan khalayak dengan untaian lagu hit daripada ketiga-tiga album sebelum ini, Rihanna akan tampil sopan, sesuai dengan budaya Asia.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: