LAGU Ku Pendam Sebuah Duka dan Ku Sangka Siang Kiranya Malam antara karya yang melonjakkan nama penghibur terkenal, Datuk Khadijah Ibrahim atau Khaty di persada hiburan tanah air. |
Pembabitan awalnya dalam bidang seni suara bermula ketika dia mengikut jejak langkah abangnya, Latif dan kakaknya, Sophia yang turut terbabit dalam bidang sama.
Bagi Khaty, minat dan perjuangan muziknya masih belum padam biarpun usia menjengah setengah abad. Apa yang menarik perhatian, bakat suara yang dikurniakan Tuhan padanya masih mantap hingga sering kali mempesonakan penonton.
Kelebihan suaranya bukan hanya pada lagu Melayu tetapi berkemampuan menyampaikan lagu dalam bahasa Inggeris dengan baik. Malah, gandingan bersama Datuk Dr Ahmad Nawab ketika mengadakan persembahan turut memberi kepuasan kepada peminat.
Pada usia 50 tahun, Khaty mampu berbangga kerana sumbangannya dalam dunia seni sejak lebih 30 tahun lalu dihargai menerusi kurniaan pingat Darjah Kebesaran Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk sempena ulang tahun Hari Keputeraan ke-78, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah pada 11 Februari lalu.
Ikuti temu bual wartawan Rap, ELRAFAEI SAPI (ahmadelrafaei@hmetro.com.my) bersama Khaty mengenai perkembangan terbaru, pandangan persada muzik tempatan dan perancangan selepas ini.
SOALAN (S): Tahniah atas anugerah yang diterima. Apa komen Datuk dengan anugerah ini?
JAWAPAN (J): Saya rasa anugerah ini dihargai dan dikongsi bersama semua artis seni tempatan tidak kira apa bidang sekalipun. Sebenarnya, sebelum ini ramai artis kita yang bekerja keras untuk menjayakan pelbagai program khusus membabitkan aktiviti anjuran kerajaan.
Saya berharap anugerah ini memberi semangat kepada saya dan semua artis agar mempertingkatkan kemahiran diri dan terus memberi sumbangan pada persada hiburan negara. Sekian lama saya berkecimpung dalam bidang ini dan kini saya dengan rela hati menerima anugerah besar ini. Sebelum ini, saya berasa bertuah kerana berpeluang menghiburkan ramai peminat termasuk Yang di-Pertuan Agong sejak 30 tahun saya aktif sebagai penyanyi.
S: Adakah Datuk berasa puas apabila perjuangan dan sumbangan selama ini dihargai?
J: Walaupun saya sudah lama dalam bidang ini, saya fikir masih banyak bidang lain yang ingin saya terokai. Mungkin banyak lagi perkara yang belum saya capai. Aspek nyanyian juga boleh dipertingkatkan.
|
S: Apa komen Datuk mengenai pasaran muzik kita?
J: Sebagaimana yang kita semua lihat, pasaran muzik kita masih berada dalam keadaan teruk. Pertama, masalah cetak rompak masih berlaku sejak dulu hingga kini dan kedua, kita kurang promosi yang mampu menggalakkan peminat membeli album artis tempatan.
Jika kita tinjau pasaran muzik antarabangsa seperti Hollywood, mereka juga pernah berdepan dengan masalah cetak rompak tetapi mereka mempunyai strategi promosi yang kuat. Daripada jualan album, mereka turut gunakan wang itu untuk tujuan promosi. Sama seperti artis kita, jika mereka tidak mempunyai promosi yang kuat, album mereka juga sukar untuk dijual di pasaran.
Senario masa kini menyaksikan banyak syarikat rakaman takut untuk menghasilkan album baru. Meskipun kehadiran teknologi digital seperti muat turun lagu menerusi Internet makin menular, apa yang menjadi persoalan adakah artis itu sendiri mendapat bayaran atau royalti dari jualan sebegitu. Sebagai contoh, album baru saya, Mutiara yang sudah berada di pasaran sejak tiga bulan lalu memuatkan lagu kompilasi saya sebanyak 30 lagu. Jika satu lagu hanya bernilai RM1, berapa banyak jumlah yang saya boleh dapat. Ketika ini, artis kita perlu turun padang melakukan aktiviti promosi sendiri. Jika ada persembahan, mereka boleh gunakan peluang itu sebagai usaha mempromosikan dan menjual album mereka sendiri.
S: Apa perancangan selepas ini?
J: Selepas konsert saya yang diadakan di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), Kuala Lumpur pada November lalu mendapat sambutan memberangsangkan daripada peminat hingga semua tiket habis dijual, saya berhasrat untuk mengadakan konsert di Singapura pada Januari tahun depan.
Selain itu, saya bercadang membuka restoran sendiri iaitu Khadijah’s Kitchen di luar negara seperti di Frankfurt, Paris dan New York. Sebelum ini, saya menjalankan perniagaan restoran di Petaling Jaya yang sudah beroperasi sejak tujuh bulan lalu dan saya syukur kerana sambutan yang diterima daripada pengunjung amat menggalakkan. Usaha saya membuka restoran di luar negara untuk memperkenal dan memartabatkan makanan Melayu di peringkat antarabangsa.
Saya kini sibuk membuat persiapan dari segi menu istimewa untuk dijual kepada pengunjung. Pada masa sama, saya juga akan mengadakan persembahan nyanyian sebagai hiburan. Dulu, ketika saya menetap di New Zealand selama 12 tahun dan lapan tahun di New York, saya ada terfikir untuk membuka restoran di New York.
Namun, dua hari sebelum saya kembali ke New York, berlaku peristiwa 11 September yang menyaksikan bangunan World Trade Centre runtuh akibat serangan pengganas. Saya bernasib baik kerana ketika itu belum lagi menjelaskan bayaran untuk restoran berkenaan.
Menariknya, perniagaan restoran ini masih mendapat perhatian ramai yang ingin mencuba sesuatu yang baru. Sebelum ini saya lihat, walaupun ada restoran makanan Melayu dibuka di luar negara tetapi ada makanan yang dijual bukan makanan asli Melayu. Untuk itu, saya berusaha bawa makanan asli Melayu seperti nasi lemak dan asam pedas ke luar negara.
Saya percaya orang kita mampu berniaga restoran di luar negara. Kerjasama dengan Kementerian Pelancongan Malaysia turut membantu mempromosikan pelbagai produk tempatan ke sana hingga kita juga boleh memperkenalkan makanan dari bangsa lain untuk meraih perhatian masyarakat dunia.
S: Apakah selepas ini Datuk akan mengurangkan aktiviti nyanyian, sebaliknya fokus pada perniagaan restoran?
J: Walaupun saya bercita-cita untuk berniaga restoran ketika ini tetapi nyanyian masih menjadi fokus utama. Buat masa ini, saya turut sibuk untuk mengadakan persembahan bersama Kementerian Pelancongan Malaysia di Berlin dan Amsterdam pada bulan depan.
Pada persembahan itu, saya akan menyampaikan lagu Malaysia Truly Asia ciptaan Ahmad Nawab. Menariknya, lagu ini masih mendapat perhatian ramai kerana gabungan instrumen seperti seruling dan gambus memberikan tarikan. Malah, lagu ini satu penghormatan pada Ahmad Nawab yang mengangkat identiti negara menerusi lagu ciptaannya.
Persembahan ini dianggap istimewa dan berbeza kerana masyarakat antarabangsa juga berpeluang mengenali budaya tempatan yang turut dipersembahkan. Selain itu, saya bercadang mahu menghasilkan album baru yang diambil dari rakaman secara langsung pada konsert di DFP yang lalu.
S: Sampai bila Datuk ingin menyanyi?
J: Sebenarnya, saya tidak mempunyai sebarang perancangan untuk bersara. Saya hanya ikut rentak perjalanan seni saya. Sejak lebih 30 tahun terbabit dalam bidang hiburan, saya belum terfikir untuk bersara. Apapun, saya bersyukur kerana doa peminat saya selama ini memberi peluang pada saya untuk menerima anugerah ini. Saya tidak bermimpi untuk terima sebarang anugerah. Harapan saya lebih ramai artis kita mendapat pengiktirafan seperti ini kerana ramai yang berkerja keras untuk membangunkan bidang hiburan tanah air.
S: Apa komen Datuk, artis kita sukar cari makan jika sekadar menjadi penyanyi?
J: Itu terpulang pada mereka. Jika mereka tidak khayal dengan dunia glamor sebagai penyanyi, mereka boleh berjaya dan dapat yang mereka mahukan. Seharusnya penyanyi kita ambil peluang bidang ini untuk menceburi bidang lain seperti saya yang membuka perniagaan restoran.
Sebelum ini, saya turut mempunyai minat untuk belajar hingga berjaya mendapat Diploma Hiasan Dalaman daripada Fesyen And Design College Of Peterborough, New Zealand. Ketika ingin membuka restoran di New York dulu, saya juga berhasrat untuk sambung belajar. Daripada pengalaman saya ketika berada di luar negara dulu, saya hormati bagaimana mereka yang sudah berusia emas masih bersemangat untuk belajar.
Mungkin selepas ini saya berpeluang untuk sambung belajar dan pada masa sama, saya ingin membuka rangkaian perniagaan lain seperti kedai kek yang secara tidak langsung dapat membantu ibu tunggal terbabit sama.
S: Bagaimana pula dengan bakat penyanyi muda?
J: Ramai penyanyi muda berbakat tetapi mereka perlu mempunyai arah tuju pada perjuangan muzik mereka. Seseorang perlu tahu bagaimana muzik sebagai satu cabang perniagaan dapat dikembangkan. Saya sendiri melakukan perancangan sebelum persembahan hingga adakan post mortem sebaik ia selesai.
Namun, sikap sebegini jarang ada pada artis muda kita. Bagaimanapun, saya terbuka untuk bekerjasama dengan mereka selain saya sudi untuk berkongsi ilmu pengetahuan dan pengalaman saya sebelum ini.
S: Harapan Datuk mengenai masa depan bidang muzik dan juga hiburan secara keseluruhan?
J: Bidang muzik masih belum berkembang secara meluas dan bantuan tidak mencukupi untuk membantu artis kita. Jika di Taiwan mahupun Hong Kong turut berdepan dengan masalah cetak rompak tetapi mereka berupaya menangani masalah ini. Walaupun masalah ini bersifat global tetapi saya berharap kerajaan dapat mempertingkatkan aspek penguatkuasaan.
Saya juga sedih kerana penyiaran TV untuk artis kita berkurangan dan terhad. Hanya artis popular yang sering muncul di TV. Kita seharusnya memberi peluang pada semua artis tanpa mengira usia atau berbilang bangsa mendapat pendedahan dengan program TV.
Saya berharap stesen TV kita dapat menukar cara atau memberi nafas baru pada program mereka yang memberi peluang pada ramai artis untuk bekerjasama. Sebelum ini saya terbabit dengan satu konsert Palestin untuk siaran RTM dan saya berpendapat ia adalah persembahan paling menarik kerana menggabungkan ramai penyanyi.
Menerusi persembahan seperti ini, saya berharap kita dapat adakan persembahan hiburan pada setiap minggu. Ini boleh menggalakkan orang ramai khusus golongan remaja tidak terjerumus dengan gejala tidak sihat. Dulu, masalah sosial remaja berkurangan kerana ketika itu, banyak persembahan dan aktiviti hiburan diadakan pada setiap minggu.
Mungkin kerana kurang aktiviti hiburan seperti ini, remaja kita mudah terbabit dengan pelbagai masalah sosial. Banyak lagi aktiviti sihat dapat kita buat dan ia turut memberi rezeki pada artis kita untuk aktif mengadakan persembahan pentas.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: