TANGGAL 14 Februari cukup sinonim dengan sambutan Hari Kekasih yang diraikan di hampir seluruh dunia. |
Ia juga menjadi detik paling bermakna dalam hidup Datuk Irwan Shah atau lebih dikenali sebagai DJ Dave kerana setiap kali menjelang tarikh itu beliau turut meraikan ulang tahun kelahirannya.
Dilahirkan pada 14 Februari 1948, penyanyi kelahiran Tanjong Malim, Perak ini mengambil kesempatan mengadakan majlis ulang tahunnya yang ke-61 pada Sabtu lalu.
Bertempat di Dewan Utama Kayangan, Hotel Quality, Shah Alam, penghibur terkenal dengan lagu Ingin Bersua ini meraikan hampir 200 insan kurang bernasib baik di hari penuh bersejarah itu.
Lima persatuan yang diundang adalah Persatuan Kebajikan Anak-Anak Pesakit HIV/Aids Nurul Iman Malaysia (Pernim), Persatuan Kanak-Kanak Cacat Akal Selangor & Wilayah Persekutuan (SARC), Persatuan Ibu Tunggal Jalan Klang Lama, Rumah Anak Yatim Rekta dan Yayasan Tara.
Sudah menjadi tradisi atau satu kemestian bagi DJ Dave meraikan ulang tahun kelahirannya bersama insan yang kurang bernasib baik setiap tahun.
"Golongan ini cukup dekat di hati saya. Malah, pernah berlaku satu peristiwa di mana pada 14 Februari 1975, saya meletakkan jawatan serta-merta dari Pos Malaysia.
"Ini berikutan gara-gara majikan saya enggan meluluskan permohonan cuti sedangkan saya diundang menyanyi dalam sebuah persembahan amal bersempena Hari Kekasih yang juga jatuh pada ulang tahun saya yang ke-27. Sejak dari kejadian itu, saya terus menjadikannya acara tahunan.
"Saya juga mahu berkongsi kegembiraan dengan mereka yang kurang bernasib baik. Disebabkan itu, saya memilih hotel sebagai lokasi melangsungkan majlis ulang tahun supaya dapat menjemput seberapa ramai penghuni dari persatuan kebajikan.
"Dengan cara itu mereka bukan saja dapat berhibur dengan atur cara yang disusun, sekali-sekala dapat juga menikmati hidangan lazat disediakan pihak hotel.
"Jika tidak menganjurkan majlis sekalipun, saya kerap melawat mereka di persatuan masing-masing. Pendek kata, saya mahu memberi peluang kepada mereka nikmati hidup seperti orang biasa," katanya.
|
Melalui cara ini, dia dapat memupuk kesedaran pada anak-anaknya untuk lebih menghargai kehidupan tanpa mengenepikan insan yang kurang bernasib.
Harapannya agar pembabitan dalam kerja amal akan diteruskan putera-puteri kesayangannya, Shazdarween dan Davina Farhana suatu hari nanti.
DJ Dave menambah, golongan kurang upaya cukup dekat di hatinya.
Bahkan kata-kata suntikan dan rangsangan seorang kanak-kanak lelaki cacat anggota badan yang ditemui pada 1971 tanpa disangka mengubah hidupnya.
"Saya masih ingat lagi, saya menemuinya ketika menjayakan sebuah program khas hari raya terbitan RTM yang meraikan kanak-kanak di sebuah rumah kebajikan di Cheras.
"Waktu itu saya masih kakitangan Pos Malaysia dan bukan penyanyi profesional. Saya menghiburkan mereka dengan sebuah lagu Hindustan, Gusta Hi Maaf atau maksudnya, Maafkanlah.
"Berbalik pada cerita kanak-kanak itu tadi, dia menghampiri saya dan bertanya kenapa tidak menyanyikan lagu itu dalam bahasa Melayu sedangkan lagu dan suara saya sedap.
"Selesai majlis itu, saya pulang ke rumah dan seharian tidak dapat tidur. Kata-katanya masih terngiang-ngiang dan merangsang saya untuk menjadi penyanyi dan menghasilkan album.
"Sejak dari itu saya mengikuti uji bakat namun, percubaan pertama tidak berjaya. Enam bulan kemudian saya mencuba lagi dan uji bakat kedua yang diadakan di Life Studio, Petaling Jaya berjaya," katanya.
Bertitik-tolak dari kejayaan itu, dia merakamkan album EP yang memuatkan empat lagu
di mana tiga daripadanya Ku Tak Ingin Menangis Lagi, Menangis Dalam Gelita dan Harum Kembang.
Manakala, Maafkan adalah lagu saduran, Gustahimaaf yang dialih ke bahasa Melayu. Tanpa diduga lagu itu menjadi sangat hit. Ia menduduki tangga teratas carta Radio 1 RTM (sekarang Klasik Nasional) selama 13 minggu berturut-turut serta bertahan selama enam bulan.
"Saya tidak akan melupakan budak itu dan berterima kasih padanya. Nyata kehidupan saya lebih baik sejak menceburi bidang seni," katanya.
Berhubung perubahan frasa kehidupan dan perancangan terbarunya, DJ Dave yang pernah menghasilkan album Kini Ku Menangis Lagi, Engkau Bayangan Hidupku, Biar, Anak Siapa (Di Jalanan), Ku Serba Salah, Pesanan dan Aku Masih Begini mahu meluaskan cabang perniagaan dan merakamkan album terbaru.
"Sebelum ini syarikat saya menguruskan hal-hal berkaitan dengan pembinaan. Bagaimanapun, di samping meneruskan perniagaan yang sedia ada, saya mahu menimba pengalaman baru dengan meneroka perniagaan biodiesel.
"Saya mahu mengusahakan penanaman pokok jarak atau Jatropha Curcas yang boleh digantikan sebagai bahan bakar untuk kenderaan. Ladang pokok jarak berkemungkinan diusahakan di Kemboja.
"Berhubung pembikinan album baru, saya sepatutnya merakamkan album bersama Hetty Koes Endang. Bagaimanapun, penyanyi itu terpaksa tarik diri atas masalah peribadi.
"Justeru, sekarang ini penerbit album masih mencari artis yang sesuai untuk digandingkan bersama saya. Jika semuanya berjalan lancar, dalam masa tiga ke empat bulan lagi saya akan memasuki studio rakaman," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: