Wednesday, February 18, 2009

Almy 'puja hantu'


SEJAK mula membintangi filem Nana Tanjung pada 2006, pelakon Almy Nadia Aminuddin Shah makin dikenali ramai. Malah, sejak itu dia menerima banyak tawaran berlakon sama ada filem mahupun drama.

Baginya, percubaan berlakon sejak tiga tahun lalu berhasil apabila lakonannya diingati peminat walaupun sekadar memikul watak pembantu.

Drama bersiri Dunia Baru yang turut dijadikan versi filem yang ditayangkan tahun lalu antara yang melonjak namanya sebagai pelakon berbakat besar.

Kata pelakon berusia 22 tahun ini, dia puas berlakon apabila mendapat pelbagai watak berbeza dan menariknya, ia mencabar untuk menonjolkan bakat dalam diri.

Menimba pengalaman baru, Almy kini terbabit dengan drama bersiri sebanyak 13 episod, Jangan Pandang Belakang arahan Abdul Azizi Awang Ghazali yang menjalani penggambaran di sekitar Banting, Selangor baru-baru ini.

Drama genre seram ini yang mengambil judul filem Jangan Pandang Belakang menyaksikan dia membawa watak antagonis bernama Mawar.

Kata Almy, watak kali ini berbeza dengan watak yang pernah dilakonkan kerana kali ini, dia turut dikehendaki melakonkan adegan pemujaan hantu. Menceritakan pengalaman menarik di lokasi, dia perlu menghayati watak ini dengan mendalam hingga hilang suara dan tidak sedarkan diri.

"Watak saya adalah anak pada Wak Hitam (lakonan Wan Hanafi Su) yang berdendam dengan Tok Lang. Sebagai anak, saya juga berdendam kepada Tok Lang dan mahu hasrat bapa saya terlaksana.

"Untuk watak ini, saya perlu kelihatan jahat dengan wajah hitam dan hodoh. Walaupun dalam diam, Mawar meminati Syakir (Ashraf Muslim) iaitu anak Tok Lang tetapi atas hasrat mahu membalas dendam, dia menjadi jahat. Sepanjang melakonkan watak ini, saya anggap ia cabaran besar pada diri hingga klimaks saya hilang suara.

"Mungkin kerana saya perlu melakonkan dua karakter dalam satu masa iaitu ada ketika Mawar menjadi baik, saya bertambah penat hingga hilang suara. Lebih mencabar, saya berlakon di tempat yang dikatakan penduduk sekitarnya 'keras' kerana ada penunggu.




"Bagaimanapun, saya seronok sepanjang berlakon drama ini apatah lagi bergandingan bersama Wan Hanafi yang mempunyai banyak pengalaman lakon dan cukup dihormati. Walaupun penonton akan melihat perkembangan watak Mawar pelahan tetapi ia meninggalkan kesan mendalam pada saya," katanya.

Almy akui pengalaman menjadi antagonis kali ini adalah kali pertama walaupun dia pernah melakonkan karakter gadis nakal menerusi drama Dunia Baru. Dia turut menjelaskan Mawar terbabit dengan amalan pemujaan dan membela saka yang diwarisi daripada bapanya.

"Saya tidak menjerit tetapi diminta bermain emosi seperti menangis. Bayangkan bagaimana saya perlu menangis dalam rumah ketika suasana sangat sejuk hingga secara tiba-tiba saya tidak sedarkan diri tetapi kru kata saya menjerit dan menangis. Ketika itu, kami baru selesai makan malam dan saya tidak tahu macam mana saya boleh tidak sedarkan diri.

"Ada satu adegan yang memerlukan saya memuja bayi berusia dua bulan dalam hutan. Adegan itu dibuat malam dan suasana ketika itu memang sejuk dan menyeramkan. Orang kampung di situ juga bertanyakan pada kami bagaimana berani untuk mengadakan penggambaran di situ.

"Saya bersyukur semua pelakon dan kru selamat walaupun ada antara kami yang menggigil dan saya sendiri tidak boleh tidur malam selepas habis penggambaran. Ketika adegan itu, saya sekali lagi tidak sedarkan diri dan hanya beberapa kru yang perasan keadaan saya ketika itu.

"Anehnya, dalam rumah tinggal yang kami jadikan rumah Wak Hitam, suasana dalam rumah nampak cantik walaupun tiada penghuni.

"Selain itu, saya juga diminta berendam dalam sungai jam 7 pagi untuk satu adegan. Ia memang mencabar kerana sejuk dan anggota badan saya juga hampir kejang.

"Meskipun ada rasa takut dalam diri ketika membintangi drama ini tetapi saya anggap ia adalah pengalaman berharga dan menyeronokkan untuk saya.

"Saya sebenarnya puas bila berlakon watak sebegini. Jika mempunyai peluang lain selepas ini untuk membawa karakter sebegini, saya sanggup mencuba sekali lagi," katanya.



>Profil

NAMA: Almy Nadia Aminuddin Shah

TARIKH LAHIR: 27 April 1986

ASAL: Ipoh, Perak

FILEM: Nana Tanjung, Dunia Baru The Movie, Bisikan Ablasa, Skrip 7707

dan Jangan Tegur

DRAMA: Janji Kekasih, Dunia Baru, Jelatang, Mat Jenin, 25 Hari Menghitung Duka, Rumah Mak, Mertua VS Menantu dan Jangan Pandang Belakang

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: