Wednesday, February 18, 2009

Saiful Apek Tepis khabar angin


BERSAMA Aaron Aziz yang menjadi sahabatnya dalam filem Shhh... Dia Datang.

Usaha sama terbitkan program TV bukti hubungan Saiful Apek, Noradz Production tiada masalah

TERSENTAK juga Saiful Apek apabila timbul cerita kononnya dia seorang yang tamak apabila mengambil peluang mengarahkan filem Shhh... Dia Datang pada tahun lalu.

Apatah lagi apabila dia mengaku tiada masalah yang timbul sepanjang pembikinan filem terbitan Noradz Productions Sdn Bhd itu.


Dilancarkan Februari 2008, filem Shhh... Dia Datang kini sudah bersiap sedia untuk memasuki panggung. Filem bergenre komedi itu akan dihantar kepada penapisan filem penghujung bulan ini, dan dikatakan bakal menemui penonton seluruh negara pada Mei atau Jun nanti.

"Semua cerita yang keluar mengenai saya termasuk dikatakan tamak dan sebahagiannya pula mendakwa saya hanya akan mengarahkan produk untuk televisyen adalah provokasi semata-mata. Memang saya ada dengar macam-macam cerita yang timbul ketika dan selepas tamat saya mengarahkan filem itu.

"Tetapi, kita tunggulah apabila filemnya keluar nanti. Biarlah semua pihak menontonnya terlebih dulu sebelum mereka mempercayai apa yang diperkatakan itu. Kononnya, cerita ini terlalu panjang, kononnya juga kualiti tidak memuaskan dan ada pula cerita kononnya sebahagian babak terpaksa dirakam semula. Padahal semua itu tidak benar. Kita sama-sama tunggu apabila Dia Datang menemui penonton di pawagam," ujar Apek ketika ditemui baru-baru ini.

SAIFUL dan Adzhar terus menjalinkan kerjasama.

Apek memberitahu, filem berkenaan pada peringkat akhir proses suntingan dan hanya tinggal dua peratus saja lagi proses pasca penerbitan perlu dilakukan sebelum Dia Datang akhirnya dapat memasuki panggung, sedikit masa lagi.

"Pendek kata, filem itu sudah pun siap. Penerbitnya, Datuk Adzhar Sulaiman sendiri sudah menontonnya. Nampaknya, dia gembira dengan hasilnya. Jadi, bagaimana pula timbul cerita kononnya produser tidak berpuas hati dengan kerja saya? Saya sendiri pun bersetuju mengarahkan filem itu setelah ditawarkan oleh pihak Datuk (Adzhar).

"Jika hubungan kami tidak baik, tentu saya tidak dapat bekerjasama bersama dengan Noradz, seperti program televisyen Hua Hua Hua. Program setengah jam untuk siaran di Astro Ria itu dihasilkan secara usaha antara Noradz dan Gitu-Gitu Productions Sdn Bhd milik saya," katanya.

Menurutnya, Astro sendiri sudah menyatakan hasrat mereka untuk menayiarkan musim kedua rancangan terbabit bermakna sekali lagi usaha sama itu akan diteruskan antara dua syarikat berkenaan.

BAKAT baru, Airis Yasmin berlakon sebagai gadis kampung yang datang ke kota untuk menjadi pelakon.

Begitu juga kerjasama itu akan diteruskan apabila Noradz bercadang untuk menghasilkan siri kedua filem Shhh...Dia Datang, yang kemungkinan besar memulakan penggambaran pada penghujung tahun ini. Kali ini, ia bakal tampil dengan judul Dia Datang Lagi.

'Memang susah buat filem'

BERCERITA mengenai filem pertama arahannya itu, Apek mengaku proses berkenaan agak mencabar walaupun dia sudah berpengalaman dalam pengarahan beberapa rancangan televisyen.

Lebih-lebih lagi, pelakonnya terdiri daripada aktor dan pelawak yang memang dihormati olehnya.

"Memang agak susah juga apabila ramai pelakonnya terdiri daripada mentor saya. Namun, mereka sentiasa bersedia untuk memberikan kerjasama sepenuhnya bagi menjayakan projek berkenaan. Lalu terhasillah sebuah filem yang saya nampak cukup jujur," jelas pelakon komedi popular ini.

Antara pelakon yang menjayakan filem ini, selain Apek sendiri ialah Aaron Aziz, Shukery Hashim, Kuna, Khatijah Tan, Zami Ismail, Ahmad Busu, Imuda, Datuk Jalaludin Hassan dan Airis Yasmin.

Apek memberitahu, filem yang dirakam menggunakan dua kamera sekali gus itu menggunakan rasa sebagaimana yang dipersembahkan dalam filem klasik, Seniman Bujang Lapok.

"Ia antara lain memaparkan sebuah penggambaran yang berlaku dalam penggambaran lain. Kononnya beberapa watak dalam filem ini ingin menghasilkan filem berjudul Samseng. Dalam usaha mereka hendak menghasilkan filem itu, timbullah pelbagai insiden lucu membabitkan produser yang berstatus Datuk dan Datin, pekerja filem, pengarah serta pelakon barunya," kata Apek yang mengembangkan cerita asal oleh Adzhar sendiri.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: