|
|
APABILA mendengar lagu rancak, kaki bergoyang terasa hendak menari tetapi Lisdawati Nazarudin (Lis), 30, dan suaminya, Fauzi Nawawi, 36, yang baru menjuarai program Sehati Berdansa musim kedua, 3 Januari lalu tidak terfikir untuk menjadikan tarian sebagai profesion kedua selepas lakonan. |
Lis juga tidak menyangka ada pihak mengundang mereka untuk membuat persembahan tarian tetapi terpaksa ditolak kerana itu bukan keutamaan mereka.
"Mereka mahu kami menarikan tarian Bollywood tetapi untuk mempersembahkan semula apa yang kami paparkan dalam Sehati Berdansa bukan senang. Kami perlu belajar dan berlatih semula, lainlah jika kami penari profesional.
"Sebelum menyertai Sehati Berdansa, kami tidak tahu menari jadi untuk melakukannya semula susahlah sikit apatah lagi mengingat langkah setiap tarian itu. Kalau kami hendak menari juga terpaksa berlatih semula dengan koreografer kami dulu, Rey (Redzuan Awang).
"Belajar menari dengan Rey bukan senang kerana kami bermula dengan kosong. Hendak melembutkan badan pun terasa macam hendak patah pinggang. Fauzi pun tak pandai menari tetapi dia cepat belajar.
"Saya tidak berminat jadi penari, untuk suka-suka dan sebagai senaman bolehlah. Apapun saya ucapkan terima kasih kepada mereka yang sudi menjemput kami menari pada majlis mereka," katanya.
Sebagai juara, Lis dan Fauzi berjaya membawa pulang hadiah lumayan bernilai lebih RM150,000 berupa kereta Kia Optima, pakej
percutian ke Eropah Tengah iaitu Switzerland, Jerman, Belanda, Belgium, Perancis dan London selain barangan hamper Silky serta trofi.
Rey pula menerima habuan percutian ke Jepun dengan melawat destinasi menarik seperti Kyoto, Toyohashi, Gunung Fuji, Tokyo, hamper Silky dan trofi. Rumah Nur Salam yang mereka wakili mendapat sumbangan RM15,000.
Lis dan Fauzi akan bercuti awal Mac ini dengan membawa bersama anak sulung mereka, Nur Aini Farhana, 8 bulan.
"Tak sabar hendak ke Eropah kerana saya belum pernah ke sana. Saya amat teruja melihat keindahan dan bentuk muka bumi negara Eropah menerusi akhbar dan televisyen. Saujana mata memandang.
"Paling jauh saya pernah pergi ialah ke Australia masa bujang dulu. Kali ini saya dapat bercuti jauh bersama suami dan anak. Bulan madu kali kedua nampaknya.
"Bulan madu pertama selepas berkahwin kami ke Bali dan sedang mengandungkan Farhana. Kali ini Farhana dapat bercuti bersama pula. Itulah kuasa Allah.
"Tiga pasangan lagi yang saya anggap terima hadiah paling besar dalam Sehati Berdansa, Khai dan Rosma; Penyampai Sinar FM, Jamaludin dan Mazin serta isteri mereka. Pada penghujung program Rosma disahkan hamil.
"Begitu juga isteri Jamaludin dan Mazin. Masing-masing bakal menimang cahaya mata. Anak masih kecil lagi untuk saya hamil kali kedua. Namun, jika Allah hendak bagi (anak) lagi saya terima.
"Ada juga kawan untuk Farhana. Saya membawanya bercuti sama kerana dia masih menyusu badan. Tak sampai hati pula hendak meninggalkan Farhana bersama neneknya. Walaupun belum mengerti tetapi dia boleh melihat gambarnya di sana apabila besar nanti.
"Farhana pun tidak banyak ragam. Dia sudah pandai mencapai barang dan saya tidak sabar melihatnya berjalan. Sekarang pun dah pandai mengengsot ke sana ke mari dan menendang. Manjanya bukan main maklum saja nenek yang menjaganya," katanya.
Jelas Lis, mereka sudah membuat persiapan untuk bercuti kerana membawa anak kecil, segala keperluannya perlu diambil kira. Tambahan pemergian mereka ke sana pada musim sejuk. Hadiah lain seperti kereta mereka belum dapat lagi.
"Ini semua rezeki anak, siapa sangka boleh menang kerana kami berdua kaki bangku," katanya.
Dengan menyertai Sehati Berdansa juga Lis berjaya mengurangkan berat badan walaupun sukar mengawal nafsu makan.
"Menari memerlukan stamina dan selama 10 minggu menyertai Sehati Berdansa saya kuat makan. Kalau tidak makan tak cukup tenaga untuk menari. Pun begitu, berat badan menurun sedikit kerana banyak melakukan pergerakan.
"Waktu sama saya dilantik jurucakap pusat kesihatan Slim World sebab itu boleh kurus semula selepas melahirkan Farhana," katanya.
Tidak lama lagi Lis akan sibuk di lokasi penggambaran drama episod berjudul Matahari terbitan Ziela Jalil. Drama itu akan mengisi slot Akasia di TV3. Menerusi drama itu dia pegang watak penari.
"Untuk menghayati watak itu saya terpaksa belajar menari semula. Mulanya babak saya menari dalam drama itu sikit saja tetapi selepas menyertai Sehati Berdansa, Ziela tambah lagi babak menari jadi banyak.
"Saya akan berlatih semula bersama Rey kerana kami sudah serasi. Rasanya latihan kali ini tidak susah sangat kerana sudah ada pengalaman cuma kena gilap balik.
"Fauzi juga sedang menjalani penggambaran untuk Astro dan TV3 sambil menunggu tawaran baru. Buat masa ini dia tidak mengarah drama," katanya yang baru-baru ini mengadakan majlis doa selamat di rumahnya. Penghuni rumah turut Nur Salam diundang sama.
Menyentuh 'perbalahannya' dengan Amyza Adnan yang turut menyertai Sehati Berdansa, jelas Lis dia tidak bergaduh dengan sesiapa.
"Azam saya untuk terus bekerja keras mencari rezeki dan tak ada masa hendak bergaduh dengan sesiapa. Saya tidak mahu mencetuskan masalah dengan sesiapa.
"Bagaimanapun, apa tanggapan orang, itu di luar pengetahuan saya. Apa yang berlaku saya anggap asam garam dalam kehidupan," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: