Wednesday, June 1, 2011

Silverchair bubar


TRANSFORMASI wajah tiga anggota SilverChair sepanjang dua dekad kumpulan itu bergiat aktif dalam dunia muzik.


KHABAR buruk bagi para peminat band asal Australia, Silverchair. Band dengan lagu hit, Anthem for the Year 2000 tersebut memutuskan untuk bubar setelah bersama hampir 20 tahun. Keputusan ini diumumkan di laman sesawang resmi mereka Chairpage.com, pada 25 Mei lalu. Dalam pernyataan tersebut, Daniel Johns, Chris Joannou, dan Ben Gillies memberitahu, keputusan tersebut tidak mudah. Sementelah mereka berusaha keras untuk tetap bersama.

“Kami membentuk Silverchair hampir 20 tahun lalu ketika kami berusia 12 tahun. Hari ini kami berdiri dengan aturan yang sama seperti dahulu. Jika band sudah tidak boleh bersatu dan tidak kreatif lagi, maka kami perlu berhenti,” tulis pernyataan bersama tiga anggota Silverchair itu.

Pada tahun 2009, Silverchair masuk studio untuk menjalani rakaman album baharu. Pada mulanya, semua berjalan baik dan band tersebut sempat melakukan beberapa persembahan pada tahun lalu. Namun, dalam bulan-bulan berikutnya semakin jelas bahawa anggota Silverchair mula bergerak ke arah yang berbeza.

Dalam pernyataan tersebut juga disebutkan, Silverchair tidak akan membuat muzik atau tampil bersama dalam waktu terdekat. Mereka sebaliknya ‘bekerja’ untuk perkara yang mereka suka buat masa ini.

Tambah pernyataan itu: “Kami memahami kalian (peminat) kecewa dengan berita ini. Namun kami benar-benar melihatnya sebagai langkah yang positif dan bebas bagi kami saat ini.”

Pelan damai Libya lebur


GAMBAR yang disiarkan oleh pentadbiran Afrika Selatan semalam menunjukkan Presiden Jacob Zuma duduk bersama pemimpin Libya Muammar Gaddafi (kanan) semasa pertemuan mereka di Tripoli.


TRIPOLI - Muammar Gaddafi menegaskan beliau tidak akan meninggalkan Libya, kata Presiden Afrika Selatan Jacob Zuma selepas berunding dengan pemimpin Libya tersebut semalam, sekali gus menjadikan prospek untuk menamatkan krisis di Libya secara aman tipis.

Namun, persoalan baru timbul berhubung berapa lamakah Gaddafi dapat bertahan selepas seorang pegawai bantuan kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, kekurangan makanan dan ubat-ubatan di kawasan yang dikuasai Gaddafi semakin meruncing.

Beberapa jam selepas Zuma meninggalkan bandar ini lewat kelmarin, televisyen Libya melaporkan bahawa jet-jet pejuang Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) kembali melancarkan serangan.

Serangan terbaru itu mengenai beberapa lokasi awam dan tentera di Tripoli dan bandar Tajoura, di timur ibu kota Libya berkenaan.

Zuma berada di Tripoli dalam usaha untuk menghidupkan semula pelan damai anjuran Kesatuan Afrika (AU) bagi menamatkan konflik di Libya.

Konflik tercetus pada Februari lalu selepas rakyat Libya bangkit menentang Gaddafi yang kemudiannya merebak menjadi perang yang mengorbankan beribu-ribu orang.

Rundingan antara Zuma dan Gaddafi bagaimanapun menemui jalan buntu.

Pemimpin Libya itu enggan meletak jawatan dan menyukarkan proses damai. Ini kerana pemberontak dan NATO mahu beliau berundur sebelum sebarang gencatan senjata boleh dikuatkuasakan di negara Afrika Utara itu.

"Gaddafi mahu pengeboman oleh pihak NATO dihentikan bagi membolehkan rundingan diadakan," kata satu kenyataan pejabat Presiden Afrika Selatan berkenaan.

"Gaddafi menegaskan bahawa beliau tidak akan meninggalkan negaranya walaupun situasi kini semakin sukar," tambah kenyataan sama.

Raja Sweden nafi terlibat dalam skandal


SETIAUSAHA akhbar diraja Sweden, Bertil Ternert (kiri) dan Gustaf memberikan temuramah secara eksklusif kepada wartawan agensi berita TT, Tomas Bengtsson di Istana Diraja di Stockholm, Sweden.


STOCKHOLM - Raja Sweden, Carl XVI Gustaf semalam memberikan satu temuramah eksklusif dalam usaha menafikan skandal yang tersebar luas, melibatkan laporan media bahawa beliau ada mengunjungi kelab-kelab bogel dan mempunyai hubungan tidak langsung dengan jenayah terancang.

Dalam temuramah panjang lebar bersama agensi berita TT, ketua negara Sweden itu menafikan dakwaan bekas kumpulan mafia, Mille Markovic bahawa beliau mempunyai gambar yang menunjukkan Gustaf berada di dalam sebuah kelab seks bersama dua orang wanita berbogel.

"Mustahil gambar itu wujud dan sukar untuk memberi komen terhadap sesuatu yang tidak pernah dilihat oleh sesiapa pun," tegas Gustaf.

Gustaf turut mencabar stesen televisyen TV4 yang melaporkan dua minggu lalu bahawa seorang wartawannya ada melihat gambar tersebut supaya menunjukkannya sebagai bukti.

Skandal terbaharu itu muncul hanya selepas enam bulan biografi Gustaf diterbitkan. Biografi tersebut menimbulkan kemarahan orang ramai kerana ia ada menyebut penglibatan Gustaf dalam parti-parti liar, selain mempunyai hubungan sulit dengan perempuan-perempuan muda.

Berikutan dakwaan-dakwaan itu, beberapa tinjauan pendapat menunjukkan majoriti rakyat Sweden mahu Gustaf menyerahkan takhta kepada anaknya, Puteri Mahkota Victoria, 33, yang nyata lebih popular daripadanya.

Tidak hiraukan bahaya kejar keju


PARA peserta berdepan risiko patah tengkuk dalam acara mengejar keju di Gloucester, Britain kelmarin.


GLOUCESTER, Britain - Seramai 12 orang peserta berlari dan berguling ke kaki sebuah bukit untuk mengejar gulungan keju seberat 3.6 kilogram dalam pertandingan mengejar keju.

Acara yang berlangsung pada Ahad lalu merupakan acara tidak rasmi selepas penganjurannya dibatalkan pada tahun ini kerana ia dianggap terlalu berbahaya.

Sebelum ini, pertandingan mengejar keju merupakan acara tradisi di sini.

Beratus-ratus orang menonton acara berbahaya itu selepas makluman mengenainya disiarkan di laman sosial Facebook dan Twitter.

Para peserta terjatuh, berguling dan melakukan balik kuang semasa mengejar gulungan keju itu di Bukit Cooper di sini.

Juara kategori lelaki Chris Anderson, 23, dan Jo Guest, 14, memenangi acara wanita kerana berjaya menyambar gulungan keju tersebut. Masing-masing menerima tiga gulungan keju Gloucester sebagai hadiah.

'Saya gantung anjing saya - ha, ha'


SEORANG remaja, Kamil Hric dari Slovakia menyiarkan gambarnya menggantung anjing peliharaannya di laman sosial Facebook.


POPRAD, Slovakia - Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun merakam aksi dia menggantung anjing peliharaannya dan menyiarkan gambar-gambar tersebut di laman jaringan sosial Facebook, lapor sebuah akhbar semalam.

Remaja berkenaan, Kamil Hric menulis di akaun Facebooknya: "Saya telah membunuh anjing saya - ha, ha."

Gambar tersebut menunjukkan anjing berkenaan cuba meronta semasa ia digantung di ampaian, manakala Hric melihat kejadian itu sambil ketawa.

Hric yang berasal dari Poprad ditangkap selepas beberapa orang pengguna Facebook memaklumkan kejadian itu kepada polis. Hric dilaporkan memberitahu pendakwaraya: "Apa masalahnya? Ia cuma seekor anjing. Saya membunuhnya untuk berseronok."

Getaran tenaga rawat penyakit




RIAK wajah Jiang Feng, 47, dan Wang Li Xiang, 36, seperti sedang bergelut dengan emosi. Sambil membuat pergerakan ala shaolin, tapak tangan kedua-duanya dilalukan di bahagian belakang badan seorang pesakit dalam gerakan perlahan.

Apabila mereka berhenti di satu bahagian pada tubuh pesakit itu, liang roma permukaan kulit yang ditepuk secara perlahan itu terbuka dengan sendirinya. Sensasi sentuhan atau aura tenaga juga dapat dirasakan oleh pesakit tersebut tanpa kedua-dua lelaki itu membuat sentuhan fizikal.

Sebaik sahaja darah berkumpul di bawah permukaan kulit, cawan khas yang sering digunakan untuk rawatan bekam ditelangkupkan pada permukaan kulit tubuh itu. Dalam kesan vakum itu, darah kotor yang mengandungi toksin disedut keluar secara perlahan-lahan.

Tanpa ditusuk dengan sebatang jarum arau torehan pisau kecil, darah kotor mengalir keluar dari tubuh pesakit.

Jiang Feng dan Li Xiang menggunakan tenaga dalaman mereka yang tinggi untuk menyempurnakan proses tersebut.

Itulah kelebihan rawatan bekam yang menggunakan teknik chi gong. Bagi masyarakat Malaysia, terapi chi gong pasti kedengaran asing tetapi ia adalah rawatan tradisional purba itu diamalkan sejak beribu-ribu tahun lalu itu di China.

Kedua-dua ahli terapi itu berasal dari wilayah Anhui yang terletak di timur China. Di wilayah berkenaan, kanak-kanak didedahkan dengan kemahiran menggunakan chi sejak kecil.




Bagi mendalami ilmu tersebut ia memakan masa bertahun-tahun malah tidak semua orang mempunyai kelebihan tersebut.

Chi secara teori yang mudah difahami ialah tenaga yang mengalir di sekeliling kita, manakala terapi chi gong pula menggunakan tenaga itu yang dimanipulasi menjadi getaran atau aliran elektrik yang dialirkan melalui titik-titik meridien di dalam badan manusia bagi memulihkan kesihatan.

Agak sukar menjelaskan tentang kemampuan seseorang itu memiliki kuasa yang dapat mengalirkan tenaga di dalam dirinya sehingga getarannya dapat dirasai oleh pesakit.

Dengan teknik pernafasan, aktiviti fizikal dan minda yang tepat, rawatan bersifat kerohanian itu diakui berkesan membantu penyembuhan pelbagai jenis penyakit.

Menurut Jiang Feng, tidak seperti rawatan bekam lain yang mengeluarkan darah kotor di bawah permukaan kulit untuk merawat penyakit-penyakit kecil, bekam chi gong menyasarkan sokongan proses penyembuhan penyakit-penyakit biasa dan kronik. Antaranya termasuklah penyakit jantung, buah pinggang dan kanser.

“Menerusi tenaga chi, toksin di dalam darah pesakit didorong untuk berkumpul di satu titik meridien yang tepat iaitu di kawasan badan pesakit yang berpenyakit.


GETARAN atau aliran elektrik dialirkan melalui titik-titik meridien di dalam badan manusia.


“Walaupun tanpa cawan bekam, darah kotor akan mengalir keluar tetapi penggunaan cawan bekam adalah bagi mempercepatkan proses menyedut keluar darah kotor yang berkumpul di bawah permukaan kulit pesakit,” katanya yang berpengalaman selama tiga dekad dalam bidang tersebut.

Menurut beliau, sesiapapun boleh menjalani rawatan jika badan mereka dapat menerima tenaga chi daripada pengamal perubatan. Bagaimanapun, ia tidak digalakkan untuk dilakukan kepada kanak-kanak berusia di bawah 13 tahun.

“Pengamal perubatan akan menjalankan diagnosis untuk menentukan sama ada pesakit sesuai menjalani rawatan ini atau sebaliknya.

“Ketika chi dialirkan ke dalam badan pesakit melalui titik meridien semasa proses diagnosis dijalankan, bahagian badan yang terjejas dapat dikenal pasti,” katanya ketika ditemui di kliniknya baru-baru ini.

Tambahnya, kelebihan rawatan chi gong ialah ia dapat mengesan sesuatu penyakit yang cenderung menyerang seseorang pesakit walaupun ia tidak dapat dikesan oleh teknik perubatan moden hari ini.

“Sekiranya mereka yang sihat melakukan rawatan ini, ia dapat menguatkan imunisasi badan dan bertindak sebagai penghalang penyakit, manakala bagi mereka yang menjalani rawatan ini, ia adalah pilihan alternatif untuk membantu mempercepatkan proses menyembuhan,” katanya.

Mengeluarkan toksin


KAEDAH berbekam yang menggunakan buluh untuk menyedut darah kotor.


Sementara itu, Li Xiang memberitahu, hanya pengamal perubatan chi gong di peringkat master mempunyai kelebihan merawat penyakit kronik seperti sakit jantung dan kanser.

“Toksin disimpan di dalam badan akan menjadi racun. Semakin lama dibiarkan, semakin sukar dan lambat untuk pulih. Tetapi apabila ia dikeluarkan, secara semula jadi dan perlahan-lahan ia dapat membantu penyembuhan pesakit atau memanjangkan jangka hayat pesakit.

“Tubuh badan setiap manusia juga sebenarnya mempunyai chi dan ia juga merupakan salah satu tenaga yang dapat digabungkan dengan tenaga chi daripada pengamal perubatan semasa menjalankan rawatan,” katanya.

Tambahnya, proses rawatan bergantung kepada jenis penyakit dan kekuatan badan untuk menerima tenaga chi daripada pengamal perubatan.

“Untuk satu-satu proses selalunya ia memakan masa selama lebih kurang 30 minit tetapi bagi mereka yang mempunyai penyakit kronik, rawatan susulan mungkin diperlukan,” katanya.

Jiang Feng dan Li Xiang adalah pengamal perubatan chi gong di Chi-Gong Healing Incorporated Sdn. Bhd. yang terletak di Damansara Heights, Kuala Lumpur.

Iltizam guru pendidikan khas


AKTIVITI belajar membuat aiskrim merupakan salah satu aktiviti yang dilakukan murid pendidikan khas di SK Bandar Jerantut.


RAMAI yang beranggapan bahawa mengajar murid pendidikan khas merupakan tugas yang sangat mudah.

Tanggapan itu timbul memandangkan murid di dalam kelas itu hanya sekitar lima hingga 10 orang berbanding kelas perdana yang menempatkan lebih 20 orang murid.

Namun, tinjauan di beberapa buah sekolah di Jerantut, Pahang mendapati tanggapan tersebut ternyata meleset.

Sebenarnya, tugas untuk mengajar dan mendidik murid pendidikan khas tidak semudah yang disangka kerana mereka merupakan golongan istimewa berbanding murid-murid di kelas perdana.

Murid pendidik khas terbahagi kepada tiga kategori iaitu masalah pembelajaran, masalah pendengaran dan masalah penglihatan.

Bagi guru-guru wanita, tugas mereka tidak ubah seperti seorang ibu kerana murid-murid pendidikan khas memerlukan layanan yang baik sebagaimana melayan anak-anak di rumah.

Bagi Fatimah Jantan, 38, yang kini memegang jawatan Guru Penolong Kanan Pendidikan Khas di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Jerantut, guru-guru yang mengajar pendidikan khas harus mempunyai tahap kesabaran yang tinggi, berdisiplin, bertolak ansur dan sentiasa berfikiran positif.

“Memang kami mengajar murid dalam jumlah yang sedikit iaitu di antara lima hingga 10 orang tetapi setiap murid mempunyai kerenah yang berbeza dan memerlukan perhatian yang sewajarnya.

“Keupayaan pemikiran mereka sangat lemah, tidak memiliki kecemerlangan akal dan kadangkala tidak dapat mengawal emosi selain gagal mematuhi arahan yang diberikan,” katanya yang telah menabur bakti selama sembilan tahun dalam dunia pendidikan khas.

Fatimah yang ditemui sempena sambutan Hari Guru ke-40 yang bertemakan Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara baru-baru ini memberitahu, guru pendidikan khas harus mengenali murid dengan lebih rapat dan cuba menyelami perasaan mereka kerana golongan istimewa itu tidak dapat memberi perhatian yang sepenuhnya ketika pelajar.

“Guru mestilah berfikiran kreatif terutamanya dalam menyediakan alat bantu mengajar agar murid melahirkan rasa minat untuk belajar.

“Kita tidak hanya bercakap di depan ketika mengajar sebaliknya turut menggunakan kaedah nyanyian dan permainan semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung di dalam kelas,” ujarnya.

Menurutnya, biarpun sepenuh masa bersama murid-murid pendidikan khas, namun mereka turut melakukan tugasan lain yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah.

Pengurusan diri


PARA pelajar pendidikan khas juga mempunyai upaya berdikari yang baik jika dibimbing dan dilatih dengan penuh dedikasi.


Selain tumpuan terhadap akademik, murid-murid pendidikan khas turut diterapkan dengan kemahiran menguruskan diri dan pengurusan tingkah laku.

“Inilah yang paling penting bagi murid-murid pendidikan khas kerana mereka tidak harus bergantung sepenuhnya kepada orang lain apabila masuk ke alam remaja dan seterusnya,” kata Wan Mahizan Wan Mohamad pula yang kini bertugas sebagai guru pendidikan khas di SK Tebing Tinggi, Jerantut.

Beliau berkata, guru-guru akan mengajar mereka cara menguruskan diri termasuk memakai dan membuka pakaian, mencuci pakaian, membersihkan diri, pengurusan bilik tidur dan mencuci pinggan serta cawan.

“Kita ingin lihat mereka berdikari dengan sendiri. Sampai bila mereka hendak mengharapkan bantuan orang lain,” soalnya.

Bagi pengurusan tingkah laku pula, Wan Mahizan memberitahu, guru-guru akan mendidik murid agar mengelak daripada melakukan perkara yang tidak disukai oleh orang lain.

Setiap kesalahan yang dilakukan pula akan ditegur dan diubah serta-merta dan guru-guru akan menilai sejauh mana teguran tersebut dapat mengubah corak kehidupan anak didik mereka.

Kemahiran hidup

Sementara itu, murid-murid pendidikan khas turut mengikuti mata pelajaran Kemahiran Manipulatif dan Kemahiran Hidup yang memberi penekanan kepada penggunaan peralatan yang ada di sekitar mereka.

Mereka turut diajar cara berkebun dan penggunaan setiap alatan dengan betul agar tidak mendatangkan kecederaan kepada mereka.

Seorang guru pendidikan khas di SK Kuala Tembeling, Syahrima Abdul Hamid berkata, beliau telah membuat projek Bumi Hijau dengan menggalakkan anak didiknya bercucuk tanam.

“Kami tanam pelbagai jenis pokok seperti bayam, terung, lada, bayam, kangkung, kailan, kacang tanah, betik, serai dan daun kesum.

“Sebelum proses penanaman bermula, murid-murid akan diberi penerangan mengenai cara untuk gemburkan tanah dan menanam bijih benih serta teknik menggunakan setiap peralatan dengan betul,” katanya yang telah berkhidmat selama lima tahun dalam dunia pendidikan khas.

Seterusnya, murid-murid itu diajar cara menyiram, membaja dan menjaga pokok daripada serangan serangga perosak. Akhir sekali, mereka dibimbing untuk memungut hasil tanaman itu.

Syahrima memberitahu, hasil tanaman yang telah dituai akan dijual kepada kakitangan sekolah, ibu bapa dan kedai runcit berhampiran.

Selain itu, terdapat sesetengah sekolah yang melaksanakan projek keusahawanan bagi mendidik murid-murid berdikari mencari kewangan sendiri.

Projek keusahawanan


SEBAHAGIAN daripada pelajar pendidikan khas menunjukkan kemahiran mereka menggoreng cekodok di SK Bandar Jerantut.


SK Pulau Tawar merupakan salah satu sekolah yang menjadi contoh di daerah Jerantut dengan menggerakkan projek keusahawanan pada tahun 2009.

Projek yang diketuai oleh Anisah Jaafar yang bertindak sebagai guru penyelaras Program Pendidikan Khas Integrasi Bermasalah Pembelajaran di sekolah berkenaan telah berjaya menghasilkan beberapa kraftangan seperti tudung saji, gubahan bakul, kotak serba guna diperbuat daripada kotak terpakai, tali makarami serta hiasan kulit kayu manis.

“Kami ada lima orang guru dan 13 orang murid yang bergandingan untuk menghasilkan sesuatu produk dan kebiasaannya setiap produk disiapkan dalam tempoh seminggu.

“Ada juga sesetengah kraftangan yang kami serapkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran seperti dalam subjek kemahiran manipulatif, kemahiran hidup dan pendidikan seni,” ujarnya.

Anisah berkata, selain kraftangan, murid-murid turut diajar membuat kuih dan memasak makanan yang ringkas.

“Masakan yang pernah diajar kepada murid termasuk membuat donat, piza, nasi goreng, sandwic, kuih puteri ayu dan mi kari. Roti sosej bersalut telur merupakan salah satu menu yang menjadi pilihan dan pernah ditempah oleh sekolah berhampiran,” kata beliau.

Beliau memberitahu, produk-produk yang dihasilkan akan dijual di sekolah dan kedai berhampiran selain menerima tempahan dari pihak luar.

Ternyata tugas guru pendidikan khas tidak semudah yang disangka biarpun mereka tidak mengejar kecemerlangan akademik seperti guru-guru di kelas perdana.

Bagi mereka, kebolehan murid untuk menguruskan diri dan tidak bergantung harap kepada orang lain sudah memadai untuk mengukir senyuman di bibir masing-masing.