|
HATI siapa tidak terguris seandainya hari bahagia yang direncanakan selama ini dicemarkan dengan kata-kata nista daripada pihak yang mungkin iri hati dengan kebahagiaan yang dimiliki.
Situasi itu terjadi kepada pemilik nama Samihah Omar atau lebih terkenal dengan panggilan Misha Omar, 31, yang mengakui terluka dengan dakwaan dia menangguhkan perkahwinan gara-gara ingin menyelesaikan proses penceraian dengan seorang usahawan dari negeri Kelantan.
Pernah suatu ketika pada sekitar tahun 2011, timbul desas-desus mengatakan Misha telah berkahwin dengan seorang usahawan yang digelar Datuk K dan menjadi isteri ketiga kepada lelaki itu.
Bagaimanapun, Misha hanya menafikan spekulasi itu menerusi laman sosial Twitternya, @iammishaomar.
Akhirnya, kesempatan bertemu dengan pelantun lagu Bunga Bunga Cinta itu baru-baru ini, Misha membuka mulut.
"Saya tidak pernah berkahwin dengan mana-mana lelaki. Jika benar saya pernah berkahwin, tunjukkan buktinya atau boleh merujuk nama saya di mana-mana pejabat agama.
"Saya sangat kecewa kerana betapa saya menjaga nama baik saya selama ini, ia dicalarkan dengan tuduhan berkenaan.
"Saya tahu siapa yang bercakap tentang hal ini dan dia sering mencari kesilapan dan perkara negatif tentang saya. Saya harap lelaki itu tampil jika benar saya pernah berkahwin.
"Selama ini saya banyak berdiam diri dan ini adalah masa yang sesuai untuk membidas kenyataan itu. Dayus bagi lelaki yang menceraikan Misha Omar!" tegasnya yang ditemui pada majlis pelantikan Misha Omar sebagai duta Colourland Paints Sdn. Bhd. di The Bee, Publika, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Umum nikah
Kesempatan sama diambil Misha untuk membuat pengumuman penting yang selama ini dinanti-nantikan oleh peminatnya.
|
|
Misha memberitahu yang dia bakal menamatkan zaman solo bersama tunangnya, Fiross Ezzwan Rossly, 31, pada bulan Februari tahun depan.
"Alhamdulillah, setelah ditangguhkan sebanyak dua kali, saya dan tunang telah membuat keputusan untuk melangsungkan perkahwinan pada bulan Februari tahun depan.
"Kedua-dua belah pihak akan berbincang bagi menetapkan tarikh rasmi majlis pernikahan kami selepas perjumpaan pada hari raya Aidilfitri ini," maklum Misha.
Misha dan Fiross telah mengikat tali pertunangan pada bulan Februari tahun lalu dan merancang untuk mendirikan rumah tangga pada bulan September tahun sama tetapi terpaksa ditangguhkan ekoran tunangnya yang merupakan juruterbang Malaysia Airlines (MAS) terpaksa mengikuti latihan bagi mendapatkan lesen memandu pesawat jenis Airbus.
Pasangan itu kemudian merancang untuk melangsungkan perkahwinan pada Februari tahun ini, namun terpaksa ditangguhkan sekali lagi gara-gara jadual kerjaya seni Misha yang terlalu padat sehingga Oktober depan.
Februari
Relevan bulan Februari diputuskan Misha tiada kena mengena dengan sambutan Hari Valentine atau Hari Kekasih, sebaliknya kata Misha bulan itu dipilih memandangkan genap dua tahun usia pertunangannya.
"Februari bagi saya bulan yang manis dan sempena genap dua tahun saya dan Fiross bertunang. Saya tidak terfikir pun mengenai sambutan Hari Valentine.
"Tambahan pula, jadual kerjaya saya pada suku pertama tahun depan agak lapang jadi kalau hendak dilangsungkan perkahwinan, rasanya itu tarikh terbaik.
|
|
"Kami tidak mahu berkahwin dalam suasana yang kelam-kabut dan masing-masing tertekan dengan kerja. Lantaran faktor itu juga, dua tahun majlis perkahwinan kami tertangguh," tambah finalis program Hiburan Minggu Ini tahun 2001 itu.
Misha menyifatkan majlis perkahwinannya bakal menjadi sebuah majlis yang sederhana mengikut gayanya dan terlalu awal untuk dia memikirkan soal tajaan menjelang hari bahagianya.
Paling penting kata Misha adalah majlis akad nikah akan dilangsungkan di Kota Bharu, Kelantan memandangkan kebanyakan saudara-maranya berada di sana.
"Konsep penajaan adalah situasi menang-menang dan sejujurnya sampai hari ini saya masih belum mempertimbangkan mana-mana penajaan lagi.
"Pihak pengurusan saya ada dihubungi beberapa pihak untuk penajaan tapi saya harus mempertimbangkan perkara itu. Kalau boleh saya inginkan majlis yang paling ringkas," jelas Misha.
Jarak masa yang terlalu panjang selepas bertunang hingga majlis pernikahan kata Misha telah banyak mengubah corak kehidupannya.
"Saya melihat hidup saya telah banyak berubah selepas bertunang. Saya kini lebih produktif dan jadual kerjaya saya juga padat.
"Saya boleh terus bergiat aktif dalam bidang nyanyian, selain itu dapat beraksi di pentas teater, berlakon drama dan terbaharu dilantik menjadi duta.
"Tanggapan negatif sebenarnya mencurahkan lebih banyak rezeki. Alhamdulillah, saya selesa di zon saya sendiri," simpul Misha kemas.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: