Monday, July 1, 2013

Artis pertama asia rakamkan biografi


AARON sentiasa mendapat sokongan daripada isterinya, Diyana Halik.


MENJADI artis pertama Asia yang menembusi rancangan antarabangsa iaitu E! Entertainment merupakan suatu perkembangan karier yang baik bagi pelakon, pengacara dan penyanyi Aaron Aziz.
Perkembangan itu sekali gus akan membuatkan nama Aaron semakin dikenali ramai, terutamanya ke peringkat yang lebih tinggi berikutan E! Entertainment merupakan salah satu rancangan paling hit masa kini.
Tidak melepaskan peluang keemasan itu, buat julung-julung kalinya Aaron yang merupakan artis berasal dari Singapura akan muncul di saluran Astro, 712 dalam program berjudul E! Special: Aaron Aziz.
Program berkenaan akan memaparkan kehidupan sebenar Aaron di sebalik kejayaannya sebagai artis ternama, sama seperti rancangan E! True Hollywood Story.
Menurut Aaron atau nama sebenarnya Aaron Mustapha Aziz, 37, di dalam naskhah berbentuk biografi itu nanti, peminat akan dapat melihat bagaimana dia menjalani hidup sebagai orang biasa.

AARON AZIZ mendedahkan yang dia pernah bergaul dengan gengster Singapura sewaktu zaman remajanya.


“Dalam cerita berdurasi satu jam itu, ada antara kisah hidup saya yang belum pernah dipaparkan kepada umum. Antara salah satu yang boleh saya sebutkan ialah saya ini pernah berkawan dengan kumpulan gengster di Singapura.
“Namun, itu semua pada zaman saya remaja. Waktu itu saya sedang membesar dan ingin mencuba semua benda yang saya rasakan seronok.
“Saya memang suka bergaul dengan semua orang. Walaupun begitu, tidak semestinya jika saya bergaul dengan gengster, saya pun akan turut sama jadi seperti mereka,” jelasnya ketika mengadakan sesi temu bual eksklusif di Restoran Bait, Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tambah Aaron, sebenarnya dia belum melihat lagi secara keseluruhan hasil daripada rakaman kehidupannya itu. Apa yang diketahuinya, kru produksi ada menemu bual isteri serta beberapa kenalan rapatnya seperti Lisa Surihani, Datuk Yusof Haslam dan peminatnya, Aaronators untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas tentang kehidupan peribadinya.

AARON akan muncul dalam E! Special: Aaron Aziz di saluran Astro 712 pada 7 Julai ini.


Ditanya tidakkah nanti dia takut ada di antara babak dalam rancangan yang bakal bersiaran pada 7 Julai itu akan memaparkan sisi negatifnya, dengan yakin Aaron menjelaskan tidak ada apa yang perlu ditakutkan kerana dia tidak pernah melaku- kan sesuatu yang salah.
“Bayangkan, sehingga pihak produksi sendiri bertanya kepada saya dan isteri, tidakkah saya ada apa-apa kontroversi yang boleh dipaparkan di dalam rancangan itu nanti.
“Mungkin sebab itulah mereka memilih saya kerana saya adalah seorang yang sangat santai dan mudah untuk diajak berbual. Saya sering menganggap diri saya sebagai orang biasa,” jelasnya.
Aaron juga menyifatkan penyiaran program biografi khas untuknya itu sebagai suatu penghormatan dan penghargaan buat dirinya kerana sebelum ini dia tidak pernah menganggap dirinya berjaya tetapi mungkin sudah tertulis rezeki ini miliknya.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Aaron kini sedang sibuk berada di set penggambaraan Tentang Hati untuk siaran TV1 bersama aktres Fasha
Sandha.
Selain itu, dia bakal memasuki set pengambaran Adam dan Hawa The Movie pada 1 September depan. Jelasnya, semua pelakon, kru dan pihak produksi tetap kekal sama.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: