|
|
MUNGKIN tidak ramai yang mengenali jejaka tinggi lampai berdarah campuran Jepun dan Korea ini. Namun, kepada peminat muzik rock Jepun, pasti mereka teruja untuk bertemu Miyavi atau nama sebenarnya, Takamasa Ishihara.
Memulakan kerjaya dalam industri muzik sebagai gitaris sebuah kumpulan yang dikenali sebagai Dué le Quartz pada tahun 1999, dia kemudian mula bergerak solo sebagai seorang pemuzik dalam arena muzik di Jepun.
Sejak itu, kerjaya muzik Miyavi mula berkembang dan genre muzik serta dirinya dikenali di seluruh dunia termasuk di Malaysia.
Bermatlamat ingin bertemu peminatnya di negara Asia, Miyavi telah mengadakan sebuah siri konsert jelajah dunia dan Malaysia merupakan salah satu negara yang dikunjunginya menerusi sebuah showcase yang sangat menghiburkan berlangsung di Stage KL, Avenue K, Kuala Lumpur pada 25 Julai lepas.
"Ini merupakan kunjungan sulung saya ke Malaysia dan sememangnya ia sangat mengujakan. Memang sudah lama saya ingin berkunjung ke Malaysia kerana ramai peminat yang menantikan kehadiran saya di sini sejak dari dahulu.
"Siri konsert jelajah dunia ini adalah untuk menyajikan muzik saya secara langsung kepada peminat," tutur Miyavi pada sesi temu ramah di The Venue, Pavilion, Bukit Bintang sehari sebelum dia beraksi untuk showcase tersebut.
Selain itu, kehadiran Miyavi,31, ke Malaysia juga adalah untuk mempromosi albumnya yang terbaharu berjudul What's My Name? yang sudah berada di pasaran sejak tahun 2010.
Menurut bintang rock yang diberi gelaran Gitaris Samurai ini, sebagai warga Jepun dia tidak banyak didedahkan dengan bahasa Inggeris. Namun di Malaysia, kata Miyavi, dia dapat melihat ramai penduduk di Malaysia fasih berbahasa Inggeris.
Disebabkan kerjayanya telah berkembang di seluruh dunia, maka Miyavi telah mempelajari bahasa Inggeris dan apa yang menarik walaupun tidak mempunyai asas dalam bahasa tersebut, dia berjaya mempelajari hanya dalam tempoh yang singkat.
"Lima tahun lepas, saya telah mengambil kursus bahasa Inggeris di Los Angeles, Amerika Syarikat dan dalam tempoh enam bulan saya mula boleh bertutur dalam bahasa Inggeris. Namun, saya tidaklah terlalu fasih dan sehingga kini masih lagi dalam proses pembelajaran.
"Saya kagum dengan rakyat Malaysia kerana mereka bercakap banyak bahasa dan sesuatu yang unik yang tidak terdapat di Jepun. Masyarakat di sini bercakap bahasa Malaysia, Inggeris, Cina, Tamil dan ada juga yang fasih bertutur dalam bahasa Jepun.
"Ini satu perkembangan yang bagus dan progresif kerana penguasaan banyak bahasa membolehkan seseorang lebih difahami," ujar bapa kepada dua anak ini yang sudah mengadakan 150 buah persembahan meliputi 30 buah negara di Amerika, Asia, Australia dan Eropah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: