Thursday, August 2, 2012

Kemunculan Prism baharu


SEBAHAGIAN daripada 1,306 orang ahli Prism yang menerima royalti mereka bergambar bersama pada majlis penyerahan royalti Prism yang diadakan di Restoran Seri Melayu, Kuala Lumpur baru-baru ini.


BADAN Pengutip Royalti Hak Pelaku dan Persembahan Artis Sdn. Bhd. (Prism Sdn. Bhd.) yang ditubuhkan pada tahun 2001 dan sudah dibubarkan secara rasmi yang mana pengumumannya dibuat serentak dengan majlis penyampaian royalti yang dikutip sepanjang tahun lalu berjumlah RM4 juta kepada 1,306 ahli, berlangsung di Restoran Seri Melayu, baru-baru ini.

Pembubaran Prism Sdn. Bhd. itu menyaksikan kemunculan Prism Berhad yang ditubuhkan oleh ahli-ahli Prism yang ingin terus bernaung di bawah bumbung Prism yang asal itu, meskipun kini muncul badan kutipan royalti baharu iaitu Recording Performers Malaysia Berhad (RPM) di bawah pimpinan Datuk Sheila Majid.

Menurut bekas pengerusi Prism Sdn. Bhd., Datuk Aziz Bakar pada majlis pengagihan royalti kali kelapan itu, Prism Berhad ditubuhkan untuk memperkemaskan sistem agihan royalti pelaku bersesuaian dengan peredaran semasa.

“Pembubaran Prism Sdn. Bhd. mendapat persetujuan ahli-ahli lembaga pengarah kerana sudah sampai masanya untuk Prism Sdn. Bhd. menyerahkan pengurusan kutipan royalti kepada sebuah badan baharu atau entiti bebas yang dipercayai untuk menjaga kepentingan pelaku-pelaku di negara ini.

“Walaupun mendapat tentangan ahli, tetapi pihak pengurusan ingin memberi peluang kepada ahli-ahli Prism merangka masa depan mereka sendiri. Saya berharap usaha ini mendapat sokongan pelaku,” ujar Aziz Bakar.

Meskipun Prism Sdn. Bhd. telah dibubarkan, tegas Aziz Bakar, perjuangan badan itu sebelum ini yang menuntut hak saksama mengikut Artikel 15(1) & (2) WPPT (Perjanjian Persembahan & Rakaman Bunyi WIPO) akan diteruskan supaya pelaku mendapat royalti yang lebih adil daripada apa yang diperuntukkan di bawah undang-undang semasa.

“Saya berharap pihak atau badan yang akan mengambil alih tanggungjawab Prism Sdn. Bhd. menerusi Prism Berhad akan terus berjuang menuntut hak saksama dengan menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan untuk meminda hak pelaku dan menerima pakai Artikel 15(1) & (2) WPPT.

Sementara itu, pemangku Pengerusi Prism Berhad, Mohamed Anuar Mohd. Dahalan berkata, pihaknya akan terus berjuang untuk pelaku seluruh negara termasuk memperluaskan peranannya daripada mengutip royalti untuk penyanyi dan pemuzik rakaman sahaja kepada pelakon, pelawak, penari, penggiat kumpulan etnik serta pihak berkaitan yang tidak mendapat pembelaan selama ini.

“Prism mahu melindungi semua pihak untuk mendapatkan hak mereka, maka sokongan semua pihak amat penting bagi membolehkan usaha ini dilaksanakan secepat mungkin,” ujarnya.

Menuntut semula hak

Mengenai status hak mengutip royalti pelaku bagi 2012, Mohamed Dahlan berkata, pihaknya akan berusaha untuk menuntut semula hak berkenaan yang sudah tujuh bulan terbengkalai susulan keputusan pembubaran Prism Sdn. Bhd. pada awal tahun ini.

“Kita akan berusaha untuk mendapatkan semula hak mengutip royalti yang terlepas bagi tujuh bulan pertama tahun ini kerana pembubaran Prism Sdn. Bhd.

“Setakat hari ini sebuah lagi badan royalti (RPM) yang baru ditubuhkan sebagai ganti peranan Prism Sdn. Bhd. sebelum ini masih belum layak mengutip royalti kerana kekurangan ahli, malah kredibilitinya juga masih diragui oleh pelaku,” tegasnya.

Artikel 15 (1) & (2) WPPT akan membenarkan pelaku dan penerbit rakaman bunyi menerima royalti secara saksama apabila persembahan dan rakaman diputarkan di radio atau persembahan terbuka sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Bagaimanapun pindaan terbaharu, Akta Hak Cipta 2012 hanya menyediakan hak eksklusif kepada penerbit, manakala pelaku masih hanya berhak terhadap saraan saksama dan pelaku harus mengutip bayaran daripada pengguna rakaman.

Ia berbeza berbanding undang-undang di negara maju, yang mana pelaku berkongsi pendapatan royalti bersama penerbit dan bukan mengutip sendiri daripada pengguna.i.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: