Friday, August 3, 2012

Bersahur banyak berkatnya



JAM baru menunjukkan pukul 12 tengah hari, tetapi keadaan badan Farish Ahmad, 25, lesu dan sangat letih seraya perutnya berlagu minta diisi. Sejak kebelakangan ini, dia tidak betah bangun sahur gara-gara tidur lewat. Walaupun dikejutkan oleh teman-teman, dia menolak untuk bersahur. Disebabkan itu, dia mudah hilang fokus kerana mengantuk sehingga banyak kerja yang sepatutnya disiapkan tertangguh.

Apa yang dilalui Farish mungkin pernah anda alami sendiri apabila tidak bangun sahur sebelum menjalankan ibadah puasa keesokan harinya.

Ya, mungkin anda boleh bertahan dan tidak akan mati kelaparan, tetapi keadaan tersebut akan membuatkan anda lesu, penat dan tidak bermaya. Malah, ia boleh menyebabkan gangguan konsentrasi dalam masa yang sama mempengaruhi produktiviti kerja.

Jika anda tidak bernasib baik, mungkin anda akan pengsan kerana terlalu penat dan lemah. Ramai dalam kalangan kita jarang bangun sahur sedangkan ia merupakan amalan yang penting semasa berpuasa.

"Bersahur boleh mengurangkan keletihan dan kehilangan tenaga sewaktu berpuasa. Bersahur juga memastikan kita dapat mengamalkan pemakanan secara sihat dan mengurangkan simptom akibat kelaparan seperti sakit kepala dan mengantuk ketika berpuasa.

"Sekiranya anda merancang untuk menurunkan berat badan pada bulan puasa, bersahur merupakan satu langkah permulaan yang bijak dalam mengurangkan berat badan," kata Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan, Norlaily Md. Nasir.

Tambahnya, Islam turut menggalakkan umatnya bersahur dalam menjalani ibadah puasa. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Hendaklah kamu bersahur sesungguhnya dalam bersahur itu ada keberkatannya."

Ini menjelaskan betapa hebatnya dan untungnya orang yang bersahur. Waktu sahur yang paling sesuai ialah lebih kurang setengah jam sebelum masuk waktu imsak.

Apa yang akan berlaku kepada seseorang yang tidak mengambil sahur? Menurut Norlaily, bersahur memberikan tenaga kepada tubuh untuk melakukan kerja seharian. Tenaga diperoleh daripada makanan yang terdiri daripada kumpulan karbohidrat, protein dan lemak.

Pengambilan makanan secara sihat dan seimbang berdasarkan piramid makanan sangat digalakkan.

"Jika seseorang tidak bersahur, badan akan mudah menjadi lemah dan lesu. Ini disebabkan kekurangan tenaga dalam badan.


JUADAH sahur perlu ringan dan ringkas kerana ramai yang kurang berselera makan ketika bersahur. - Gambar hiasan.


"Bagi mereka yang mempunyai penyakit seperti diabetes, ia akan menyebab berlakunya hipoglisemia. Ia akan menyebabkan seseorang pesakit akan berasa menggeletar atau menggigil, pening dan pitam," ujarnya.

Katanya lagi, bagi pesakit gastrik pula, sahur dapat mengurangkan kadar rembesan asid hidroklorik di dalam perut. Jadi, tiada alasan bagi pesakit tersebut untuk tidak menjalani ibadah puasa jika amalan bersahur dijadikan perkara utama sepanjang bulan Ramadan.

Sahur makanan tinggi serat

Norlaily memberitahu, juadah bersahur hendaklah ringan dan ringkas. Ini kerana ramai antara kita tidak mempunyai selera makan ketika sahur. Memandangkan tempoh puasa agak panjang iaitu 14 jam, umat Islam digalakkan mengambil makanan yang berasaskan karbohidrat kompleks yang kaya dengan serat kerana ia mampu melambatkan proses lapar.

"Makanan seperti ini lambat dicerna tubuh dan ia membolehkan kita bertahan di samping melakukan aktiviti harian sepanjang melakukan ibadah puasa. Contoh makanan yang tinggi kandungan serat ialah roti tinggi serat atau roti mil penuh, bijirin tinggi serat, biji-bijian, kekacang dan sayur-sayuran.

"Elakkan mengambil makanan yang tinggi kandungan gula dan lemak kerana ia cepat dicerna dan menyebabkan kita mudah berasa lapar. Buah-buahan dan air yang juga perlu diambil dengan mencukupi sewaktu bersahur," katanya.

Ketika ditanya sama ada jenis makanan yang diambil ketika sahur berbeza mengikut kerja yang dilakukan seseorang, Norlaily menjelaskan secara amnya, pengambilan makanan semasa bersahur ialah sekitar 500 hingga 600 kilo kalori sahaja.

"Bagi mereka yang bekerja menggunakan banyak tenaga seperti buruh kasar atau buruh binaan, mereka disarankan supaya bersahur dengan mengutamakan pengambilan makanan yang berkarbohidrat dan tinggi serat. Ini kerana makanan daripada kumpulan karbohidrat dapat membekalkan tenaga kepada tubuh mereka dalam melakukan kerja.


PEKERJA buruh disarankan bersahur dengan makanan yang berkarbohidrat dan tinggi serat kerana ia mampu membekalkan tenaga kepada mereka.


"Makanan yang mengandungi serat pula dapat melambatkan proses lapar (yang mana pengambilan makanan lain hanya boleh bertahan untuk 3 hingga 4 jam, sebaliknya makanan berserat boleh bertahan sehingga 8 jam). Ia juga dapat membantu melancarkan proses perkumuhan. Makanan seperti ini amat perlu diutamakan bagi memastikan amalan berpuasa dapat dijalankan dengan sihat dan penuh barakah," jelasnya.

Dalam pada itu, bagi kanak-kanak yang baru belajar berpuasa, amalan pemakanan yang seimbang dan sihat penting dalam melatih kanak-kanak berpuasa.

Makanan yang seimbang dan sihat dapat membantu memberi tenaga kepada kanak-kanak menjalani ibadah puasa sekali gus memberi kesihatan yang baik kepada mereka.

Berpuasa juga merupakan satu keadaan yang baharu bagi kanak-kanak yang kali pertama berlatih berpuasa. Mungkin ada antara mereka yang sukar untuk bangun sahur dan begitu teruja untuk makan semasa waktu berbuka ditambah pula dengan pelbagai hidangan yang bermacam-macam warna dan rasa.

"Ibu bapa perlu memastikan pengambilan makanan anak-anak mereka seimbang, sihat dan tidak berlebihan. Pengambilan makanan perlulah berpandukan Piramid Makanan. Pastikan kanak-kanak bersahur dengan makanan yang kaya dengan serat seperti nasi, mi, roti dan bijirin," sarannya.

Norlaily memberitahu pada hari biasa umumnya, seseorang itu akan makan sebanyak tiga kali sehari iaitu sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam. Apabila tiba Ramadan, secara automatik waktu makan berubah menjadi dua kali sehari iaitu ketika sahur dan berbuka. Jadi, bulan Ramadan merupakan platform yang baik dalam menguruskan diet dan mendisiplinkan diri.

1 comment:

Tinggalkan Komen Anda Sini: