|
DI kaki pergunungan Carpathian yang berdiri megah, lombong arang batu tertua di Romania, Petrila hanya menunggu masa untuk ditutup. Ironinya, lombong tersebut pernah menjadi tenaga kehidupan bagi survival bandar itu.
"Kami sudah pun menjadi lembah air mata, namun kami tidak pula mahu bertukar kepada lembah kematian," kata seorang penduduk merujuk kepada Lembah Jiu, lokasi terletaknya Petrila iaitu lombong arang batu utama di Romania.
Namun, jumlah pelombong di sana yang semakin berkurangan sememangnya sudah menjadi petunjuk besar betapa riwayat lombong itu akan ditamatkan pada bila-bila masa.
Lombong Petrila yang sudah berusia 153 tahun bukan sekadar menjadi bandar kehidupan, tetapi mempunyai identiti tersendiri. Penduduk tempatan mengatakan, Petrila tanpa lombong akan menjadi seperti Bordeaux tanpa ladang anggur atau Lembah Silikon tanpa firma-firma teknologi maklumat (IT).
Bagaimanapun terdapat tekanan daripada Suruhanjaya Eropah dan eksekutif Kesatuan Eropah (EU) kepada ahli-ahli kerajaan untuk mengurangkan subsidi kepada lombong yang kerugian termasuk di Petrila.
Dua lagi lombong di Romania bakal menerima nasib yang sama.
Selain itu, puluhan lombong lain di kesemua 27 buah negara yang menganggotai EU turut akan ditutup menjelang 2018. Malah, kerja-kerja pemusnahan telah pun bermula.
"Ia satu kisah tragis terhadap penamat kepada era industri di Eropah," kata David Schwartz, pengarah teater dari Bucharest yang baru-baru ini menarik perhatian Eropah kerana teaternya bertajuk Underground.
Melalui teater itu, ia secara tidak langsung memberi peluang kepada pelombong dan keluarga mereka untuk bersuara tentang syarikat lombong arang batu yang pernah memakmurkan bandar Petrila.
Perancangan EU adalah untuk mengalih pemberian subsidi daripada lombong kepada tenaga yang boleh diperbaharui. Mengikut statistik hampir 30,000 daripada jumlah keseluruhan 100,000 pekerjaan dalam sektor perlombongan EU boleh hilang disebabkan rancangan tersebut.
Di Sepanyol, pelombong yang berang dengan rancangan tersebut telah mengadakan protes dan bertempur dengan pihak polis bagi menunjukkan rasa marah.
Bagaimanapun penduduk di Romania nampaknya terpaksa mengalah, lantaran masih kecewa dengan protes keganasan pada tahun 1990 yang dirasakan lebih membawa petaka.
Pada tahun itu, Presiden Romania, Ion Iliescu telah menggesa kira-kira 10,000 pelombong Lembah Jiu ke Bucharest untuk mengakhiri protes ke atas kerajaannya.
Kerajaannya itu merupakan yang pertama dipilih selepas kejatuhan rejim komunis. Namun, mereka yang membentuk kerajaan baharu itu terdiri daripada bekas anggota komunis termasuk dirinya sendiri.
Para pelombong telah dikecam kerana menggunakan kekerasan ke atas penunjuk perasaan tetapi hari ini, ramai mengatakan bahawa mereka yang mengambil bahagian telah dimanipulasi.
Mozek era komunis yang terdapat di lombong Petrila merupakan tugu peringatan masa lalu. Lombong itulah yang pernah memberikan rezeki melimpah-ruah buat penduduk sebelum kemerosotan ekonomi berlaku lebih dua dekad yang lalu.
Pada tahun 1988, bandar tersebut mempunyai kira-kira 4,000 pelombong. Kini yang tinggal hanya 688 pelombong.
"Pada tahun 1997, gelombang rezeki berlebihan menyebabkan ramai yang memperoleh banyak wang. Cuma, ketika itu mereka tiada sebarang persediaan.
"Sebaliknya wang yang ada dibelanjakan bagi tujuan perniagaan. Akhirnya mereka terlibat dalam hutang dan lebih teruk tiada rumah atau apa-apa harta yang dapat dimiliki," jelas pemilik restoran tempatan, Elena Chelba sambil memberitahu suami dan ayahnya merupakan pelombong di Petrila.
Masa depan gelap
Hari ini, kadar pengangguran di bandar tersebut mencecah lebih 40 peratus. Kedai-kedai barangan murah yang menawarkan baju, pinggan mangkuk dan permainan terpakai menjadi testimoni kepada masa-masa yang sukar.
"Saya tidak tahu jika keadaan boleh menjadi lebih teruk. Tetapi, jika lombong itu ditutup, pasti masa depan kami bertambah gelap kerana ramai penduduk yang bergantung hidup dengannya," tutur Chelba.
Setiap hari, tanpa menghiraukan bahaya, berpuluh-puluh penduduk tempatan melompat ke atas kereta api yang membawa arang batu ke Petrila untuk mencuri beberapa ketulan. Mereka mencurinya sama ada untuk kegunaan sendiri atau dijual.
Salah seorang daripadanya ialah lelaki yang mahu dikenali sebagai Traian. Dia mengumpul arang batu yang ditemui di landasan dalam baldi merah. Ini kerana tidak mungkin dengan duit pencen yang diterima sebanyak 200 euro (RM773) sebulan mampu untuk membayar kos pemanasan.
Anak lelaki Traian telah meninggalkan Romania dan berhijrah ke Jerman, manakala anak perempuannya akan mengikutnya selama dua bulan ketika musim bekerja.
Seperti orang lain, Traian tidak merungut akan dirinya, namun dia bimbang tentang anaknya. Penghijrahan ke negara lain seringkali dilihat sebagai satu-satunya jalan penyelesaian pada masalah mereka.
"Masa depan anak saya bukan di sini," luah seorang pelombong yang baru sahaja keluar dari lombong selepas menamatkan sesi kerja malam.
Sementara itu, Florin Popescu yang mengendalikan cawangan tempatan pertubuhan Save The Children memberitahu, sesetengah keluarga sudah tidak mampu lagi membayar bil elektrik dan gas.
"Justeru, kami memberi mereka pakaian supaya anak-anak ini tidak malu untuk pergi ke sekolah," kata Popescu.
Pusat tersebut memastikan sekitar 100 kanak-kanak mendapat makanan panas, bantuan pendidikan dan psikologi.
"Kami tahu bahawa kami terpaksa meninggalkan Petrila kerana tiada lagi kerja di sini.
"Ia amat menyedihkan kerana inilah tempat saya membesar bersama rakan-rakan," ungkap Cristinel Homoc, remaja berusia 15 tahun yang bercita-cita untuk menjadi pemain bola sepak dan peguam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: