YEMEN jarang menjadi tumpuan melainkan cerita ketidakstabilan politik. Peluang ke sana pada Februari 2011, di saat baru bermula revolusi Timur Tengah memberikan saya dan sahabat satu pengalaman baru.
Pelawaan sahabat menemaninya menghadiri jemputan walimah (majlis perkahwinan) adalah satu titik permulaan untuk membuat saya jatuh cinta dengan negara tersebut. Malah, Yemen sebuah negara tidak pernah ada dalam senarai negara idaman, saya jejaki tanpa dirancang.
Perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menggunakan pesawat Emirates, transit di Dubai untuk ke Sana'a, ibu negara Yemen.
Sampai di lapangan terbang, udara sejuk mula menyapu muka. Sangkaan saya meleset kerana menganggap negara tersebut panas dan kering umpama padang pasir.
Sana'a terletak di kawasan pergunungan dan iklimnya amat sejuk. Ketika sampai suhu sekitar 16 darjah Celcius dan malamnya 7 darjah Celcius.
Perjalanan dari lapangan terbang ke kawasan penginapan mengambil masa hampir setengah jam. Sepanjang perjalanan kami disajikan dengan pemandangan amat asing kerana ini pertama kali saya menjejakkan kaki ke negara Arab.
Apa yang boleh saya katakan, ia seperti sebuah kota lama dengan pembangunan amat jauh ke belakang dari Malaysia.
Lelaki Yemen memakai jubah putih dengan jambiya (pedang kecil di pinggang) dan wanitanya berjubah hitam dan berniqab menampakkan sepasang mata.
Hos kami selama 12 hari ialah keluarga Al-Amry. Menjadi sebahagian daripada sebuah keluarga Arab Yemen memberi saya pengalaman baru. Hanya seorang boleh berbahasa inggeris sedang yang lain berbahasa arab dialek Yemen.
Bertahun saya mempelajari Bahasa Arab, namun sampai di sana, ia terasa amat sukar, kami umpama ayam itik.
Menyaksikan persediaan perkahwinan di Yemen cukup menarik bagi saya.
Tetapi sebelum itu, kami dibawa melawat beberapa destinasi wajib di Sana'a.
Wadi Dahr satu kawasan lembah di kawasan pergunungan, terletak setengah jam dari Sanaa. Udara segar, pemandangan indah tiada apa mampu saya ucapkan melainkan syukur kepada Allah.
Di Wadi Dahr terletaknya Darl Al Hajar atau Istana Batu 'Rock Palace' iaitu Istana Musim Panas milik Imam Yahya, pemerintah Yemen pada zaman pra-Islam.
Sedikit bayaran masuk dikenakan dan pemandu pelancong berpakaian tradisional Yemen mengiringi kami hingga ke tingkat paling atas. Jika bernasib baik, pelancong dapat menyaksikan tarian oleh penduduk tempatan di sekitar istana.
Kota lama Sana'a Tersenarai sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO sejak 1986, di sini boleh diperhatikan kehidupan penduduk setempat yang masih mengekalkan cara tradisi di sebalik arus kemodenan dunia.
Kota Lama (Old Sana'a) atau digelar Sana'a Qadeemah dalam Bahasa Arab, dilengkapi rumah, masjid, tempat mandi awam, pasar atau souq dan hotel untuk pelancong. Terdapat sekolah dan institut bahasa untuk sesiapa yang berminat mempelajari Bahasa Arab.
Kawasan ini menjadi tumpuan pelancong Eropah yang ingin merasai kehidupan sebenar masyarakat Yemen.
Salah satu tarikan paling popular di Kota Lama adalah Souq al-Milh (Pasar Garam) - tempat membeli-belah bagi pelancong dan penduduk tempatan .
Terdapat juga Al-Jami 'al-Kabir (Masjid Besar) antara tertua di dunia yang dibina sejak tujuh abad lalu. Menurut sumber awal, Nabi Muhammad SAW memerintahkan pembinaan masjid termasuk lokasi dan dimensi sekitar 630 Masehi.
Satu lagi tempat menarik, Bab al-Yemen - pintu masuk melalui tembok kota lama yang berusia lebih 1,000 tahun.
Berdekatan Kota Lama Sana'a terdapat Tahreer Square yang menjadi medan pemenang Hadiah Keamanan Nobel Tawakel Karman berkhemah membuat bantahan dengan pengikutnya.
Hari selebihnya di Yemen, kami habiskan dengan menghadiri majlis perkahwinan. Uniknya, majlis untuk pengantin lelaki dan perempuan diadakan pada hari dan tempat berlainan kerana mengelak percampuran di antara lelaki dan perempuan.
Kami bernasib baik kerana sebagai pelancong, dapat menghadiri kedua-dua majlis. Walaupun perempuan Yemen bertudung litup, semasa majlis perkahwinan, mereka melaram sakan dengan pakaian dan solekan.
Ironinya, cuma pengantin perempuan bersanding sendirian diperhatikan tetamu dalam kalangan sanak saudara.
Kami dihidangkan tarian dan nyanyian oleh penyanyi jemputan dan tiada makanan dihidangkan hanya minuman ringan.
Malangnya tiada gambar dibenarkan kerana semua berpakaian tidak menutup aurat. Jadi ia hanya menjadi kenangan peribadi yang tidak mungkin kami lupakan. Cuma gambar perkahwinan pihak lelaki sahaja dibenarkan untuk tatapan umum.
Tanggal 1 Mac 2011, kami pulang 1001 pengalaman meninggalkan Yemen yang penuh budaya dan keaslian.
Walaupun pada mulanya saya dimaklumkan bahawa bangsa Arab adalah kasar, layanan setaraf hotel lima bintang yang diberikan selain kasih sayang yang tiada ukuran menolak dakwaan tersebut.
Bagi saya dan saya bercakap melalui pengalaman, masyarakat Arab Yaman amat memuliakan tetamu dan ini membuatkan Yemen akan terus dekat di hati saya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: