ANDA peminat fanatik warna merah jambu? Apakah reaksi anda sekiranya mengetahui ada sebuah tasik dengan warna kegemaran anda?
Tasik Merah Jambu atau nama sebenarnya, Tasik Retba atau Lac Rose (bahasa Perancis) terletak di Semenanjung Cap Vert, 35 kilometer di timur laut Dakar di Senegal.
Ia sering menjadi tumpuan pelancong kerana keunikan warna airnya yang boleh berubah daripada ungu cair ke merah jambu.
Namun, pengunjung lebih gemar mengunjungi tasik itu apabila ia bertukar menjadi merah jambu dan jika ditinjau dari udara, warna tasik tersebut tidak ubah seperti air susu strawberi.
Keganjilan warna air tasik itu sebenarnya disebabkan oleh kewujudan mikroorganisma yang hidup di dalamnya. Ia turut mengandungi kandungan garam yang tinggi.
Malah beberapa kawasan di tasik yang seluas tiga kilometer persegi itu, turut mengandungi garam sebanyak 40 peratus.
Warna airnya akan berubah mengikut cuaca dan pencahayaan matahari terutamanya pada musim panas.
Misteri Tasik Retba sebelum ini pernah dijelaskan oleh pakar bakteria Universiti Bath dari Britain, Michael Danson melalui kajiannya terhadap kandungan air tasik tersebut.
Katanya, warna merah jambu terhasil disebabkan bakteria yang terdapat pada garam, dikenali sebagai Dunaliella salina.
"Kumpulan organisma itu mengeluarkan pigmen merah yang diserap dan menggunakan cahaya matahari untuk menghasilkan lebih tenaga, menyebabkan air tasik bertukar menjadi merah jambu.
"Bakteria tersebut tidak berbahaya kepada manusia, namun kandungan garam yang sangat tinggi boleh menjejaskan kesihatan," katanya.
Untuk mengelakkan kulit terdedah kepada kerosakan tisu, pengunjung kebiasaannya menyapu mentega khas, Beurre de Karite yang dihasilkan daripada kacang shea sebelum berendam di dalam tasik.
Disebabkan kandungan garam yang tinggi, Tasik Retba mempunyai satu lagi keunikan, sama seperti Laut Mati di Jordan yang membolehkan pengunjung terapung dengan mudah.
Bagaimanapun, Tasik Retba dipercayai mempunyai kandungan garam yang lebih tinggi iaitu sekali ganda atau lebih berbanding Laut Mati.
Selain dijadikan tarikan industri pelancongan, tasik unik itu turut menjadi sumber rezeki kepada penduduk tempatan menjalankan aktiviti melombong garam.
Bahan mineral tersebut kebiasaannya digunakan oleh penduduk untuk memeram ikan.
Aktiviti melombong garam itu juga telah diwarisi dari generasi ke generasi sejak 1970-an.
Penduduk tempatan menggunakan sampan semasa mengorek garam di dasar tasik sebelum dimasukkan ke dalam bakul dan dibawa ke pesisiran pantai untuk dibasuh dan dijemur.
Selepas dikeringkan, garam itu akan membentuk ketulan yang padat dan ia perlu dihancurkan sebelum dijual dalam timbunan yang kecil.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: