Tuesday, July 3, 2012

Sharnaaz, Nad saling memuji



DI sebalik kemunculan ramai pelakon baharu yang mewarnai industri hiburan tempatan, ternyata penampilan dua orang pelakon iaitu Sharnaaz Ahmad dan Nad Zainal tidak boleh dipandang sebelah mata.

Sharnaaz misalnya, merupakan antara pendatang baharu yang semakin menjadi sebutan ramai, manakala Nad Zainal atau nama sebenarnya Farah Nadia Zainal Abidin pula dilihat mampu memberi saingan sihat kepada pelakon sedia ada.

Ketika ditemui pada majlis pelancaran drama Bukan Bidadari di Subang Jaya, Selangor baru-baru ini, mereka berdua mengakui sangat gembira apabila ditawarkan untuk membintangi drama terbitan Filmscape Production itu.

Bagi Sharnaaz, dia mengakui sangat senang dengan hasil kerja pengarah Faisal Ishak dan yakin drama berkenaan mampu menarik minat penonton berdasarkan kepada kisah yang dipaparkan.

"Sepanjang penggambaran, semuanya berjalan dengan lancar dan saya gembira kerana dapat bergandingan dengan beberapa orang pelakon baharu serta yang sudah berpengalaman.

"Mengenai lakonan yang ditampilkan oleh gandingan saya iaitu Nad Zainal, saya akui dia memang pelakon wanita yang sangat bagus. Saya percaya dia mampu pergi jauh sekiranya lebih banyak peluang diberikan kepadanya," puji Sharnaaz.

Drama bersiri 13 episod itu mengisahkan tentang seorang gadis bernama Inas (Nad Zainal) yang mempunyai sikap manja dan sombong mendapati kehidupannya mula berubah setelah kematian bapanya.

Kemudian, ketika berada di Kuala Lumpur, Inas telah bertemu dengan Arif (Sharnaaz), anak seorang usahawan yang kacak dan mereka berdua telah mendirikan rumah tangga tanpa mendapat restu ibu Arif.

Disiarkan setiap hari Selasa pada pukul 9 malam di TV3, Bukan Bidadari turut menampilkan beberapa pelakon lain seperti Sara Ali, Azhar Sulaiman, Fiza Halim, Muniff Isa, Azlee Khairi, Liza Zain, Zuhairi Ibrahim dan Wan Raja.

Bercerita lebih lanjut mengenai watak yang dibawakannya, Sharnaaz memberitahu wataknya sebagai Arif bukanlah antagonis, tetapi ia mampu mengundang kebencian penonton.

"Saya tidak mahu mendedahkan terlampau banyak mengenai perwatakan saya, dan biarlah penonton yang menyaksikannya. Namun, secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan lakonan saya dalam drama ini.

"Sekiranya ada penonton yang akan membenci saya selepas menontonnya, ia bermakna saya telah melaksanakan tanggungjawab sebagai pelakon dengan baik.

"Lagipun bukan mudah seseorang pelakon itu boleh memberi impak terhadap karakter yang dibawakan," ujarnya.

Sementara itu, Nad Zainal pula menyatakan dia terpaksa berhadapan dengan beberapa cabaran bagi menghidupkan lagi wataknya sebagai Inas yang memerlukannya tampil dengan permainan emosi.

Menurut pemegang Diploma Teater Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) itu, mendapat tawaran memegang peranan watak utama dalam sesebuah drama merupakan peluang yang tidak harus dilepaskan.

SHARNAAZ tidak pernah mendapat pendidikan formal dalam bidang lakonan, namun mampu berlakon dengan baik.


"Memang saya gembira kerana mendapat kepercayaan pengarah, namun saya akui memang sukar untuk mendalami watak Inas. Bagaimanapun, dengan tunjuk ajar pengarah serta kerjasama yang baik daripada para pelakon juga banyak membantu saya.

"Malah, saya sangat senang bekerjasama dan bergandingan dengan pelakon seperti Sharnaaz. Walaupun dia tidak pernah mendapat sebarang pendidikan formal dalam bidang lakonan, bagi saya dia memang seorang pelakon yang hebat," ujar pelakon berusia 22 tahun itu.

Arah klip video

Hubungan cinta yang terjalin antara Sharnaaz dan penyanyi Shila Amzah sudah pun diketahui umum. Menariknya, mereka juga pernah bergandingan bersama dalam sebuah telefilem berjudul Patah Seribu.

Ketika ditanya adakah dia tidak kisah apabila digandingkan dengan kekasihnya itu dalam mana-mana drama atau telefilem, pelakon kelahiran Pulau Pinang itu menyatakan dia tiada masalah seandainya mendapat tawaran yang sesuai.

"Sebagai pelakon saya perlu bersikap profesional dan tidak kisah untuk bergandingan dengan sesiapa pun termasuk kekasih sendiri. Buat masa sekarang belum ada lagi sebarang tawaran yang menggandingkan saya dan Shila.

"Saya juga sangat bersyukur kerana tawaran berlakon memang tidak putus-putus, cuma kini saya lebih selektif ketika memilih sebarang tawaran yang diperoleh dan kalau boleh saya inginkan watak yang berbeza," ujarnya.

Mengenai projek terbaharunya, jelas Sharnaaz, berkemungkinan besar dia akan mengarahkan sebuah klip video untuk salah sebuah lagu yang dinyanyikan oleh Shila.

"Sebenarnya saya memang mempunyai impian untuk bergelar seorang pengarah. Jadi, buat permulaan ini biarlah saya menghasilkan klip video terlebih dahulu dan ia akan dilakukan dalam masa terdekat ini." jelasnya.

Enggan bersaing

KIRI: Selain Nad Zainal (dari kiri) dan Sharnaaz, drama rantaian Bukan Bidadari turut dibintangi oleh Azlee Khairi dan Sara Ali.


Setelah tampil dalam drama bersiri Memberku Hawa beberapa bulan yang lalu, ternyata nama Nad Zainal semakin menjadi sebutan dan dilihat mampu meletakkan namanya sebaris dengan pelakon popular lain.

Pelakon itu memberitahu dia sebenarnya sudah lima tahun berkecimpung dalam bidang lakonan, tetapi hanya mula serius berlakon pada tahun lalu.

"Selepas menamatkan pelajaran di Aswara pada tahun 2010, saya mengambil keputusan untuk serius dalam bidang lakonan. Matlamat saya menjadi pelakon bukanlah mahu bersaing, sebaliknya saya ingin mempraktikkan apa yang telah saya belajar.

"Tidak dinafikan nama saya masih agak kurang dikenali ramai, tetapi saya sangat gembira dan bersyukur apabila semakin mendapat kepercayaan pengarah. Selain aktif berlakon drama, saya juga turut menerima tawaran berlakon filem," ujarnya yang pernah tampil di layar perak menerusi filem Jidin Sengal.

Menurutnya, pada penghujung bulan Julai ini, dia akan memulakan penggambaran filem berjudul Kami Histeria terbitan Red Communications Sdn. Bhd. bersama beberapa pelakon lain iaitu Sara Ali dan Diana Danielle.

Sebagai seorang pelajar jurusan teater, Nad Zainal memberitahu sebelum ini dia juga aktif berlakon teater dan kerap membuat persembahan bersama rakan-rakan di Stor Teater DBP, Dewan Bahasa Dan Pustaka.

"Sejujurnya saya memang rindu untuk berlakon teater bersama rakan-rakan lama saya, tetapi kesibukan sebagai pelakon di kaca televisyen membuatkan saya terpaksa melupakan teater buat seketika kerana mahu fokus dengan kerjaya sekarang," ujarnya mengakhiri perbualan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: