Wednesday, July 25, 2012

'Sepang Drag Battle' bingitkan malam

PAGI sesiapa yang pernah menyaksikan perlumbaan drag mungkin mengetahui bagaimana kebingitan deruman enjin kenderaan yang mereka gunakan.

Kejohanan Sepang Drag Battle untuk tahun ini telah berlangsung pada 23 Jun lalu bagi pusingan ketiga yang diadakan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Seperti tahun-tahun lalu, Sepang Drag Battle menyediakan lima sesi bagi pelumba daripada enam kategori untuk berentap bagi memastikan kejuaraan.

Juara tahun lalu, bagi kategori A, Sheikh Mohd Salimee Mohd Fowzi daripada pasukan Setiawangsa Racing turut bertanding pada kejohanan kali ini dengan menggunakan jentera yang sama.

Pasukan itu turut mencuri perhatian dengan reka bentuk kenderaan, enjin, serta salah satu kereta yang menggunakan payung terjun untuk memberhentikan kenderaan.

Bagai sudah dijangkakan, Salimee tidak mengecewakan peminat-peminatnya dengan tampil sebagai juara bagi kategori A dengan catatan masa 10.01 saat.

Namun setiap pelumba perlu mengumpul mata dalam lima sesi perlumbaan sebelum bergelar juara bagi tahun ini.

Dengan kelajuan sehingga 271 kilometer sejam dalam jarak hanya 400 meter sememangnya menjadikan perlumbaan drag sangat menguji kecekapan pemandu dan mekanik.

Bagi mereka yang mahu menyertai sukan ini terlebih dahulu perlu mempunyai lesen perlumbaan yang diiktiraf oleh Persatuan Automobil Malaysia (AAM) dan Persatuan Permotoran Malaysia (MMA).

Penonton yang hadir bukan sahaja dapat menyaksikan perlumbaan dan kenderaan itu dengan lebih dekat bahkan juga dapat melihat kerjasama pasukan dalam memastikan jentera mereka dapat memberikan impak yang maksimum.

Kejohanan kali ini telah menyaksikan kehadiran lebih 3,000 orang yang mana rata-ratanya peminat sukan permotoran negara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: