|
SEJAK zaman kanak-kanak, Aurelien Brule mempunyai minat yang mendalam terhadap haiwan berbanding pelajarannya.
Pada usia 13 tahun, dia menjadi sukarelawan di sebuah zoo di Perancis. Brule menghabiskan sebahagian besar masanya berdamping dengan pelbagai spesies monyet di situ.
Jika remaja seusianya lebih selesa bermain permainan video di rumah, Brule pula lebih gemar memerhatikan tingkah laku pelbagai makhluk primat itu setiap hari membuatkan dirinya bahagia dan teruja.
Antara haiwan yang cukup menarik perhatiannya di zoo itu ialah spesies ungka bertangan putih. Haiwan yang diancam kepupusan itu cukup lincah bergayutan di atas pokok.
Pada satu hari, ketika dia sedang tertekan seekor ungka betina tiba-tiba menghampiri, memegang dan menggenggam tangannya, seolah-olah cuba menggembirakan dirinya.
Hati Brule tersentuh melihat tingkah laku haiwan itu. Sejak itu dia bertekad berjuang dan melindungi ungka dan spesies-spesiesnya.
“Tuhan tidak menjadikan makhluk primat sebagai perhiasan di bumi ini. Saya khuatir jika kita tidak memperjuangkan hak-hak haiwan ini, ia akan mengalami kepupusan,” katanya dalam satu temu ramah.
Menulis buku
Pada usia 17 tahun, Brule berjaya menerbitkan sebuah buku bertajuk, Le Gibbon a Mains Blanches (Ungka Bertangan Putih).
Dalam buku itu dia menceritakan mengenai keunikan tingkah laku haiwan tersebut dan kesanggupannya berulang-alik dari rumah di Frejus, selatan Perancis ke zoo itu sejauh 30 kilometer.
“Saya juga berjaya menjodohkan seekor ungka betina di zoo ini dengan seekor ungka jantan di sebuah zoo di utara Perancis,” tulisnya di dalam buku itu.
Puas berkhidmat sebagai sukarelawan di zoo, dia mula terfikir untuk mendekati haiwan itu di habitat asalnya.
Kesempatan itu hanya muncul apabila seorang aktres komedi Perancis, Muriel Robin yang kagum dengan usahanya itu, berjaya mengumpulkan dana untuk menghantar Brule yang ketika itu berusia 18 tahun ke Thailand.
Di Negara Gajah Putih itu, dia banyak melakukan kajian mengenai ungka. Kehadirannya begitu disenangi penduduk tempatan, malah mereka turut menggelarnya Chanee yang bermaksud ungka dalam bahasa Thai.
Brule mula menyedari impiannya untuk memperjuangkan nasib haiwan itu hanya terlaksana jika dia berhijrah ke Indonesia.
“Terdapat 17 spesies ungka di dunia dan tujuh daripadanya boleh ditemui di Indonesia. Sebab itu saya memilih untuk berhijrah ke Indonesia,” katanya.
Sebaik tiba di Indonesia pada tahun 1998, Brule mula menyedari situasi ungka di negara itu amat menyedihkan.
Ia diburu untuk dagingnya atau dijadikan haiwan peliharaan, malah habitatnya di dalam hutan juga semakin musnah disebabkan aktiviti perladangan kelapa sawit.
Dianggarkan kira-kira 100,000 ungka yang tinggal di hutan-hutan Borneo. Kemusnahan hutan yang mencatatkan sehingga 1.5 juta hektar setahun di negara itu, Brule menjangkakan haiwan itu pupus dalam tempoh antara 15 hingga 20 tahun yang akan datang.
Dia menetap di Jakarta untuk tempoh beberapa bulan bagi meyakinkan kerajaan di negara itu mewujudkan sebuah pusat santuari khusus untuk melindungi dan menjaga ungka daripada kepupusan.
Pusat santuari
“Prosesnya agak sukar kerana ketika itu Indonesia sedang dilanda reformasi yang membawa kepada kejatuhan Presiden Suharto. Saya juga sukar berkomunikasi dengan kakitangan kerajaan kerana tidak fasih berbahasa Indonesia,” jelasnya.
Bagaimanapun, ia tidak melunturkan semangat Brule. Pergerakannya terbatas, setiap dua bulan sekali dia perlu ke Singapura untuk melanjutkan visanya.
Kegigihannya membuahkan hasil. Selepas lebih sembilan bulan menunggu dan berulang-alik ke pejabat kerajaan hampir setiap hari, akhirnya permohonan beliau diluluskan.
Tanpa sebarang bantuan dan dana daripada kerajaan, beliau berjaya menubuhkan sebuah pusat santuari di sebuah pulau di Hampapak, Kalimantan seluas lebih 1,000 hektar.
Ia dikenali sebagai Kalaweit yang bermaksud ungka dalam bahasa Dayak. Beberapa tahun kemudian, pusat santuari kedua dibina di Pulau Marak, Sumatera Barat.
Kini Kalaweit atau lebih dikenali Yayasan Kalaweit diiktiraf sebagai antara pusat santuari ungka terbesar di dunia dengan lebih 250 haiwan, 50 pekerja dan dana sekitar AS$491,000 (RM1.43 juta) yang disumbangkan oleh orang perseorangan.
“Kami juga memastikan haiwan-haiwan lain seperti kera, monyet, pukang, buaya dan beruang madu tidak mengalami nasib yang sama.
Stesen radio
“Selain mengembalikan haiwan-haiwan ini ke habitat asalnya, kami juga melakukan kerja-kerja konservasi di samping memusnahkan jerat-jerat yang dipasang pemburu haram,” katanya kepada AFP.
Usaha Brule tidak terhenti setakat itu sahaja, pada tahun 2003, dia menubuhkan sebuah stesen radio, Radio Kalaweit.
Ideanya ialah menggunakan elemen hiburan untuk mendidik dan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap hak asasi haiwan.
“Muzik memainkan peranan penting sebagai mesej. Sekiranya anda menubuhkan sebuah stesen radio yang hanya bercakap mengenai alam sekitar, kami tahu ia tidak akan mendapat sambutan,” katanya yang sering bersiaran ke udara untuk menyampaikan info dan maklumat mengenai haiwan itu.
Kewujudan stesen radio berfrekuensi 99.1 FM itu mendapat sambutan hangat di Indonesia.
Lebih menarik, radio itu mencatat rating yang tinggi sehingga 15,000 pendengar sehari. Pada masa yang sama, banyak ungka berjaya diselamatkan hasil maklumat dan tip yang diberikan oleh pendengar setia.
Stesen radio itu tidak sekadar memberi kesedaran, malah berperanan untuk menghukum mana-mana individu yang ingkar terhadap undang-undang seperti memelihara ungka sebagai haiwan peliharaan.
“Kami mendedahkan nama-nama mereka yang didapati mengurung ungka di dalam sangkar, tanpa mengira pangkat atau jawatannya sama ada ketua polis atau gabenor sekali pun. Sebahagian besarnya haiwan-haiwan ini akan ditemui semula beberapa bulan kemudian,” katanya.
Haiwan-haiwan itu kemudiannya dibawa ke pusat santuari bagi menjalani rawatan dan pemeriksaan rapi, diasingkan buat sementara waktu sebelum dilepaskan ke habitat asalnya.
Pada usia mencecah 32 tahun, Brule mengakui tugasnya tidak semudah yang disangka.
Berdepan dengan taikun-taikun perladangan kelapa sawit yang kurang senang dengan usaha yang dilakukannya selama ini, antara risiko yang perlu dihadapi.
Pada tahun 2009, Brule dan isterinya, seorang warga Indonesia, Nurpradawati pernah diserang sekumpulan pembalak tempatan, malah beliau juga pernah menerima ancaman surat layang yang menyuruhnya keluar dari negara itu.
Bagi melindungi keluarga terutama kedua-dua orang anak lelakinya, Enzo Gandola, 2, dan Andrew Ananda, 8, dia terpaksa menempatkan beberapa pengawal keselamatan di luar kediamannya.
Dia menyedari risiko yang berlaku setiap masa. “Namun, ia merupakan satu risiko yang saya perlu lalui kerana sesuatu itu tidak akan bermula tanpa seseorang memulakannya,” kata Brule.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: