Wednesday, July 25, 2012

Kia Koup yang menyeronokkan

Kia Forte Koup

Siapa kata model kereta Kia merupakan pembelian yang tidak berbaloi? Jika 10 tahun dahulu anda mungkin betul, tetapi tidak sekarang.

Segalanya sudah jauh berubah, persepsi terhadap Kia dahulu dan Kia sekarang berbeza sama sekali.

Jenama dari Korea Selatan itu kini menduduki kedudukan kelima dalam jenama kereta paling popular dunia dan hanya menunggu masa untuk melonjak ke tangga keempat tidak lama lagi.

Malah baru-baru ini, Ketua Pegawai Operasi Naza Kia Malaysia, Datuk Hafiz Syed Abu Bakar menyuarakan keyakinannya bahawa nilai kereta terpakai Kia semakin kukuh di pasaran, terutamanya model sedan Forte.

Masih logikkah untuk kita terus meletakkan jenama Kia sebagai jenama kelas kedua? Cuba dan rasai sendiri pengalaman memandu uji model-model Kia di 56 pusat jualan di seluruh negara.

Minggu lalu penulis telah diberi peluang untuk memandu uji model coupe yang diserap pada Forte melalui varian Koup yang menggunakan enjin berkuasa 2.0 liter.

Semuanya tampak hebat, bergaya dan sporty.

Reka bentuk asasnya hampir sama seperti model Forte tetapi Koup menampilkan imej lebih sporty dengan penampilan dua pintu dan ketinggian bumbung yang lebih rendah.

Kia mengetengahkan inovasi pada Koup agar dapat menarik pelanggan yang berlainan dari Forte dan ternyata dapat memikat hati golongan muda profesional serta mereka yang memiliki keluarga kecil.

Pintu tanpa bingkai telah menonjolkan imej mewah Koup selain rekaan dua kombinasi warna iaitu hitam dan merah dalam ruang kabin sudah cukup untuk memikat sesiapa yang melihatnya.

Walaupun menampilkan konsep dua pintu, Koup masih menawarkan ruang yang selesa untuk penumpang belakang keluar atau masuk ke kereta tetapi bagi mereka yang mempunyai ketinggian melebihi 180 sentimeter pasti mengalami kesukaran kerana paras bumbung yang rendah.

Lupakan mengenai rekaan dalaman dan luaran kereta ini kerana semuanya telah mendapat pujian daripada banyak pihak sebelum ini, penulis hanya mahu menguji tahap kepuasan pemandu dalam menempuh jarak perjalanan melebihi 400 kilometer tanpa henti.

Perjalanan yang memakan masa lebih tiga jam terasa sangat santai dan seronok dengan Koup kerana sepanjang perjalanan pemandu akan dihiburkan dengan muzik yang cukup enak didengar menerusi enam pembesar suara berkualiti.

Terdapat butang kawalan audio yang terletak berhampiran lutut kanan pemandu tetapi fungsinya bukan untuk mengawal audio, sebaliknya hanya untuk mengawal lampu LED di sekeliling pembesar suara agar berkelip mengikut rentak muzik.

Walaupun fungsinya tidak berapa praktikal namun ia tampak menarik pada waktu malam dan mampu menceriakan suasana.

Jika bosan dengan pemanduan yang terlalu senyap, pemandu boleh membuka bumbung panorama untuk menikmati tiupan udara segar ketika memandu.

Dari segi keupayaan enjin, Koup bukanlah berkeupayaan menyamai kereta sport namun pemandu tidak akan menghadapi sebarang masalah untuk memecut kerana kuasanya tidak kurang hebat berbanding model lain sekelas dengannya.

Penulis juga tidak perlu menunggu lama untuk menyesuaikan diri dengan kenderaan ini apabila setiap butang kawalan tersusun kemas dan mudah dicapai terutamanya butang kawalan cruise pada stereng yang mesra pemandu.

Kerusi ala ‘bucket’ yang dibaluti kulit memberi sokongan secara optimum sepanjang perjalanan dan penulis tidak menghadapi masalah ‘sakit pinggang’ apabila berhenti sebentar di hentian rawat dan rehat.

Secara keseluruhannya, penulis berpuas hati dengan prestasi Koup dan semuanya kelihatan lancar walaupun dipandu dalam keadaan lasak.

Jika anda seseorang yang mempunyai persepsi negatif pada jenama Korea, lupakan dahulu jenamanya ketika uji pandu, rasai keseronokan memandunya, pasti selepas itu anda akan mula percaya kepada jenama Kia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: