SELANGOR sememangnya terkenal sebagai syurga makanan kerana pelbagai cita rasa sama ada Utara, Selatan, Pantai Timur mahupun cita rasa Barat dan Jepun.
Justeru, laman web Selangorlicious bersama Tourism Selangor menganjurkan Selangorlicious! Food Blogging khas untuk blogger pelancongan.
Pernah diadakan tahun lalu, ia kini memasuki edisi kedua yang bermula 15 Jun lalu hingga 15 Julai depan.
Kempen itu diteruskan ekoran sambutan hangat oleh para blogger Malaysia tahun lalu, malah ia diadakan dengan lebih besar tahun ini.
Pertandingan itu terbuka kepada semua blogger dan bukan blogger apabila mereka perlu menulis mengenai pengalaman menyeronokkan ketika menjamu selera di mana-mana lokasi di negeri Selangor.
Peserta boleh menulis dalam tiga bahasa pilihan iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan bahasa Mandarin. Penulisan berkenaan perlu diterbitkan dalam blog dan akan diadili berdasarkan kreativiti selain penggunaan bahasa pilihan dengan betul.
Artikel yang dipilih sebagai pemenang bakal menerima pelbagai hadiah menarik, malah hadiah turut diberikan kepada pemenang mingguan.
"Kuasa tarikan makanan tidak dapat dinafikan. Selangor merupakan lokasi di mana makanan-makanan terbaik dalam negara disajikan.
"Justeru, Tourism Selangor berada di trek yang betul dengan memfokuskan kepada makanan," kata Pengurus Acara dan Pemasaran Tourism Selangor, Fazly Razally.
Dalam pada itu, kempen Selangorlicious turut mengadakan Selangorlicious Eatout, apabila para peserta akan dibawa ke daerah-daerah berlainan setiap bulan untuk menikmati pelbagai makanan yang boleh dinikmati di negeri Selangor.
Penerbitan sokongan untuk membantu pelancong juga akan diterbitkan seperti Selangorlicious Good Food Guide dan Ramadan Promotion Guide.
Untuk maklumat lanjut pertandingan Selangorlicious! Food Blogging sila layari laman web selangorlicious.my.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: