|
|
MEMBELEK semula sejarah Karl Shafek menata dunia pengacaraan dan seninya, dia sebenarnya bertatih dari bawah. Tiada jalan pintas untuk Shafek.
Akuinya dia sentiasa ingat pesan pengacara tersohor, Aznil Nawawi yang pernah menyebut: jika mahu masuk industri, belajarlah dari bawah. Perlu lalu pengalaman menjadi kru, wartawan dan harus ada pengalaman serta pengetahuan tentang itu sebelum bergelar hos.
Kata-kata itu bukan sekadar disimpan tetapi Shafek kemudian menjadikannya satu azimat. Buat Khairul Shafek Ibrahim, 32, melalui proses uji bakat di Media Prima Bhd. sebelum ditawarkan menjadi wartawan untuk program Nasi Lemak Kopi O. Belajar istilah dan aspek teknikal sesebuah program melalui tugasan tersebut, nyata tuah kesabaran dan kerajinannya menuntut ilmu secara langsung membuahkan hasil.
Wajah Pemegang Diploma Multimedia ini kemudian terpancar di layar televisyen melalui program Hip TV dan Tiga Hari Dua Malam (3H2M). Tidak berhenti di situ, hasil proses uji bakat juga, tuah ‘ayam’ di kaki Shafek meloloskan dirinya menjadi pengacara program Diari On Air yang sedang hangat diperkatakan sekarang.
Menjadi individu terakhir yang melalui uji bakat namun atas keyakinan diri, Shafek kemudian terpilih mengemudi Diari On Air yang kini disiarkan setiap Rabu hingga Sabtu pukul 10 malam di Astro Ria (saluran 104).
Shafek tidak menyangka terpilih namun dia lebih terkejut kerana ada mulut jahat mendakwa dia mendapat tempat dalam Diari On Air melalui jalan kotor.
“Saya sendiri tidak faham dengan maksud taktik kotor itu. Ini kerana saya melalui saluran yang betul,” kata Shafek tanpa melatah.
“Hanya kerana saya rapat dengan Aznil orang tuduh macam-macam pula. Saya hormat Aznil sebagai pengacara yang berpengalaman dan banyak selok-belok bidang ini saya pelajari daripadanya,” akuinya tanpa selindung.
Menjadi hos bagi program Diari On Air, Shafek mengaku menimba ilmu seperti peserta-peserta program tersebut.
“Saya lihat ramai peserta yang berbakat cuma tidak terdedah kepada dunia penyiaran yang sebenar. Mereka ini tidak tahu aspek teknikal. Mungkin kebanyakan yang datang uji bakat hanya ingat perlu duduk di depan kamera sahaja. Sebaliknya mereka perlu tahu banyak perkara seperti sudut kamera dan intonasi percakapan,” ujarnya yang mula menyerap ilmu Diari On Air untuk kegunaan dirinya.
Bukan hanya kelihatan di program Diari On Air, kelibat Shafek juga dilihat hingga minggu kelima program MasterChef Selebriti yang disiarkan pada setiap Sabtu hingga Selasa pukul 9 malam juga di saluran yang sama.
Terkeluar pada minggu kelima, Shafek mengaku ada tekanan dalam menyediakan juadah dalam tempoh 45 minit hingga satu jam setengah.
“Menjadi salah seorang peserta program ini, saya dapat belajar banyak perkara baharu dalam bidang seni memasak,” ujarnya yang mahir masak masakan Melayu dan Thai.
Menyentuh tentang impian untuk mengendalikan sebuah program sendiri, dia senyum seraya menyebut satu nama yang turut memberi pengaruh dalam kerjaya pengacaraannya.
“Nate Berkus, dia ialah anak didik Oprah dan mengendalikan The Nate Berkus Show. Saya mahu mengendalikan sebuah program sepertinya. Kalau dia lebih kepada gaya hidup, saya pula mahu memberi peluang kepada sesiapa yang menzahirkan impian atau cita-cita. Contohnya kalau mahu menjadi askar, kita beri dia peluang sehari menjalani hidup sebagai askar,” akhiri Shafek.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: