Sunday, June 24, 2012

Dua peniaga kek juarai Cabaran Daisy


ZURLIYANTI (kanan) dan Wazina bergambar bersama hadiah yang dimenangi masing-masing pada Cabaran Daisy Sehebat Chef 2012 peringkat Zon Utara di Alor Setar semalam.


ALOR SETAR - Seorang peniaga kek yang beroperasi dari rumah, Zurliyanti Mohd. Abdul Aziz, 36, dinobatkan sebagai juara kategori biskut pada Cabaran Daisy Sehebat Chef 2012 peringkat Zon Utara di Alor Setar Mall di sini semalam.

Zurliyanti yang menetap di Sungai Petani dekat sini berkata, dia tidak menyangka biskut ciptaannya yang diberi nama Biskut Sanggul Mak Dara berjaya menambat hati juri berdasarkan saingan hebat daripada peserta lain.

"Saya bersyukur kerana segala penat lelah menghasilkan resipi ini akhirnya membuahkan hasil dan ia membawa saya ke peringkat akhir pertandingan tersebut," katanya selepas majlis penyampaian hadiah Cabaran Daisy Sehebat Chef 2012 peringkat Zon Utara di sini semalam.

Zurliyanti memberitahu, keistimewaan biskutnya adalah ia gebu dan rangup serta cair di dalam mulut kerana ramuan istimewanya iaitu minyak jagung Daisy dan kelapa.

"Kejayaan ini juga adalah hasil tunjuk ajar ibu saya yang banyak memberi panduan dalam menghasilkan biskut ini," tambahnya.

Sementara itu, juara bagi kategori kek pula dirangkul Wizana Md. Sariff, 39, yang merupakan seorang pengusaha kedai kek di Kampung Ulu Kinta, Ipoh, Perak.

Menurut Wizana, kekecewaan selepas tewas pada cabaran tahun lalu tidak mematahkan semangatnya untuk terus bertanding pada tahun ini.

Kata ibu kepada empat anak itu lagi, dia berpuas hati apabila resipi kek yang dibuatnya sebanyak lima kali untuk mendapatkan hasil terbaik dipilih sebagai pemenang tempat pertama.

"Selain mementingkan rasa saya juga pastikan hiasannya mengikut tema yang ditetapkan iaitu Seni Muzik," katanya.

Zurliyanti dan Wizana masing-masing menerima hadiah wang tunai RM300.

Pemenang tempat kedua bagi kategori biskut dimenangi oleh Fauziah Idris, 54, dari Permatang Pauh, Pulau Pinang manakala kategori kek dimenangi oleh Rosni Johar, 36, dari Lunas, Kulim dekat sini.

Mereka menerima hadiah wang tunai RM200 setiap seorang.

Hadiah-hadiah disampaikan oleh Chef Liza Zainol yang merupakan Duta Minyak Jagung Daisy sambil disaksikan Pengurus Iklan Kosmo!, Stella Abdullah dan Pengurus Produk Bahagian Makanan Lam Soon, Cecilia Lee.

Juara dan pemenang tempat kedua bagi kedua-dua kategori itu juga layak ke peringkat akhir pertandingan di AEON AU2 Shopping Centre, Setiawangsa, Kuala Lumpur pada 1 Julai depan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: