Pati sewa rumah ibadat
Rumah sewa yang diduduki Pati. Gambar kanan: Sebahagian Pati yang berjaya ditahan di kawasan tapak pembinaan.

TELUK INTAN - Menyewa rumah yang dibina dalam kawasan rumah ibadat, itu antara taktik terbaru pendatang asing tanpa izin (Pati) daripada dicekup pihak Imigresen.

Bagaimanapun, perbuatan mereka itu memakan diri apabila enam warga asing ditahan dalam Ops 6P di sebuah rumah ibadat, di sini, kira-kira jam 9.45 pagi, kelmarin.

Ketua Imigresen Cawangan Teluk Intan, Khairul Anuar Sulaiman berkata, maklumat diterima daripada orang awam yang mengadu kurang senang dengan kehadiran mereka disitu.

Menurutnya, berdasarkan maklumat dan risikan yang dijalankan, pihaknya melakukan pemeriksaan di kawasan itu.

"Ketika pemeriksaan, ada warga asing cuba meloloskan diri namun gagal kerana berjaya disekat pegawai dari Depot Tahanan Langkap dan Pejabat Imigresen Teluk Intan.

“Siasatan lanjut mendapati, kesemua Pati yang terdiri daripada empat lelaki dan dua perempuan warga Indonesia itu dipercayai melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Katanya, empat daripada mereka berusia 26 hingga 44 tahun dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Manakala seorang lelaki dan seorang wanita, masing-masing berusia 34 hingga 50 tahun ditahan dibawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen.

Dalam operasi sama di lokasi berasingan, serbuan di sebuah tapak pembinaan di Kampung Bahagia, seramai 10 Pati berjaya ditahan yang dipercayai melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Hasil pemeriksaan, pihaknya menahan lima lelaki warga Bangladesh, empat lelaki dan seorang wanita warga Indonesia dipercayai melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

“Lapan daripada mereka berusia antara 28 hingga 48 tahun dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Manakala seorang lelaki dan wanita warga Indonesia berusa 34 hingga 37 tahun dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 39(b) dan Seksyen 15(1) (c), Peraturan-peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Kesemua mereka dibawa ke Depot Imigresen Langkap untuk siasatan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007