Monday, June 25, 2012

Jejaka wajar eksperimen gaya


JEJAKA juga perlu menitikberatkan aspek pemilihan tali leher, kafling dan kasut yang ideal digayakan bersama sut.


SOALAN: Saya berusia 32 tahun dan bertugas sebagai pegawai eksekutif di sebuah syarikat swasta. Rutin seharian bukan sekadar menuntut saya menghadiri mesyuarat malah kadangkala perlu berjumpa pelanggan di luar pejabat pada sebelah petang hingga malam. Justeru, bagaimana corak pemakaian yang ideal buat saya? - MOHD. ISKANDAR IBRAHIM

JAWAPAN:Bagi membantu merungkai persoalan anda, pada minggu ini saya titipkan 10 panduan asas gaya yang mudah untuk dipraktikkan. Selain itu, tip ini juga sesuai buat golongan jejaka yang menitikberatkan aspek penampilan dari pagi hingga ke malam.

Panduan asas penampilan

* Cuba jujur ketika melihat diri sendiri di hadapan cermin. Kita perlu realistik terhadap siapa diri kita. Kita perlu memahami bentuk tubuh sendiri. Misalnya, sewaktu memilih sut, pastikan ia mengikut potongan badan yang ideal. Elak memakai jaket yang terlalu ketat atau seluar potongan longgar.

* Jangan terlalu mencuba. Perlu diingatkan kita bergaya adalah untuk kepuasan peribadi dan ekspresi diri bukan untuk orang lain.

* Jika aksesori yang dipakai seperti kafling, jam tangan, tali pinggang atau beg meraih komen daripada orang sekeliling, ini bermakna anda telah memilih pelengkap gaya yang sedikit berlebihan atau rekaan yang tidak sesuai. Seharusnya, aksesori tidak perlu kelihatan terlalu menonjol, mewah atau berlebih-lebihan. Ia sepatutnya sesuai digayakan bersama pakaian yang dipakai.

* Pemilihan sut pula perlu dipadankan bersama kemeja potongan klasik. Kemeja bercorak dan rona terang lebih baik digaya bersama jean, seluar khaki atau seluar chinos.


KOLEKSI kemeja berpetak menjadi kegilaan lelaki zaman ini.


* Sebelum keluar rumah kita seharusnya mendengar intuisi diri sama ada kita berasakan penampilan pada hari itu terlalu berlebihan, ringkas atau bersesuaian dengan acara yang dikunjungi.

* Selain rona hitam, golongan jejaka juga perlu memiliki jaket warna biru kelasi di dalam almari mereka. Ia membantu menyerlahkan gaya dan bertindak sebagai item fesyen yang ideal untuk dipakai untuk ke pelbagai acara, pejabat atau kasual. Pada masa yang sama menyuntik penampilan lelaki agar kelihatan segak dan hebat.

* Gaya adalah sesuatu yang amat personal. Tiada siapa yang boleh memaksa kita bergaya mengikut cara mereka atau yang mereka fikir sesuai untuk kita. Setiap lelaki mempunyai aura tersendiri. Cuma dari semasa ke semasa, setiap daripada kita perlu membuat sedikit perubahan untuk lebih berketrampilan.

* Seseorang lelaki itu dianggap seksi sekiranya memiliki keyakinan diri yang tinggi, bijak berfesyen dan mempunyai sifat lucu.

* Bagi mendapatkan penampilan yang lebih segar, cuba gayakan aksesori atau item fesyen yang berlainan daripada kebiasaan yang kita pakai. Jangan sesekali gusar untuk bereksperimen dan mempraktikkan konsep suai padan.

* Dalam pemilihan pakaian, kadangkala kita perlu memilih fesyen rona terang dan berani seperti jingga atau merah untuk mengelakkan penampilan kelihatan bosan. Seimbangkan warna garang bersama pakaian warna gelap dan neutral. Gaya tersebut segar dan kontemporari.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: