SUZUKI Assemblers Malaysia Sdn. Bhd. (Suzuki Assemblers) baru-baru ini memberi nafas baharu kepada skuter keluarannya, Suzuki SkyDrive. Pembaharuan tersebut membabitkan aspek rekabentuk yang lebih sporty tanpa menjejaskan nilai seni estetika sebuah skuter.
Ekspresi pada bahagian hadapan dan belakang jentera beroda dua itu memaparkan visual rekabentuk tiga dimensi. Kelihatan lebih lebar, rekaan tubuh SkyDrive bukan sekadar mengetengahkan nilai estetika, malah berperanan memudahkan pengaliran udara.
Corong-corong pada penutup kerangka pula membantu meningkatkan aliran udara bagi tujuan penyejukan enjin. Penutup peredam bunyi baharu pula membuatkan penampilannya semakin bergaya.
Rekaan SkyDrive turut menitikberatkan keselesaan dan kemudahan pada sebuah skuter. Aspek itu dapat dilihat pada saiz ruang kaki dan kedudukan pemijak kaki pembonceng. Kemudahan ruang penyimpanan barang juga diberi perhatian, terutama di bawah tempat duduk dan bahagian hadapan.
Selain itu, Suzuki SkyDrive juga dilengkapi fork hadapan jenis centre-axle dan penutup pada suis kunci untuk mengelakkan kecurian. Penutup kunci yang diperbuat daripada besi itu boleh dibuka dengan menggunakan magnet yang ada pada anak kunci.
Jentera ini menggunakan khidmat enjin empat lejang SOHC dua injap Suzuki Composite Electrochemical Material (SCEM). Enjin tersebut menawarkan kecekapan kuasa sewaktu ia ditunggang. Penapis udara yang digunakan pula menyumbang kepada peningkatan kuasa dan prestasi. Sementara kotak gear Super CVT meningkatkan daya pecutan dan memudahkan proses penyelenggaraan.
Enjin SkyDrive dibina untuk daya ketahanan tinggi. Ia dilengkapi ciri-ciri termasuklah SJCS (Suzuki Jet Cooling System), penapis minyak jenis kartrij dan silinder bersadur. Tidak ketinggalan, teknologi Pulsed-secondary AIR-injection (PAIR) yang berupaya menyalakan bahan api yang masih belum terbakar. Ciri itu berfungsi mengurangkan penghasilan bahan yang mencemar alam sekitar.
Suzuki SkyDrive baharu didatangkan dalam dua warna menarik iaitu merah dan biru bagi memenuhi selera golongan muda. Harga jualannya ialah RM5,168 (tidak termasuk cukai jalan, pendaftaran, insurans dan caj-caj lain). Maklumat lanjut, sila hubungi Suzuki Assemblers di talian 04-3977 453.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: