Friday, October 28, 2011

SJK jejaki miskin bandar


Agihan yang agak besar oleh LZS adalah bantuan perubatan asnaf.


SIAPA sangka, di tengah-tengah kepesatan kota yang serba canggih dan pesat membangun, masih ada golongan miskin dan fakir yang hidup melarat di dalam kesempitan kehidupan yang serba kekurangan.

Bau persekitaran yang kurang enak dan kemudahan awam yang tidak terurus adalah antara petanda keadaan kemiskinan yang dialami penghuni di beberapa lokasi Projek Perumahan Rakyat (PPR) sekitar Selangor menyambut ketibaan Skuad Jejak Kemiskinan (SJK) Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Pangsapuri kos rendah yang secara puratanya mempunyai 15 tingkat terpaksa dijejaki SJK satu persatu untuk mengenalpasti golongan fakir dan miskin supaya tidak tercicir daripada menerima bantuan LZS.

Keadaan lif yang tidak berlampu, tangga yang tidak berpalang cukup membahayakan penduduk serta kanak-kanak yang menggunakan kemudahan itu.

Lebih mencabar, lif yang tidak berfungsi memaksa krew SJK memerah keringat memanjat setiap anak tangga untuk menjejaki rumah pemohon tersebut.

Dalam keletihan itu, ditambah dengan kerenah dan sikap sesetengah individu yang tidak jujur dan cuba menipu semata-mata mahu mendapat wang bantuan zakat yang perlu ditangani SJK.

Namun, kata pepatah, alah bisa tegal biasa. Semua itu dianggap satu cabaran kepada krew SJK LZS dalam menjalankan tugas dan menyahut amanah Allah.

Semuanya demi menguruskan wang kutipan zakat untuk diagihkan kepada golongan yang berhak.

Ini bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya zakat itu hanyalah untuk orang fakir, miskin, amil yang menguruskannya para mualaf yang dijinakkan hatinya untuk hamba yang merdeka, orang yang berhutang, untuk jalan Allah, dan orang yang musafir, sesuatu ketetapan yang diwajibkan Allah, dan Allah maha mengetahui. (at-Taubah: 60)

Sehubungan itu, LZS menubuhkan SJK. Matlamat utamanya, menjejaki golongan fakir dan miskin melalui pendekatan program turun padang dalam usaha memerangi kes kemiskinan terutama kawasan bandar.

Ketua Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof berkata, lapan asnaf yang disebut dalam al-Quran adalah jelas. Malah diperkukuhkan melalui lima program pembangunan utama LZS.

Program itu katanya merangkumi pembangunan sosial, ekonomi, pendidikan, insan dan institusi agama.

"Namun begitu, dua kategori asnaf iaitu fakir dan miskin diberi tumpuan kerana usaha berterusan perlu dilaksanakan bagi mengeluarkan mereka daripada kepompong kemiskinan.

"Oleh itu, LZS melaksanakan SJK yang melibatkan 50 pegawai bermula pertengahan September lalu. Ia untuk mengenalpasti golongan sasar yang tidak berdaftar dengan LZS. Ini kerana kebanyakan mereka tidak mengetahui proses permohonan bantuan," katanya.

Beliau berkata, SJK telah beroperasi di empat lokasi iaitu PPR Lembah Subang, Kota Damansara, Seksyen 27 Shah Alam dan Puchong Permai.

Katanya, daripada empat lokasi tersebut sebanyak 3,509 keluarga telah disiasat. Daripada jumlah itu 333 keluarga layak didaftarkan sebagai asnaf fakir dan miskin.

"Daripada jumlah yang layak itu, sebanyak 88 keluarga dikenalpasti layak menerima bantuan kewangan bulanan.

"Bakinya menerima bantuan mengikut permasalahan masing-masing seperti bantuan pendidikan, sakit kronik, hutang, modal perniagaan dan bantuan tahunan (Hari Raya)," jelasnya.

Sementara itu, Pengurus Besar Pejabat Agihan LZS, Sahadan Ishak berkata, menjejaki golongan fakir dan miskin bandar adalah lebih sukar berbanding di kawasan kampung kerana golongan miskin bandar terlindung oleh kemewahan masyarakat sekeliling.

"Kalau di kampung, kita boleh melihat terus keadaan rumah dan aset mereka. Jika rumahnya usang dan tiada apa-apa aset seperti kereta, kebun atau sebagainya, maka sah mereka adalah miskin atau fakir.

"Di bandar, kita perlu menjalankan siasatan dan menyemak kembali sebelum meluluskan permohonan. Ini kerana kita bimbang kes penipuan berlaku untuk mendapatkan peruntukan zakat," katanya.

Oleh itu, LZS menjalankan kerjasama strategik bersama pihak tertentu bagi menjejaki golongan tersebut seperti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Penghulu Kampung dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk dimaklumkan kepada SJK LZS.

Sahadan berkata, menerusi maklumat itu, SJK akan turun memantau di kawasan yang dikesan dan mengedarkan borang bancian kepada penduduk.

Proses permohonan pula dilakukan secara berperingkat kepada individu yang ingin memohon.

LZS akan mengutip borang permohonan yang telah lengkap diisi yang diagihkan semasa proses bancian penduduk untuk semakan fizikal pertama.

Selepas proses semakan, pegawai SJK akan membuat siasatan ke rumah untuk melihat sendiri permasalahan sebenar yang dialami pemohon.

Sekiranya permohonan itu menepati had kifayah yang ditetapkan, LZS akan menyemak jenis bantuan yang disalurkan sebelum mengeluarkan surat pemberitahuan dan memberi bantuan.

Had kifayah adalah proses pengiraan yang dirangka oleh LZS untuk menentukan sama ada pemohon itu dalam kategori miskin atau fakir.

Jika pendapatan pemohon hanya mampu menanggung 50 peratus daripada diri dan tanggungannya maka ia dikategorikan sebagai miskin dan layak menerima bantuan zakat.

Bagi pemohon yang mempunyai pendapatan tetapi tidak mencapai 50 peratus daripada keperluan diri dan tanggungannya, ia dikategorikan sebagai fakir.

Sahadan berkata, walaupun proses permohonan itu rumit, ia adalah langkah berjaga-jaga bagi mengelak berlaku penipuan.

"LZS boleh meluluskan permohonan bantuan dalam tempoh 24 jam jika mendapati pemohon benar-benar memerlukan.

"Sebagai pihak yang bertanggungjawab mengagihkan kutipan zakat, kita perlu melaksanakan tanggungjawab ini sebaik mungkin," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: