Friday, October 28, 2011

Inovasi LZS mudahkan berzakat


Salah sebuah rumah yang dibina hasil wang zakat yang disalurkan kepada LZS.


MEMANFAATKAN kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperkenalkan beberapa inovasi untuk memudahkan orang ramai membayar zakat.

Antara medium baru yang diperkenalkan adalah perbankan Internet, kad kredit, eZakatPay, khidmat pesanan ringkas (SMS), mesin ATM dan perbankan telefon.

Malah, LZS turut memperkasa kutipan zakat melalui skim potongan gaji, memaksimumkan ejen kutipan seperti bersama pihak bank, institusi pengajian tinggi dan Pos Malaysia bagi mencapai sasaran kutipan zakat tahun ini sebanyak RM350 juta.

Justeru, orang ramai tidak perlu lagi ke kaunter zakat atau beratur panjang di ejen kutipan zakat yang memakan masa untuk menunaikan rukun Islam itu. Segala urusan kini dapat dilakukan di mana-mana sahaja termasuk ketika di luar negara dengan mudah dan pantas.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof berkata, hasil usaha tersebut, LZS memperoleh kutipan sebanyak RM238.4 juta pada Januari sehingga September lalu.

Beliau berkata, daripada jumlah itu RM191.1 juta telah diagihkan kepada asnaf termasuk 21,097 fakir dan miskin di seluruh Selangor.

"Sebanyak 13,450 keluarga miskin dan 7,647 keluarga fakir mendapat bantuan LZS mengikut keperluan masing-masing.

"Agihan zakat mengikut enam asnaf pada Januari hingga Jun 2011 adalah fisabilillah sebanyak RM39.6 juta, orang yang berhutang (19.3 juta) amil (RM16 juta), mualaf (RM6.6 juta), riqab (RM1.4 juta) dan ibnu sabil (RM436,00)," katanya.

Mohamed Izam memberitahu, dalam tempoh Januari hingga Jun 2011, pihaknya berjaya memproses 36,512 (97 peratus) permohonan bantuan daripada jumlah keseluruhan permohonan iaitu 37,599.

"Sebanyak 98 peratus masalah aduan berkaitan agihan juga berjaya diselesaikan, manakala aduan kutipan, layanan dan perkhidmatan serta aduan umum dapat diselesaikan sepenuhnya," katanya.

Selain itu, LZS turut menggiatkan aktiviti dakwah dan pemasaran untuk menggalakkan syarikat dan organisasi melaksanakan zakat.

Antaranya, LZS melakukan 223 taksiran zakat kepada syarikat-syarikat dan menambah bilangan baru dengan memberi khidmat nasihat zakat kepada 403 syarikat.

Turut diadakan, majlis bayaran zakat perniagaan yang melibatkan 19 pembayar dengan jumlah kutipan RM520,000 dan majlis Corporate Talk dengan kutipan RM80,000 dan banyak lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: