Saturday, October 29, 2011

Sajian Orang Asli Semelai


LICIN ikan bakar dimakan penulis kerana rasanya yang memang enak ditambah aromanya yang harum.


MAKAN ANGIN kali ini bertuah kerana dapat menjejak kaki ke tasik air tawar terbesar Malaysia iaitu Tasik Bera. Tasik ini amat unik dan ekosistem tasik ini kaya dengan pelbagai jenis hidupan liar, tumbuhan dan juga menjadi tempat tinggal Orang Asli suku Semelai.

Di sini, saya berpeluang mempelajari dua masakan tradisional suku Semelai iaitu ikan bakar dan rebung jeruk. Kenapa kami memilih menu kaum Semalai? Kerana kami yakin ada sesuatu yang menarik pada menu makanan harian mereka ditambah dengan gaya hidup mereka yang masih lagi menggunakan sumber alam sebagai gaya hidup.

Saya pula seperti biasa, sebelum memulakan misi memasak, cuba bermain kayak di sekitar tasik yang cantik ini. Sangat tenang dan menarik.

Terasa seperti berada di sungai yang di kelilingi hutan amazon yang cantik dan memukau. Ketika berkayak, saya dapat melihat secara dekat rumah Orang Asli yang unik diperbuat daripada kayu-kayu hutan dan batang-batang pokok.

Apabila sudah berada atas air, tidak lengkap rasanya kalau tidak memancing! Bertuah betul saya pada hari itu apabila pertama kali berjaya menaikkan seekor ikan toman.

Sepanjang 10 episod Makan Angin yang melibatkan pancing, pastinya saya kecundang. Kali ini saya amat gembira dan rasa macam tidak percaya.

Selepas itu, kami meneruskan perjalanan ke Fort Iskandar, Tasik Bera untuk bertemu Yohanis yang merupakan salah seorang kaum Semelai yang membantu kami sepanjang rakaman dijalankan.

Beliau sangat peramah malah, menurut beliau, Orang Asli suku Semelai kini menjalani kehidupan mengikut peredaran moden. Beliau sendiri pernah melalui kehidupan yang lebih tradisional berbanding dengan mereka yang ada sekarang.

Perahu tradisional


CARA tradisional Orang Asli Semelai membakar ikan yang sangat mudah tetapi lazat.


Sebelum memulakan menu pertama iaitu ikan bakar, saya ke Sungai Bera untuk memancing menggunakan perahu layar. Perahu layar yang saya naiki merupakan perahu tradisional yang dibuat menggunakan batang pokok kayu yang ditebuk ditengahnya.

Susah juga hendak mengimbangi badan. Keadaan menjadi lebih mencabar bagi saya bila perlu menggunakan bubu. Akhirnya bubu kami berjaya memerangkap dua ekor ikan keli.

Kemudian Yohanis membawa saya ke kebunnya untuk mendapatkan ulam-ulaman yang jarang ditemui di bandar seperti daun kandis. Seperti biasa menyiang ikan keli merupakan tugasan yang rumit. Beberapa kali ikan yang disiang jatuh ke tanah disebabkan lantai rumah Orang Asli menggunakan rotan dan disusun jarak-jarak.

Inilah pertama kali saya melihat ikan keli yang sudah dibersihkan dibungkus menggunakan daun palas. Saya selalu lihat ikan bakar dibungkus dengan daun kunyit atau daun pisang. Ikan keli itu dicampurkan dengan daun kandis dan garam. Apabila sudah sebati, dibungkus dan akhirnya dibakar sehingga masak. Ketika dibakar, baunya sangat harum dan membuatkan saya lapar. Selesai masak, saya mencubanya. Errrmm memang sedap!


INILAH rupa ikan keli bakar yang dibalut dengan daun kandis.


Seterusnya ke menu kedua iaitu rebung jeruk. Pengalaman ini saya tidak akan lupa untuk seumur hidup saya! Apa tidaknya, satu badan saya kena miang rebung. Menurut Yohanis, cara saya mengambil dan memegang rebung tidak kena caranya.

Apa lagi untuk meredakan gatal-gatal di badan, saya terus terjun ke dalam sungai berdekatan. Apabila reda, barulah saya memulakan penggambaran menu kedua.

Mula-mula rebung dihiris nipis-nipis dan dimasukkan ke dalam rebusan air mendidih dan letakkan garam. Apabila sudah agak empuk sedikit rebung yang direbus, padamkan api dan rebung jeruk siap untuk dimakan.

Kalau mahu lagi sedap, simpan beberapa hari dan rasanya bertambah enak. Memang senang! Orang aAsli suku Semelai tidak banyak menggunakan bahan-bahan rempah atau tambahan. Cukup garam sahaja sebagai bahan perasa.

Apabila berehat di perkampungan suku Semelai, saya terserempak dengan seorang pemburu yang masih lagi menggunakan sumpit. Seronok betul saya apabila pemburu itu memberi peluang kepada saya untuk memburu menggunakan sumpit unik mereka.

Pada masa yang sama, saya juga dapat melihat cara membuat minyak keruing. Batang pokok keruing di tengah hutan ditebuk tengahnya dan dinyalakan api di dalamnya. Apabila api dinyalakan, minyak keruing pun terhasil dan ia dipercayai mujarab mengubati sakit gatal-gatal dan turut digunakan sebagai minyak urut.

Pengalaman manis saya ini akan saya kongsikan bersama anda semua menerusi Makan Angin 2 esok, 28 Oktober, jam 8.30 malam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: