ANDA mempunyai tempoh dua hari atau 48 jam untuk menjelajah di kolej-kolej, pub, kawasan hijau dan laluan denai yang dikelilingi pokok-pokok menghijau di sekitar Cambridge, England.
Wakil Reuters di sana cuba mencadangkan beberapa destinasi pelancongan yang boleh dilawati di bandar yang terkenal dengan sejarah universiti tertua di dunia itu.
Jumaat
6 petang
Tiba di stesen kereta api Cambridge sambil menghirup udara segar di daerah kecil dikenali sebagai Fenlands itu. Cambridge juga menerima jolokan 'bandar basikal' kerana rata-rata masyarakatnya daripada pelajar universiti sehinggalah ke jutawan perisian menggunakan basikal sebagai pengangkutan utama.
Sekiranya mahu melawat lokasi-lokasi terbaik di bandar ini, pelancong boleh menyewa basikal di Station Cycles yang terletak tidak jauh daripada stesen itu. Ketika di sana, jangan lupa membeli peta sebagai panduan perjalanan.
7 malam
Bagi yang mahu berjalan-jalan sekitar pusat bandar dan menggemari bidang sejarah, apa kata berkunjung ke Eagle. Ia merupakan sebuah kelab tertua di di Cambridge, dibuka sekitar kurun ke-17 khusus untuk pengembara luar bersantai.
Di bahagian luarnya terdapat plak yang menceritakan bagaimana di sinilah saintis terkemuka Cambridge, Watson dan Crick berjaya memecahkan kod rahsia asid deoksiribonukleik (DNA).
11 malam
Sebahagian besar kelab malam dan pub di Cambridge mulai ditutup pada waktu itu, namun ada juga terus beroperasi sehingga ke awal pagi.
Sekiranya pengunjung mahu meneruskan kehidupan malam, terdapat tiga kelab malam yang di sekitar Eagle yang boleh dikunjungi iaitu The Kambar, Lola Lo dan Fez Club. Bagaimanapun perlu diingatkan, kemeriahan dan kehangatannya hanya bermula pada sebelah pagi.
Sabtu
8 pagi
Berkayak merupakan sukan kegemaran masyarakat di Cambridge, biarpun Kelab Bot Universiti Cambridge kalah kepada Universiti Oxford dalam pertandingan bot kali ke-157 yang diadakan pada tahun ini.
Sekiranya ke bandar itu pada awal Jun, pengunjung boleh menyaksikan satu pertandingan kayak iaitu Universiti Cambridge May Bumps khusus untuk golongan pelajar, manakala pertandingan Town Bumps bagi penduduk sekitar diadakan pada awal Julai.
Sepanjang empat hari ia berlangsung, kawasan pinggir sungai akan dipenuhi ribuan penonton yang datang dari segenap ceruk negara itu. Kawasan sekitarnya juga meriah dengan pelbagai aktiviti seperti perkelahan, barbeku, parti, makan malam dan aktiviti membakar unggun api.
Salah satu rumah bot yang terkenal ialah Goldie Boathouse yang dibina pada tahun 1880, lokasi di mana pasukan Universiti Cambridge melakukan latihan kayak.
12 tengah hari
Berkunjung ke pub. Sebahagian besar pub menyediakan lokasi tempat makan terbuka yang menyediakan pelbagai hidangan. Salah satu pub tertua yang terdapat di sini ialah Fort St. George. Ia terletak di sebelah kanan bandar itu. Di hujung jalan itu pula terletak Old Spring.
Jauh di hadapan sungai menghala ke bandar melalui Ely ialah Green Dragon, jika berkayuh selama satu jam lagi pelancong bakal menemui The Bridge di Waterbeach.
2 petang
Selepas puas berada di The Bridge, pengunjung perlu berkayuh semula menuju ke bandar.
Selepas menikmati hidangan tengah hari, pengunjung boleh berkunjung ke kawasan sungai di pinggir bandar yang dikelilingi panorama ala desa serta dihuni ratusan haiwan seperti bangau, itik, angsa dan burung raja udang. Adakalanya, kambing biri-biri dan kuda juga turut kelihatan berhampiran padang.
3 petang
Selepas semua keseronokan diperoleh melalui aktiviti kayak dan berjam-jam di atas pelana basikal, tiba masanya untuk melihat wajah Cambridge yang kaya dengan keindahan taman dan seni binanya.
Salah satu cara yang terbaik untuk melihatnya adalah dengan menggunakan perkhidmatan bot tradisional yang mengelilingi sebahagian universiti.
Terdapat beberapa syarikat yang bertanggungjawab menyediakan pakej lawatan menyusuri sungai, salah satunya ialah Scudamore's.
Rasai kebebasan tatkala dibawa arus sungai yang mengalir perlahan sambil merasai pengalaman mendayung di atas bot tradisional yang diperbuat daripada kayu.
Jika mahu suasana lebih santai, pengunjung boleh mengupah pendayung yang terdiri daripada pelajar-pelajar universiti.
Sambil mendayung, mereka akan bercerita tentang sejarah universiti. Tatkala itu, pelancong boleh bermalas-malasan menikmati strawberi atau melihat panorama taman dan pemandangan menakjubkan di sekelilingnya.
8 malam
Terdapat beberapa restoran yang menawarkan hidangan lazat yang menyelerakan di sekitar Cambridge.
Sebagai panduan untuk mendapatkan maklumat dan informasi mengenai restoran dan pub yang terdapat di sana, apa kata layari laman web yang disediakan oleh Cambridge Pubs.
Umumnya, terdapat pelbagai pilihan restoran di sekitarnya antaranya ialah Midsummer House Restaurant bertaraf dua bintang yang terletak berhampiran Midsummer Common dan pub Fort St. George.
Restoran yang bercirikan seni bina Inggeris itu menyediakan hidangan French Mediterranean. Di samping itu, restoran Cotto juga tidak kurang hebatnya. Biarpun tanpa sebarang bintang, namun rempah-ratus dan ramuan segar tempatan yang digunakan di dalam setiap hidangan pasti menggoda sesiapa sahaja untuk mencubanya.
Bagi mereka yang mahukan cita rasa Eropah, apa kata berkunjung ke Hotel Du Vin yang terletak di tengah pusat bandar. Restoran itu mampu memuatkan sehingga 80 pengunjung pada satu-satu masa.
Ahad
10 pagi
Masa yang ditunggu-tunggu kerana pelancong berpeluang untuk melihat sejarah dan keunikan institusi akademik tertua, Cambridge dengan dengan lebih dekat.
Dibina pada tahun 1209, universiti itu pernah menjadi gedung ilmu bagi tokoh-tokoh terkemuka seperti Isaac Newton, Charles Darwin dan William Wordsworth, Stephen Hawking, Hugh Laurie and Sacha Baron Cohen.
Bagaimanapun, tidak semua bahagian universiti boleh dilawati kerana ada antaranya yang ditutup kepada pelawat.
Lawatan sebaiknya dimulakan di St. John's Street yang terletak bersebelahan Round Church, sebuah gereja yang dibina pada kurun ke-11 oleh pengasasnya, Fraternity of the Holy Sepulchre.
Sebaik sahaja menjejakkan kaki ke sini, pelancong pasti terpegun melihat seni bina Roman yang menghiasi setiap sudut bangunan.
Lawatan seterusnya melalui laluan itu membawa pelancong terus ke kawasan kolej-kolej. Terdapat dua mercu tanda utama dan terbesar di sini iaitu Trinity dan King's.
Di bahagian luar kolej pula, terdapat monumen patung pengasasnya, Henry VIII.
Pengunjung boleh bersiar-siar di sekitarnya dengan sedikit bayaran. Dalam lawatan itu, pengunjung berpeluang melihat gereja kecil, Great Court, Nevile's Court serta perpustakaan Wreen yang menakjubkan. Perpustakaan Wreen direka oleh Christopher Wren pada tahun 1695.
Perpustakaan itu juga menyimpan pelbagai koleksi berharga termasuk manuskrip prasejarah, naskhah awal Shakespeare, buku-buku dari perpustakaan milik Newton dan manuskrip bertajuk A.A. Milne hasil karya penyajak tersohor, Winnie-the-Pooh, Piglet dan Eeyore.
Di samping itu, ambil masa untuk bersiar-siar di sekitar halaman dan bangunan sekelilingnya yang telah memberi inspirasi kepada 32 pemenang hadiah Nobel seperti Francis Bacon, Lord Byron dan Alfred Tennyson.
2 petang
Puas melihat sejarah di King Parade, perjalanan diteruskan pula di Trumpington Street sebelum berhenti di Browns untuk menikmati sajian makan tengah hari yang enak. Bagi penggemar makanan laut pula, Loch Fyne sesuai dijadikan pilihan.
4 petang
Pengujung boleh bersiar-siar sekali lagi di sekitar universiti dan kolej sekiranya belum puas menghayati kesan dan nilai sejarah yang terdapat di dalamnya.
Bagi yang mahu bermalas-malasan, apa kata ambil teksi atau berbasikal ke Grantchester Meadows tidak jauh dari pusat bandar.
Sejak dulu lagi, kawasan itu menjadi tumpuan pelajar-pelajar universiti untuk menelaah buku dan berkelah. Keistimewaannya turut menjadi inspirasi kepada penyajak terkenal ketika Perang Dunia Pertama, Rupert Brooke dan dalam karyanya bertajuk The Old Vicarage, Grantchester.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: