Friday, October 28, 2011

Lebih Baik Saya Diamkan Diri - Shahir AF8

Shahir masih belum mahu bersara

Dua kali menghilangkan diri tanpa sebarang berita, juara program realiti, Akademi Fantasia 8, Shahir dilihat seakan-akan sengaja mencipta kontroversi.

Biarpun sebelum ini ada berita yang mengatakan Shahir berhasrat untuk mengundurkan diri daripada dunia seni, namun tiada kenyataan rasmi daripadanya dikeluarkan.

Menyepi terus daripada media, syarikat rakaman dan rakan-rakan, ia secara langsung menjadikan Shahir seorang artis yang nampak bermasalah.

Namun itu cerita beberapa bulan lalu, kini lelaki kelahiran Perak ini muncul semula, bertemunya pada majlis sidang media Separuh Akhir Muzik-Muzik yang lalu, Shahir menerangkan apa sebenarnya yang berlaku terhadapnya sebelum ini.

“Bulan Jun yang lepas saya terlibat dengan insiden kecil yang menyebabkan tangan saya retak dan ia sekali gus menyukarkan saya untuk bergerak, jadi disebabkan perkara itu saya membuat keputusan untuk berehat sebentar sementara menanti tangan kembali pulih.

“Pihak Astro tahu tentang perkara ini, saya sudah maklumkan saya mahu berehat selepas Hari Raya Aidilfitri dan akan kembali semula selepas itu.

“Namun, banyak salah faham timbul ketika tempoh itu, ada yang kata saya mahu bersara sedangkan kenyataan itu langsung tidak pernah keluar daripada mulut saya.

“Banyak juga cerita yang mengatakan saya tidak hadir membuat persembahan sedangkan sudah berjanji, tetapi sebenarnya itu semua salah faham, saya tidak diberitahu awal tentang perkara itu, jadi saya tidak tahu ada majlis yang memerlukan saya membuat persembahan ketika itu.

“Sebenarnya saya bukan hilangkan diri, selama ini saya berdiam sahaja bila terlalu banyak cerita buruk tentang saya timbul. Ia sememangnya sukar untuk menerima semua ini, tetapi bagi saya pula, cukup baik untuk saya diamkan diri sahaja daripada menunjukkan rasa tidak puas hati kepada semua orang,” jelas Shahir.

Tak Hubungi Rozita

Bertanyakan tentang Rozita Che Wan, menurut Shahir dia kini tidak pernah lagi menghubungi pelakon jelita itu.

“Perkara ini sudah selesai, saya tidak pernah mengaku bercinta dengannya, dan sejak tempoh bercuti sehingga sekarang, saya tidak pernah menghubunginya lagi.

“Saya ada dengar, orang kata saya hilangkan diri kerana frust putus cinta dengannya, tapi untuk apa saya kecewa? Saya sendiri tidak pernah mengaku kami bercinta, tak tahu pula jika sebaliknya.

“Saya tak mahu isu saya dan dia berpanjangan, kerana kami sekarang tidak lagi saling berhubungan,” jelas Shahir mengakhiri perbualan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: