Saturday, July 30, 2011

Sheryl Crow lelong kereta Mercedes


SHERYL CROW


KANSAS CITY – Penyanyi kelahiran Missouri, Sheryl Crow bakal melelong kereta jenis Mercedes miliknya dalam usaha membina semula 10 buah sekolah yang musnah akibat bencana puting beliung Mei lalu di Joplin.

Kereta Mercedes-Benz model 190 SL Roadster pada tahun 1959 itu akan dilelong dalam satu majlis di Pebble Beach, California pada 22 Ogos depan dan penyanyi itu memiliki kereta tersebut sejak 2005.

Firma lelongan, Gooding & Company menganggarkan nilai lelongan dari AS$50,000 (RM150,000) sehingga AS$80,000 (RM240,000) berdasarkan pengaruh selebriti tersebut dan keadaan kereta yang masih baik.

“Selepas bencana puting beliung di Joplin, saya berhasrat untuk membantu memulihkan keadaan di sana kerana ia merupakan tempat yang paling hampir dengan Missouri,” katanya menerusi kenyataan Isnin lalu.

Dalam pada itu, hasil lelongan kereta tersebut akan disalurkan kepada Yayasan Masyarakat Ozarks yang sebelum ini berjaya mengumpul dana sebanyak AS$2.5 juta (RM7.5 juta) untuk membaik pulih keadaan di Joplin.

Beberapa minggu sebelum ini, penyanyi tersebut berjumpa dengan timbalan presiden yayasan iaitu Louise Knauer dan memberitahu kereta yang bakal dilelong itu merupakan kegemarannya.

“Sumbangan Crow merupakan satu daripada beratus-ratus sumbangan lain, pada bulan lepas, kami menerima AS$500,000 (RM1.5 juta) daripada yayasan amal pelakon Brad Pitt dan Agelina Jolie,” katanya.

Pada 22 Mei lalu, bencana puting beliung di Joplin yang meragut 159 nyawa merupakan kejadian terburuk di Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh lebih 60 tahun malah ia memusnahkan kira-kira 30 peratus kawasannya yang mempunyai kira-kira 50,000 penduduk.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: