|  "Raya tahun ni sangat istimewa sebab pertama kali saya akan beraya di kampung. Selalunya sambutan Aidilfitri diadakan di rumah ibu saya di Taman Sri Gombak. Kami akan beraya dengan keluarga saya dulu di sini dan barulah bertolak balik ke kampung isteri di Melaka dan apa yang seronok, di sana benar-benar suasana kampung. "Bila dah tua barulah saya dapat merasa beraya di kampung sebab kampung saya di Singapura. Tak sabar nak merasai suasana beraya di kampung seperti mengacau dodol dan bakar lemang," begitulah kata Aziz M. Osman yang kelihatan bahagia bersama isteri tercinta, Puteri Lily.
Istimewa sungguh sambutan Aidilfitri Aziz dan Lily, walau jurang usia 27 tahun, namun kedua-duanya nampak sepadan sekali. Usik mengusik dan Aziz tak pernah lepas pandangan dari isteri tercinta. Maklumlah, aura pengantin baru masih terasa selepas dua bulan diijabkabulkan.
Walau masih muda, wanita berusia 21 tahun ini berfikiran matang. Sudahpun menyediakan segala keperluan untuk suami dan anak-anaknya, Lily menegaskan umur bukanlah penghalang menjadi isteri yang baik.
"Persiapan raya tahun ini seperti biasa. Saya kena paksa abang Aziz pakai baju melayu dan syukur dia dengar kata (ketawa). Kami sekeluarga akan pakai sedondon warna gold untuk raya nanti.
"Senang nak jaga abang Aziz sebab dia tak cerewat, apa yang ada sudah memadai baginya. Dan tak susah nak jaga anak-anak sebab Lily memang dah biasa dengan kanak-kanak dari dulu dan anak buah Lily pun memang ramai," ujarnya ramah. |
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: