ALOR SETAR: Elaun sara hidup bulanan bagi 60,000 nelayan pantai di seluruh negara akan dibayar lebih awal, iaitu pada 8 September ini sempena Aidilfitri yang dijangka disambut seminggu lagi.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Johari Baharom, berkata pada kebiasaannya elaun sebanyak RM200 itu dibayar pada setiap 15 haribulan."Diharapkan nelayan terbabit akan menggunakan wang itu secara berhemah ketika menyambut Aidilfitri nanti," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa bersama persatuan nelayan kawasan (PNK), di sini malam tadi.
Melalui projek perintis itu, LKIM akan membentuk gabungan beberapa nelayan kecil bagi membeli bot tunda dan pukat jerut.
"Kejayaan projek ini akan meyakinkan lebih ramai nelayan kecil untuk bergabung dan membeli bot besar serta memudahkan kerajaan membantu mereka mendapatkan pinjaman dan memberi latihan," katanya.
Mohd Johari berkata, kementerian juga akan melatih anak-anak nelayan berminat untuk mengikuti kursus di Institut Latihan Nelayan bagi membolehkan mereka mengendali peralatan moden serta bot besar.
Selain itu, katanya, perkampungan nelayan yang sesuai akan dinaik taraf menjadi kawasan tarikan pelancongan dan zon memancing dengan pembinaan tukun tiruan atau kelong.
Pada majlis itu beliau menyerahkan bantuan berjumlah RM100,000 kepada pengerusi persatuan nelayan di seluruh negeri untuk diagihkan kepada 27,000 nelayan miskin manakala lima PNK masing-masing menerima bantuan RM2,000.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: