Thursday, April 1, 2010
Siti serius jadi usahawan
Penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza kini mampu tersenyum bangga setelah hasratnya untuk memiliki rangkaian produk kecantikan sendiri, SimplySiti akhirnya tercapai. Namun beliau bukanlah satu-satunya artis di negara ini yang tampil dengan produk kecantikan sendiri, sebaliknya sudah ada beberapa artis yang pernah mencuba tetapi kebanyakan ‘bungkus’.
Bagi Siti, fenomena itu sedikit pun tidak menggugat keyakinannya kerana minatnya dalam dunia kecantikan dan kosmetik sudah lama sebati dalam diri selebriti sepertinya. Bukan sekadar melepaskan batuk di tangga, sebaliknya beliau sangat serius untuk menceburi bidang itu dan mengharapkan agar produknya dapat menembusi pasaran antarabangsa.
“Siti bukan main-main untuk hasilkan produk sendiri. Dari awal hingga akhir Siti banyak terlibat sama bagi memastikan kualitinya mencapai tahap yang dikehendaki. Malah Siti sendiri mencubanya beberapa kali hinggalah menjumpai formula yang sesuai untuk kulit wanita Asia.
“Hampir dua tahun Siti telah bekerjasama dengan syarikat penyelidikan kecantikan di Korea dan kini Siti gembira dengan hasilnya yang sesuai untuk semua golongan wanita di negara ini. Kalau dulu, peminat selalu tanya apakah produk yang Siti gunakan, sekarang Siti sedia berkongsi dengan mereka kerana sudah ada produk sendiri,” kata Siti yang telah menggunakan tagline ‘Rahsiaku Kini Milikmu...’ untuk produk sulungnya itu.
Sukar dapatkan logo halal
Memandangkan kesemua produk kecantikannya dihasilkan di Korea, mana tidak hairankan penyanyi yang sedang popular dengan lagu ‘Amarah’ ini, memberitahu, terpaksa berdepan dengan kesukaran untuk mendapatkan logo halal dari pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di negara ini. Malah akui Siti, itulah cabaran yang paling besar baginya sepanjang penghasilan produknya itu.
“Siti memilih Korea kerana ia merupakan antara negara yang terbaik dalam penghasilan kosmetik dan Siti tertarik dengan teknologi ‘Nano’ yang sangat bermanfaat untuk kulit. Namun oleh kerana negara itu, bukanlah negara Islam, maka kaedah penghasilannya sedikit diragui.
“Tetapi setelah Siti membawa beberapa pegawai dari Jakim ke Korea untuk melihat sendiri penghasilan produk ini, mereka akhirnya berpuas hati dengan tahap kebersihan dan mutu produk ini. Siti juga bersyukur kerana akhirnya SimplySiti mendapat pengiktirafan logo halal dan yang paling penting ia selamat dan suci untuk digunakan oleh semua wanita Muslimah di negara ini,” katanya yang ditemui selepas pelancaran gilang-gemilang SimplySiti di sebuah hotel terkemuka di ibu kota, Selasa lalu.
Sambutan luar biasa
Hadir dalam bentuk rangkaian kosmetik dan produk kecantikan kulit, SimplySiti, kini boleh didapati di seluruh cawangan Watson. Siti berkata, produknya itu dipasarkan di gedung itu sejak dua minggu lalu dan hasil jualannya sangat memberangsangkan. Harga yang ditawarkan juga berpatutan dan mampu dimiliki semua golongan.
“Siti dimaklumkan jualannya memang luar jangkaan. Harganya murah saja dan kurang RM100. Lipstik dijual RM29.90. Dari awal lagi, Siti memang mahukan semua golongan, termasuklah pelajar dapat menggunakan produk Siti," katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: