Thursday, April 1, 2010
39 dituduh khalwat dalam 1 bilik
SHAH ALAM - Sepuluh daripada 39 individu, termasuk penuntut dan bekas penuntut, yang dituduh berkhalwat di sebuah bilik sebuah hotel di sini, lima bulan lalu, mengaku bersalah di Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam.
Mahkamah mengeluarkan waran tangkap terhadap 10 lagi, termasuk empat perempuan dan penjamin mereka, kerana tidak hadir.
Sepuluh orang yang mengaku bersalah semuanya lelaki, berusia dalam lingkungan 20-an. Seramai 19 lagi, termasuk tiga perempuan, memohon dibicarakan.
Mereka didakwa berkhalwat pada jam 2.10 pagi, 15 November lalu di premis bilik 422, Blok 4, Persiaran Raja Muda, Seksyen 7, di sini.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda maksimum RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, mengikut peruntukan Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995.
Tertuduh terdiri daripada pelbagai latar belakang seperti penuntut, yang baru tamat pengajian dan telah bekerja.
Seorang daripada mereka merayu diringankan denda kerana baru 'merasa gaji pertama'.
Hakim Syarie, Kamarulzaman Ali, yang menjatuhkan hukuman terhadap lima tertuduh, menasihatkan mereka berfikir lebih mendalam apabila mencari keseronokan.
“Kamu masih muda, perjalanan masih panjang dan diari kosong tidak diisi. Bermacam-macam keseronokan di luar, tapi kamu perlu memilih. Patut difikirkan sebelum kamu lakukan, bukan selepas dibuat,” katanya.
Kamarulzaman berkata, tertuduh, yang ditangkap dalam bilik tertutup, berikutan aduan orang awam, menunjukkan masyarakat mula bercakap dan jijik dengan perbuatan itu.
“Khalwat adalah pintu kejahatan dan tidak boleh dipandang ringan, apatah lagi apabila masyarakat semakin rosak. Sakit mata masyarakat bila menghidu kebusukan,” katanya.
Pengakuan salah lima lagi tertuduh direkodkan di hadapan Hakim Syarie, Drs Atras Mohamad Zin.
Semua 10 yang mengaku salah itu diperintahkan membayar denda antara RM3,000 dan RM2,000 atau, jika gagal menjelaskannya, menjalani penjara antara 30 dan 90 hari.
Kamarulzaman menetapkan antara RM1,500 dan RM2,000 atau mengemukakan seorang penjamin yang menetap di Selangor sebagai jaminan tertuduh yang tidak mengaku salah.
Atras juga menetapkan jaminan RM1,500 atau tertuduh mengemukakan penjamin yang tinggal di sini, dengan jaminan RM2,500.
Kes akan disebut semula pada 7 Julai depan.
Mahkamah akan membuat keputusan berhubung permohonan pendakwa syarie untuk memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi Syariah.
Permohonan untuk memindahkan kes dibuat bagi memudahkan dan memastikan keselesaan perjalanan kes memandangkan bilangan tertuduh yang ramai.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Muhammad Nazri Basrawi dan Siti Fatimah Ahmad Maulana daripada Jabatan Agama Islam Selangor. Semua tertuduh tidak diwakili peguam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: