Thursday, April 1, 2010

Perubahan hidup Ahmad Bakri


AHMAD BAKRI (tengah) selaku juara Pencarian Kacak Bergaya Vigor Pancaindera 2010 beserta tempat kedua dan ketiga iaitu Hafizul (kanan) dan Mohd. Nurul Afiq (kiri).


MENJUARAI Pencarian Kacak Bergaya Vigor Pancaindera 2010 yang diadakan di Hotel Legend, Kuala Lumpur, baru-baru ini, Ahmad Bakri Marfi, 23, mengakui hidupnya sudah banyak berubah sebaik menyertai pertandingan tersebut.

Daripada seorang yang pemalu, pendiam dan tidak pandai bercampur gaul, kini, semuanya itu tiada lagi dalam catatan hidup sehariannya.

Berubah dan terus berubah, apa yang pasti, penuntut tahun kedua Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Jasmani Kesihatan ini tidak gusar lagi untuk memikirkan cara untuk bergaya.

"Banyak yang saya pelajari. Kalau sebelum ini, saya lebih tertumpu kepada latihan di padang hoki.

"Kalau asyik tumpu kepada sukan, pergaulan pun agak terbatas. Hanya di kalangan rakan-rakan yang berlatih bersama sahaja.

"Sekarang ini, saya sudah ada keyakinan diri dan memiliki rakan yang pelbagai latar belakang,'' kata Ahmad Bakri yang juga bekas pemain hoki skuad remaja kebangsaan.

Memasuki Pencarian Kacak Bergaya Vigor Pancaindera 2010 sekadar suka-suka pada awalnya, ujar anak jati Kuala Lumpur ini, dia akan cuba menceburi bidang baru terutamanya peragaan atas platform yang telah disediakan oleh Pancaindera.

Menurutnya, walaupun sibuk dengan pengajian di universiti, dia akan cuba menyusun atur jadual andai diberikan ruang melepasi sempadan dunia peragaan atau bidang hiburan lain seperti pengacaraan serta lakonan.

Namun jelasnya, bidang akademik adalah menjadi keutamaannya dan bercadang untuk melanjutkan pengajian sehingga ke peringkat Ijazah doktor falsafah (PhD).

"Akademik sangat penting. Tetapi, saya sendiri minat untuk menjadi seorang model satu hari nanti.

"Sebenarnya saya tidak menyangka boleh memenangi Pencarian Kacak Bergaya Vigor Pancaindera 2010 kerana saingan cukup kuat.

"Saya bertuah kerana mendapat didikan daripada Aleeza Kasim yang telah banyak mengajar saya bagaimana untuk catwalk di pentas,'' ujar Ahmad Bakri yang mula aktif dalam sukan hoki sejak di bangku sekolah rendah sebelum memasuki Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ).

Kali terakhir Ahmad Bakri aktif dalam skuad remaja kebangsaan adalah pada 2004 apabila menyertai Sukan Olimpik Remaja di Sydney.

Selaku juara Pencarian Kacak Bergaya Vigor Pancaindera 2010 anjuran Mingguan Malaysia, Ahmad Bakri membawa pulang wang tunai berjumlah RM3,000, trofi dan tiket penerbangan ke London.

Tempat kedua diraih Hafizul Ahmad Kamal, 25, manakala Mohd. Nurul Afiq Hussain, 25, mendapat tempat ketiga.

Hafizul membawa pulang wang tunai berjumlah RM 2,000, trofi dan tiket penerbangan ke Gold Coast manakala Mohd. Nurul Afiq pula menerima hadiah wang tunai RM 1,000, trofi dan tiket penerbangan ke Perth.

Anugerah Pilihan Pembaca menjadi milik Mohamad Zulhairi Mohd. Jamal, 20, manakala Ahmad Tarmizie Suhaimi, 25, dipilih memenangi Anugerah Pilihan Pancaindera.

Ahmad Mathni Ab. Razak, 21, pula dipilih memenangi Anugerah Pilihan AirAsia dan akan diterbangkan ke Colombo, Sri Lanka.

Enam peserta lain yang turut bertanding ke peringkat akhir ialah Mohd. Fairus Khalid, 29, Muhammad Afiq Azman Shah, 18, Norizal Jalal, 22, Muhammad Shazni Ramli, 21, Fadzlan Hazim Anuwar, 18 dan Mohd. Shahwady Juwal, 24.

Hadiah disampaikan oleh Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak.

Kesemua peserta diadili oleh penyanyi dan pelakon Erra Fazira; Rashidi Ishak; penerbit filem Raja Azmi Raja Sulaiman; Pensyarah di Jabatan Komunikasi, UPM, Saiful Nujaimi Abdul Rahman serta bekas pengarang majalah Wanita, Mahani Awang.

Sementara itu, Pengarang Hiburan Mingguan Malaysia, Tengku Khalidah Tengku Bidin bertindak sebagai Ketua Juri.

Acara yang ditaja syarikat Jamu Mak Dara itu menampilkan aktres serba boleh, Sharifah Shahira sebagai pengacara manakala persembahan pentas dihangatkan dengan nyanyian Hattan, Dayang Nurfaizah, Mila dan Shazroul sambil disaksikan lebih 400 penonton.

Pertandingan yang memasuki tahun kedua itu turut mendapat tajaan Air Asia, Alfio Raldo, Addam Men Skincare, Clark Hatch Fitnes Centre, Alken, My Saloon, Aleeza Kasim Modelling Academy, Istana Budaya, Noor Arfa Batik, Gedung Al-Habsyee, Rahman Saif, F.A. Creative dan Ocean Elements.

Ajar lelaki jaga diri

Sementara itu, Ahmad Bakri tatkala diajak berbicara mengenai penganjuran Pencarian Kacak Bergaya Vigor Pancaindera berkata, ia adalah program yang baik dalam mendidik kaum lelaki terhadap aspek penjagaan personaliti diri.

"Dalam pemerhatian saya, segelintir daripada kaum lelaki tidak pandai bergaya dan menjaga personaliti.

"Ada yang bergaya tetapi ada yang perlu diperbaiki lagi. Tahniah kepada penganjur kerana dengan program sebegini, orang seperti saya dapat meningkatkan lagi cara untuk tampil baik,'' jelasnya yang aktif berenang serta aktiviti lasak.

Mengenai terjemahan apa itu kacak dan apa itu bergaya, bicara Ahmad Bakri, ia tidak terlepas daripada dikaitkan dengan soal disiplin seseorang.

"Kalau ada disiplin dan prinsip hidup, seseorang itu pasti melahirkan personaliti yang baik dan kacak di mata orang lain,'' ujarnya yang meminati rancangan Malaysia Hari Ini (MHI) di TV3.

Bagi Hafizul pula, kacak bergaya adalah soal dalaman dan luaran seseorang.

"Gabungan kacak bergaya yang ada di dalam dan luar akan menjadikan seseorang itu tampil dengan satu nilai hidup yang berkualiti,'' katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: