Thursday, April 1, 2010

Farid, Lisa paling popular - David


LISA Surihani sempat diraikan sempena hari lahirnya yang ke-24 pada majlis itu.


BIASANYA dalam bidang perfileman tanah air, pada setiap masa akan mempunyai pasangan pelakon yang bukan sahaja serasi tetapi juga boleh dijadikan daya penarik untuk memikat penonton berkunjung ke pawagam.

Tujuh tahun lalu misalnya, Erra Fazira dan Yusry Abdul Halim merupakan pasangan pelakon paling popular dan berjaya menarik ramai peminat menyaksikan filem-filem lakonan mereka, sekali gus mencatat kutipan tiket yang tinggi.

Penerbit MIG Production Sdn. Bhd. (MIG), David Teo berkata, trend itu diteruskan apabila dia menyifatkan Farid Kamil serta Lisa Surihani pasangan pelakon paling popular masakini selepas era Yusry dan Erra.

Menurut David, beliau mengakui hakikat itu berdasarkan kaji selidik yang telah dijalankannya bagi mengetahui pelakon yang menjadi pilihan para peminat untuk digandingkan sebagai hero dan heroin dalam filem-filem terbitannya.

"Selain menjalankan kaji selidik, saya juga membuat kajian melalui maklum balas yang diberi oleh para penonton di Internet dan laman sosial Facebook. Ramai yang suka melihat gandingan Farid dan Lisa.

"Mereka bukan sahaja popular, malah serasi digandingkan dalam filem. Saya anggap mereka sebagai 'pelaris' dalam filem-filem terbitan saya," katanya kepada Hits selepas pratonton Semerah Cinta Stilleto baru-baru ini.

Pada pratonton yang diadakan di Seri Kembangan, Selangor itu, Lisa dan Farid sekali lagi digandingkan sebagai pasangan kekasih selepas sebelum ini pernah berlakon bersama dalam filem I'm Not Single dan V3 terbitan MIG.

Jelas David, dia akan terus menggandingkan pasangan pelakon itu di layar perak berdasarkan permintaan daripada para peminat bagi memastikan filem-filem terbitannya mendapat kutipan tiket 'pecah panggung'.

"Saya akan gunakan formula sama seperti ketika kami menggandingkan Erra dan Yusry dalam filem Kuliah Cinta pada 2003. Filem itu mencatat kutipan tiket RM3.8 juta.

"Ketika itu, pasangan Yusry dan Erra sedang popular. Saya lakukan semua ini berdasarkan 'permintaan' dan 'penawaran'. Sebab itu, saya yakin Farid dan Lisa kini merupakan pasangan paling serasi selepas Erra dan Yusry," ujarnya.

Selain itu, David kini juga sedang merancang untuk menggandingkan lagi pasangan pelakon popular itu menerusi filem terbarunya yang berkemungkinan besar berjudul Cinta 1, 2, 3.

Pengarah Semerah Cinta Stilleto, Ahmad Idham Ahmad Nadzri turut bersetuju dengan pandangan penerbit MIG itu bahawa Lisa dan Farid merupakan pasangan pelakon yang mampu menarik para penonton ke pawagam.

Katanya, dia pernah melalui pengalaman yang sama pada penghujung 1990-an apabila mengambil Yusry dan Erra berlakon dalam filem arahannya, Mr. Cinderella yang mendapat sambutan hangat pada ketika itu.

"Saya menggunakan 'resipi' yang sama seperti David lakukan. Saya tidak boleh menafikan siapakah pelakon yang para penonton mahu tengok di filem sekarang ini. Buktinya filem Mr. Cinderella itu boleh dikatakan 'menjadi'.

"Filem terbitan Kuasatek Pictures dan Skop Productions itu 'meletup' kerana ketika itu kisah cinta Erra dan Yusry sedang hangat diperkatakan. Formulanya ialah untuk menarik perhatian para penonton," komennya.

Farid yang ditemui pada majlis itu seakan-akan tidak terkejut apabila dia dan Lisa dikatakan oleh David serta Ahmad Idham sebagai pasangan pelakon paling popular.

Sebaliknya, pelakon berasal dari Alor Setar, Kedah itu sudah mula mendengar pujian daripada para penonton selepas mereka buat kali pertama digandingkan dalam filem I'm Not Single arahan Pierre Andre kira-kira dua tahun lalu.

"Saya gembira apabila para penonton menerima gandingan saya dan Lisa dalam filem. Saya juga semakin rapat dan mengenali Lisa selepas berlakon I'm Not Single. Ia membantu kami sewaktu berada di lokasi penggambaran.

"Pada masa sama, saya tidak tahu sampai bila para penonton akan suka lakonan kami atau mampukah chemistry kami bertahan lama?

"Saya sentiasa cuba memenuhi permintaan para penonton dan bersedia digandingkan dengan mana-mana juga pelakon wanita pada masa depan. Yang penting para peminat suka dan menonton filem lakonan saya," katanya.

Lisa yang diajukan persoalan sama turut berasa gembira dan teruja apabila dia dan Farid kini dikategorikan pasangan pelakon paling popular serta serasi.

Tambahnya, dia bukan sahaja menghormati citarasa dan permintaan para penonton, tetapi pada masa sama turut berusaha bagi memantapkan lagi lakonannya bersama Farid.

"Saya tidak pasti di mana letaknya chemistry saya dan Farid. Cuma yang pasti saya dan Farid selalu berbincang dan bertukar-tukar pendapat sebelum sesebuah filem itu kami lakonkan.

"Sama seperti Farid, saya juga serahkan segala-galanya di atas permintaan para peminat sebab mereka yang keluarkan duit untuk menonton filem lakonan kami," katanya.

Semerah Cinta Stilleto yang menelan kos produksi termasuk promosi RM1.5 juta merupakan sebuah kisah cinta antara dua darjat 'versi moden' lakonan Farid sebagai Letto dan Lisa (Stila).

Turut membintangi filem ke-36 terbitan MIG itu ialah Cat Farish yang melakonkan watak Yani, Maimun Mutalib (Mak Tini), Datuk Jamali Shadat (Pak Wan), Shaharudin Thamby (Datuk Azhar) dan Nanu (Datin Fairuz).

Filem genre cinta Ahmad Idham itu merupakan yang terbaru selepas dia mengarahkan Mr. Cinderella 10 tahun lalu dan akan ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 8 April ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: