AWAL kemunculan band yang berasal dari Klang, Selangor, Bunkface sekitar tahun 2008 serba-serbi tidak kena meskipun ketika itu mereka cukup hangat dengan lagu bahasa Melayu pertama yang berjudul Situasi.
Bukan sahaja dikatakan mempunyai masalah bersama dengan media, malah muzik band yang dianggotai oleh tiga anak muda Shamsul Annuar Mohd Baharom atau Sam (vokal/ gitar), Ahmad Farhan Hashim atau Paan (gitar utama) dan Mohd Farouk Jaafar atau Youk (bass/ suara latar) dipertikaikan kerana mirip seperti band tersohor Britain, Green Day.
Namun, seiring dengan perjalanan waktu, satu demi satu halangan diredah. Kini, Bunkface yang setia dengan jalur muzik pop punk dan alternatif rock lebih matang dan berkat kesabaran, mereka telah pun berjaya berada di tahap selesa sama seperti band-band popular yang lain.
"Dalam tempoh tiga tahun, pelbagai perkara yang telah kami lalui. Pernah dihentam dan dikeji semuanya kami telan. Kami akui, pada peringkat awal, kami masih baru dan tidak tahu perjalanan dunia hiburan termasuklah cara komunikasi.
"Namun, perkara-perkara tersebut telah banyak mematangkan kami dan membentuk Bunkface seperti hari ini. Syukur kerana peminat masih setia bersama kami," kata Sam.
| |
| SAM merupakan vokalis utama Bunkface. KEMUNCULAN awal Bunkface pernah dipertikaikan atas dakwaan menyamai Green Day. |
Meskipun sudah popular dan meraih anugerah antaranya, Rockstar Award, Breakout Award dan Ultimate Award di Shout Award 2009 anjuran 8TV, hakikatnya perjalanan seni Bunkface penuh liku dan tidak pernah terlintas pada fikiran mereka bertiga untuk popular seperti hari ini.
"Kami suka muzik, sejak sekolah kami selalu jamming bersama dan sering masuk pertandingan tetapi tidak sangka penerimaan orang terhadap muzik kami di luar jangkaan.
"Bermula hanya suka-suka, sekarang muzik sudah menjadi periuk nasi kami. Kalau fikir balik, macam tidak percaya pun ada tetapi itulah realiti," ucap Paan dalam tawa.
Phobia Phoney
Kelahiran album sulung mereka, Phobia Phoney dan beberapa lagi single seperti Revolusi, Prom Queen dan Extravaganza benar-benar mengubat rindu buat peminat mereka.
Ini kerana masa yang diambil untuk muncul dalam sebuah album penuh terlalu lama. Bagaimanapun menurut mereka bertiga, penantian tersebut berbaloi apabila album sulung yang penuh dengan identiti Bunkface dihasilkan.
"Masa yang lama kerana jadual yang terlalu padat dengan persembahan pentas. Kami inginkan yang terbaik, jadi rakaman yang dimulakan pada hujung tahun 2008 hanya siap sepenuhnya pada hujung tahun lalu.
"Semua lagu dicipta oleh Sam dan liriknya dibuat bersama-sama. Setiap lagu menceritakan perjalanan Bunkface sendiri," jelas Youk.
Menyentuh tentang judul album, Sam menerangkan ia bermaksud penipuan palsu dan revolusi yang berlaku dalam Bunkface.
"Album ini adalah kami. Dulu kami bimbang juga nak keluarkan album tetapi kini kami sudah mempunyai keyakinan untuk menghasilkan album. Judul itu simbolik kepada perjalanan Bunkface," ungkap Sam.
Album yang dibikin seratus peratus oleh produksi mereka sendiri iaitu Bunkface Production menelan kos sebanyak RM15,000. Harga yang cukup murah jika hendak dibandingkan dengan album penyanyi lain.
Namun bagi Bunkface, kos penghasilan album mereka itu rendah kerana mereka menghasilkannya sendiri tanpa campur tangan pihak ketiga.
"Kami buat lagu, lirik, dan produksi semuanya sendiri termasuk pengedaran kami akan berhubung terus dengan kedai-kedai muzik. Sebab itu, kami boleh kurangkan kos, jika penyanyi lain mereka mungkin terpaksa bayar untuk beli lagu, tempah studio sedangkan kami sudah ada semuanya," ujar Youk.
Jelas mereka lagi, menghasilkan album sulung dengan hasil titik peluh sendiri cukup bermakna dan banyak pengalaman yang mereka pelajari dalam selok-belok pembikinan sebuah album.
"Macam duit, kami kumpul daripada persembahan pentas, simpan sikit-sikit, bila sudah cukup baru kami rakam album. Itu juga antara salah satu faktor kelewatan album ini," luah Sam pula.
Dalam album sulung mereka daripada 10 buah lagu, enam daripadanya adalah lagu bahasa Inggeris seperti Bunk Anthem, Prom Queem, Soldier, Escape Dance, You & Me dan Minute Ti The End.
Ditanya adakah mereka berhasrat menghasilkan sebuah album penuh dalam bahasa Inggeris untuk pasaran antarabangsa, ketiga-tiga hanya menguntumkan senyuman sebelum Youk bersuara mengatakan: "Jika ada rezeki kami akan lakukannya tetapi buat masa ini biarlah dikenali dan mempunyai asas yang kuat di negara sendiri baru boleh ke luar negara."
Bagi mempromosikan album Phobia Phoney, mereka akan menjelajah seluruh Malaysia tetapi perkara itu masih lagi dalam peringkat perbincangan.
| |
| |
"Kami ingin sangat jelajah satu Malaysia, jumpa peminat. Jika tiada aral yang melintang rancangan ini pasti akan dilaksanakan jua," kata Youk.
Album Phobia Phoney yang dijual pada harga RM29.90 akan mula berada di pasaran pada pertengahan Mac ini.
AIM
Tidak terhad di Malaysia, khabarnya pada bulan Jun depan mereka bertiga akan berangkat ke United Kingdom, untuk menyertai satu festival muzik terbesar iaitu Festival Madley Breakout.
Pernah menyertainya tahun lalu di Malvies, Youk mengatakan kebanyakan penonton yang datang boleh menerima dengan mudah muzik Bunkface.
"Kami tidak hanya nyanyi lagu dalam bahasa Inggeris tetapi juga lagu Melayu. Walaupun orang di sana tidak memahami sepatah pun bahasa Melayu tetapi mereka boleh layan muzik kami," kata Youk.
Dalam perkembangan lain, Bunkface turut mengucapkan rasa syukur apabila tersenarai dalam Anugerah Industri Muzik ke-17 (AIM 17). Mereka dicalonkan dalam kategori Artis Baru Terbaik, Lagu Rock Terbaik (Situasi) dan Lagu Inggeris Tempatan Terbaik (Prom Queen).
"Terkejut dan tidak sangka. Kami tidak harap untuk menang sudah tercalon pun cukup baik. Ini membuatkan kami untuk lebih fokus pada kerjaya dan berharap orang kenal Bunkface kerana kerja seni bukannya kisah peribadi," balas Youk.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: