BERDIRI atas paksi sama, Anita Sarawak dan Datuk Sheila Majid sudah mempunyai kelas tersendiri dalam dunia hiburan tempatan. Kedua-duanya juga pernah beraksi di pentas dunia dengan penerimaan pelbagai pengiktirafan.
Maka, apabila Anita atau lebih dikenali sebagai Kak Nita dan Sheila digabungkan bersama untuk persembahan Minggu Setiausaha anjuran PNB Darby Park pada 7 April nanti, timbul persoalan mengapa kedua-dua diva itu perlu berkongsi pentas.
Bukannya mereka tidak serasi, tetapi ada pihak yang berpendapat hanya dengan kemunculan salah satu daripada mereka sahaja sudah cukup untuk menghangatkan serta menarik audiens untuk menghadiri acara tersebut.
Namun, Kak Nita dan Sheila amat gembira dengan kerjasama sulung itu. Saling memuji, Sheila dan Kak Nita hanya pernah berkongsi pentas pada konsert Diva SEA di Singapura hampir sedekad lalu. Dari situ, Kak Nita berpeluang untuk menyaksikan sendiri kehebatan Sheila.
"Tidak ada soal siapa lebih hebat atau siapa lebih menyinar. Kak Nita sangat menyukai lagu Legenda nyanyian Sheila. Itu adalah lagu yang Kak Nita minat semasa baru pulang dari Las Vegas. Suaranya unik dan itu juga kali pertama Kak Nita berjumpa dengan Sheila," kata Kak Nita yang kelihatan menyerlah dalam busana rekaan Ashley Wong.
Sheila yang sudah lama mengagumi Kak Nita pula berasa teruja apabila dia akhirnya berpeluang untuk beraksi bersama Kak Nita. Bagi Sheila, penyanyi berusia 57 tahun itu menjadikan dia lebih berdisiplin dan bersungguh-sungguh dalam menunaikan kerjanya.
"Kak Nita bagaikan sumber inspirasi kepada penyanyi generasi muda seperti saya. Elemen disiplin terhadap kerja adalah satu sikap yang perlu dipelajari. Kak Nita tidak pernah bekerja sambil lewa dan bertanggungjawab dalam semua tugasan. Ia akan menjadi satu kolaborasi hebat," ujar Sheila pada sidang media mengumumkan acara itu, baru-baru ini.
Sambung Kak Nita yang hanya akan menjayakan satu majlis minggu setiausaha, dia masih aktif sehingga kini bukannya kerana mahukan kehidupan glamor. Seperti kata Sheila, dia mahu memberi inspirasi kepada penyanyi muda.
"Kak Nita bukannya mahu mengejar populariti atau bersaing. Tapi Kak Nita mahu memberi galakan kepada penyanyi muda bahawa masih ada harapan lagi walaupun sudah berusia 50-an. Jadi selagi yang boleh, Kak Nita mahu menghiburkan peminat."
Bertempat di Pusat Konvensyen Sime Darby, acara yang bertemakan Red Carpet, Glitz & Glam itu akan dihoskan oleh Fahrin Ahmad. Menjadi gabungan terbaik yang pernah diaturkan oleh PNB Darby Park, Sheila akan menyampaikan lagu terbarunya, Dengarkanlah.
Kak Nita pula akan memberikan seleksi lagu baladanya secara medley. "Disebabkan masa yang terhad, Kak Nita tidak boleh menyampaikan semua lagu. Kalau nyanyi semua, nanti Sheila pula tidak dapat keluar. Lagipun Kak Nita perlu bertimbang rasa kerana penonton yang datang masih perlu pulang ke pejabat untuk bekerja."
Dibahagikan kepada dua sesi berlainan dengan kemunculan Kak Nita dahulu sebelum tirai ditutup Sheila, mereka juga akan berduet sebagai sebuah hadiah istimewa kepada peminat.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: