SELEPAS diijabkabul dan meluah ikrar setia dengan pasangannya, Fazilah Hani Datuk Harun, 30, kehidupan pelakon tampan, Zizan Nin, 36, kini hampir mencapai kesempurnaan. Namun realiti, dia bukan lagi lelaki solo seperti peminat mengenalinya di pentas lakonan sebelum ini.
Menjadikan Masjid Negara, Kuala Lumpur sebagai saksi penyatuan dua hati pada malam Jumaat lalu, Zizan sah menjadi suami kepada wartawan penyiaran dan penyampai berita bahasa Malaysia Edisi 7 di saluran ntv7 itu dengan sekali nafas.
Ketika ditemui usai majlis bersejarah mereka, Zizan yang lengkap berbaju Melayu rona putih itu kelihatan tenang sambil duduk bersila di sebelah Hani. Ada riak keterujaan pada wajah masing-masing setelah hubungan dibina sejak dua tahun lalu itu menemui penamat di jenjang pelamin.
“Saya macam tidak percaya sudah bergelar suami,” spontan bicara Zizan sambil tertawa kecil tatkala diminta pihak media meluah rasa selepas selamat bergelar sang suami dan ketua keluarga.
| |
| IKATAN termeterai. Hani menitiskan air mata terharu sebaik sah bergelar isteri Zizan. |
Pelakon yang sedang popular dengan drama bersiri, Sanggar Cinta Raudhah yang disiarkan di TV2 itu memberitahu, kehidupan yang dilalui selepas berkahwin tetap tidak berubah. Zizan memberitahu, dia akan berusaha seimbangkan kerjaya dengan tanggungjawab sebagai seorang suami.
“Saya masih berlakon kerana ia merupakan sumber pendapatan sejak bertahun-tahun dulu. Terus-terang, belum ada perancangan lain selepas ini. Saya dan Hani bakal menjalani hidup seperti biasa.
“Cuma seminggu selepas bernikah dan mengadakan resepsi persandingan, saya, Hani dan kedua orang tuanya (Datuk Harun Hashim dan Datin Fatimah Md. Shah) akan berangkat ke Mekah pada 31 Mac ini menunaikan umrah selama 10 hari.
“Sebaik saja pulang mengerjakan ibadat ini, saya mula bekerja dan menjalani penggambaran drama di Korea selama dua minggu. Kemudian barulah saya dan Hani bakal memutuskan destinasi bulan madu kami,” ungkap Zizan yang belum memutuskan destinasi bulan madu mereka.
Meskipun upacara pernikahannya tidak dapat dihadiri ibu tercinta yang terlebih dahulu menyahut seruan Ilahi pada Oktober 2009, namun Zizan pasrah. Biar perit menelan, pemilik nama penuh Azizan Nin itu bagaimanapun tidak mampu menghalang kuasa Yang Maha Esa.
“Saya reda dengan pemergiannya. Paling penting, arwah sempat bertemu Hani dan merestui hubungan kami. Lagipun saya percaya doa dia sentiasa bersama dalam apa jua anaknya lakukan,” jawab Zizan yang kelihatan sedikit sebak saat bercerita tentang arwah ibunya.
Takdir cinta
Sebaik selesai Zizan membaca akad nikah, Hani yang dilahirkan di Wisconsin, Amerika Syarikat kelihatan sebak sambil tapak tangannya menadah doa mensyukuri termeterai episod baru mereka. Serentak itu juga, air matanya jatuh membasah pipi.
Beritahu Hani, air mata yang tumpah itu punya cerita tersendiri. Hati siapa tidak bahagia apabila takdir cintanya dengan Zizan berkesudahan di gerbang perkahwinan.
“Saya menangis sebab rasa terharu. Selain itu, saya bersyukur kerana segala yang dirancang selama ini berjalan lancar. Tangisan ini sebenarnya menunjukkan kegembiraan saya bergelar isteri,” jawab graduan Ijazah Bisnes Kewangan dari Universiti Tenaga Nasional (Uniten) pada tahun 2002.
Mengimbau detik pertemuan Zizan dan Hani, mereka diperkenalkan seorang teman pada satu majlis sekitar penghujung tahun 2008. Selepas enam bulan berkawan, pasangan merpati dua sejoli itu mengambil kata putus menjalin hubungan yang lebih serius dengan menjadi sepasang kekasih.
“Sepanjang waktu ini, saya dapati Zizan memiliki ciri-ciri istimewa seperti kelakar, baik hati, hormat orang tua dan pandai memasak,” ungkap Hani sambil mengakui tidak gentar menoktahkan zaman dara dengan selebriti dambaan ramai wanita itu.
Sebelum menamatkan perbualan, Zizan dan Hani sempat berkongsi rasa tentang harapan masing-masing terhadap institusi kekeluargaan baru terbentuk itu.
“Sudah pasti kita mohon yang terbaik dalam hubungan suami isteri. Sama juga dengan saya dan Hani yang berharap agar ikatan ini dikurnia ramai cahaya mata dan berkekalan sehingga akhir hayat.
“Bukan itu saja, saya dan Hani cuba menguruskan masa dengan sebaik mungkin selepas ini apatah lagi kerja kami menuntut komitmen sehingga ke luar daerah dalam tempoh panjang,” akhiri Zizan yang sudah lama berkeinginan memegang status suami, cuma jodohnya lewat sampai.
Terdahulu, pasangan tersebut dinikahkan oleh Pendaftar Perkahwinan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Abdullah Hashim di hadapan bapa pengantin perempuan dengan mas kahwin RM651 manakala wang hantaran dirahsiakan jumlahnya.
| |
| RESTU. Pasangan pengantin bergambar kenangan bersama ahli keluarga kedua-dua belah pihak. |
Pada majlis itu, Zizan menghantar tujuh dulang dan dibalas sembilan oleh pihak perempuan antaranya cincin, sejadah dan al-Quran, produk kecantikan, pewangi, kasut, pakaian persalinan serta sirih junjung.
Mereka mengikat tali pertunangan di kediaman keluarga Hani di Ampang Jaya, Kuala Lumpur dengan dihadiri ahli keluarga terdekat kedua-dua belah pihak pada 18 Disember lalu.
Majlis resepsi persandingan Zizan dan Hani pula berlangsung di Dewan Perdana Felda, Jalan Semarak, Kuala Lumpur 20 Mac lalu pukul 8 malam dengan suasana majlis dalam taman.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: