DEMIKIAN antara bibit-bibit lirik lagu Hijau nyanyian Zainal Abidin yang menyampaikan mesej peringatan kepada kita betapa penting untuk terus menjaga dan memulihara alam semula jadi.
Bagaimanapun, isu pemanasan global, pencemaran alam sekitar, hidupan liar dan hakisan ombak yang tiada berkesudahan semakin menimbulkan rasa bimbang di kalangan penduduk dunia.
Senario itu jika tidak ditangani secara serius dan penuh berhemat boleh mengundang kesan mendalam terhadap kehidupan manusia serta menjejaskan sistem eko alam semula jadi kita.
Menyedari kepentingan tersebut, pelbagai pihak mengambil langkah proaktif dengan memulakan kempen dan inisiatif sendiri untuk memulihara alam semula jadi, hidupan liar dan mengatasi pemanasan global.
Bagi sebuah kopitiam yang terletak di tengah-tengah kesibukan Bandar Sunway, Petaling Jaya, Selangor, keprihatinan terhadap penjagaan alam sekitar mendorong pihak pengurusannya untuk mengetengahkan konsep eko untuk dijadikan tema kepada perniagaan mereka.
Restrees Kopitiam yang mula beroperasi sejak bulan Jun tahun lalu menampilkan ciri-ciri tumbuhan-tumbuhan dan kayu-kayan yang hakikatnya tidak ubah seperti premis makanan lain.
Begitupun, apabila melihat dengan lebih dekat perabot, lantai dan dekorasi yang terdapat di Restrees Kopitiam, ia sebenarnya diperbuat daripada bahan buangan pertanian.
Pendekatan itu sekali gus menjadikan kopitiam yang menawarkan makanan tempatan dan Barat tersebut, unik serta berbeza berbanding kopitiam di negara ini.
| |
| PERABOT Kopitiam Restrees boleh dibiarkan di luar tanpa masalah kerana ia kalis air. |
Pengurus Makanan dan Minuman Restrees Kopitiam, Rasip Suratmin, berkata, bahan buangan pertanian yang digunakan untuk membuat perabot kopitiam itu terdiri daripada sekam padi, sabut kelapa dan sabut kelapa sawit.
"Bahan-bahan buangan pertanian tersebut terlebih dahulu diproses di sebuah kilang sebelum ia dijadikan meja, kerusi, menu, pemegang pintu, lantai, bahan dekorasi serta lain-lain yang terdapat di kopitiam ini.
"Kalau dilihat dengan teliti ia kelihatan seperti kayu biasa tetapi sebenarnya adalah bahan buangan pertanian. Ia juga lebih berat berbanding kayu biasa. Ini menunjukkan produk yang digunakan itu lebih tahan lasak," katanya kepada Kosmo!.
Kebaikan perabot mesra alam
Mengenai kelebihan bahan buangan pertanian itu, beliau berkata, selain ia kelihatan seakan-akan kayu biasa, produk-produk tersebut juga tahan daripada serangan anai-anai untuk mengelak daripada mudah reput.
"Produk yang menggunakan bahan buangan pertanian ini turut mempunyai ciri-ciri kalis air menjadikannya mudah digunakan di luar premis apabila cuaca hujan. Kita tidak perlu risau ia akan rosak dan sebagainya.
"Selepas beberapa bulan menjalankan perniagaan kopitiam ini, saya juga mendapati bahawa penggunaan bahan buangan pertanian tersebut dapat membantu mengurangkan suhu panas di dalam premis," ujarnya.
Rasip menambah, pihak pengurusan amat menitikberatkan tentang kepentingan alam semula jadi dan kehijauan untuk diaplikasi dalam perniagaan itu.
Restrees Kopitiam mempunyai moto iaitu Satu Hati, Satu Rumah, Satu Planet yang menekankan tentang kepentingan alam semula jadi.
Katanya, disebabkan moto tersebut konsep eko diaplikasikan dalam Restrees Kopitiam itu. Dekorasi yang digunakan premis tersebut terdiri daripada batang-batang kayu untuk mencetus suasana seperti berada di alam semula jadi.
"Di bahagian luar premis ini pula, dihiasi dengan tumbuh-tumbuhan seperti buluh, pokok bunga dan sebagainya, malah terdapat lampu-lampu lama di atas batang kayu untuk menzahirkan suasana nyaman serta menenangkan," ujarnya.
Katanya, pendekatan menggunakan bahan buangan pertanian itu merupakan satu sumbangan kecil yang dapat dilakukan pihaknya dalam memulihara alam semula jadi.
Apakah makanan yang ditawarkan di Restrees Kopitiam? Rasip berkata, pelbagai makanan Barat dan tempatan ditawarkan kopitiam berkenaan kepada pelanggan.
"Antara makanan yang menjadi pilihan pelanggan termasuk nasi goreng fighter, nasi lemak ikan rebus, mi bandung, mi kari dan banyak lagi.
"Bagi makanan ringan pula, pelanggan lebih gemar mencuba ubi rebus, goreng pisang bersama kicap dan roti bakar. Setakat ini, sambutan yang ditunjukkan amat menggalakkan khususnya pada waktu tengah hari dan petang," katanya.
Aspek kebersihan
Selain kepentingan menjaga kehijauan dan alam semula jadi, Rasip menambah, Restrees Kopitiam juga menekankan aspek kebersihan khususnya dari segi penyediaan makanan.
"Dalam memastikan aspek kebersihan, kita sudah memohon sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan dijangka akan mendapatnya dalam masa terdekat.
"Pihak Jakim sudah melawat premis ini sebanyak dua kali untuk melakukan pemeriksaan terhadap bahan makanan, kebersihan dan sebagainya sebelum mendapat sijil halal berkenaan," ujarnya lagi.
| |
| TANDAS kopitiam yang bukan sahaja bersih tetapi diberi sentuhan dekorasi menyegarkan. |
Sementara itu, seorang pelanggan, Mohd. Hafidz Mohd Nur Yusop, 32, berkata, beliau berasa selesa dengan suasana kopitiam berkenaan yang menekankan kehijauan.
"Dari luar premis makanan ini, kita dapat melihat terdapat tumbuh-tumbuhan menghijau sekali gus melahirkan perasaan selesa dan nyaman.
"Dalam pada itu, apa yang menarik minat saya adalah kerusi dan meja diperbuat daripada bahan buangan pertanian. Ia satu idea yang sangat unik," katanya.
Bagi Nurermina Sheren Aida Md. Amin, 24, pula, beliau tidak menyangka bahan-bahan yang digunakan dalam premis berkenaan merupakan bahan buangan pertanian.
"Memang agak unik dan berbeza jika dibandingkan dengan kopitiam yang pernah saya kunjungi sebelum ini. Ia bukan sahaja menarik tetapi apabila membaca menu disediakan kita turut didedahkan tentang alam semula jadi," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: