SEJAK kebelakangan ini, kes saman menyaman sesama selebriti atau selebriti dengan pihak luar semakin menjadi-jadi. Seolah-olah ia sudah menjadi trend dunia hiburan untuk mempertahankan hak masing-masing tanpa mahu berbincang atau berdamai secara baik di luar mahkamah.
Turun naik mahkamah pula sudah menjadi 'majlis' wajib yang perlu dihadiri dan sekali gus ia menjadi sensasi media untuk tatapan pembaca. Malah, kehadiran para selebriti ke mahkamah juga boleh dikatakan menjadi perhatian ramai disebabkan gaya dan penampilan mereka.
Tahun ini sahaja, pelbagai kes saman artis dibicarakan di mahkamah. Antara yang hangat ialah kes saman terhadap vokalis kumpulan Search, Suhaimi Abdul Rahman atau Amy Search mengenai kecuaian pekerja restorannya iaitu Restoran Cheng Ho yang tertumpah tomyam panas ke atas badan seorang budak sehingga melecur.
Pelakon popular, Sheila Rusli bersama suaminya, pengarah drama dan filem, Jinggo masih lagi turun naik mahkamah mengenai kes saman mereka terhadap Datuk Azlina Che Abdullah, rakan kongsi perniagaan restoran Nasi Dagang House.
Selain itu, ada juga beberapa kes saman yang bakal dikemukakan ke mahkamah seperti juara Raja Lawak musim kedua, Ahmad Nabil Ahmad bakal disaman setelah melanggar kontrak dengan produksi SDAF Pictures Sdn. Bhd. apabila tidak memberi kerjasama untuk mempromosikan filem itu dan tidak profesional kerana mengeluarkan kenyataan yang telah 'menjatuhkan' filem itu.
Begitu juga dengan dua pelakon popular Abby Abadi dan Zul Ariffin, mereka turut disaman oleh produksi Aficionado Media Sdn. Bhd. atas dakwaan melanggar kontrak berlakon telefilem Paku Di Dinding Hati untuk siaran Astro pada Mac tahun lalu
Bagaimanapun, sejauh manakah kesan kebaikan dan keburukan kes saman ini apabila pihak yang terbabit terpaksa melalui setiap fasa bersama bukti dan saksi. Keesokan harinya pula, rata-rata akhbar memaparkan keterangan yang telah dikeluarkan oleh selebriti itu. Lalu, hal mereka menjadi kecoh diperkatakan umum.
| |
| ABBY dan Zul disaman syarikat penerbitan telefilem Paku Di Dinding Hati atas dakwaan melanggar kontrak. |
Benar, seseorang selebriti atau pihak-pihak lain mempunyai hak untuk bertindak jika terasa dianiaya tetapi risikonya juga perlu ditanggung sendiri.
Sama ada kes saman itu akan berjaya atau tidak, sebahagian rahsia selebriti itu yang mungkin pernah disimpan rapi pasti akan terbongkar juga mengikut penyiasatan yang dilakukan.
Jika individu berkenaan membawa masalah sehingga ke mahkamah kerana mahu menegakkan hak mereka, mungkin ia boleh dipertimbangkan lagi. Bagaimana pula jika seseorang selebriti itu disaman kerana mahu mendapatkan publisiti dan 'pulangan' yang tersendiri? Semua itu bergantung pada nawaitu masing-masing.
Mungkin juga selebriti-selebriti ini mencapai tahap kematangan mengenai pemahaman undang-undang dan lebih arif mengenai hak-hak mereka membuatkan para selebriti ini bertindak tanpa membuang masa.
Isu sampingan
Bila mendengar nilai angka ringgit kes saman yang dikenakan oleh selebriti atau kepada selebriti berkenaan yang agak mengejutkan, perkara ini menimbulkan petrsoalan tentang bagaimana individu tersebut membuat perkiraan sehingga mencecah jutaan ringgit.
Persoalan lain juga timbul apakah tujuan utama kes saman diwujudkan? Adakah individu yang mahu menyaman itu mahu meraih publisiti murahan, mendapatkan wang dengan cara mudah atau mahu menegakkan hak-hak mereka?
Kemunculan satu demi satu kes saman yang membabitkan selebriti semakin menjadi-jadi apabila masing-masing mempunyai pandangan dan kebenaran yang mahu ditunjukkan.
Menurut peguam bela dan peguam cara dari firma guaman Tengku Naufal & Co., Tengku Naufal Tengku Mansor, perkembangan kes saman perlu dilihat sebagai sesuatu yang positif dalam industri hiburan kerana semua pihak seperti selebriti, media serta individu yang berkaitan dengan hiburan seni akan lebih berhati-hati dalam melakukan sesuatu perkara atau mengambil tindakan dalam membuat keputusan, memberikan komen atau kritikan terhadap pihak lain.
"Semua pihak yang berkaitan perlu sedar bahawa hidup kita dalam apa jua keadaan, dikawal oleh undang-undang negara kita yang berdaulat.
"Cuma, bila kes-kes yang melibatkan jalan perundangan, persepsi peminat dan masyarakat akan berubah dan boleh membawa kepada isu-isu lain yang tidak sepatutnya berlaku dalam dunia hiburan Malaysia.
"Sebaik-baiknya cari jalan tengah selain daripada Mahkamah, dalam mendepani masalah yang timbul. Jika selebriti berkenaan masih menemui jalan buntu, barulah jalan perundangan digunakan. Saya kira langkah tersebut lebih bijak.
"Sebagai seorang peguam, saya nasihatkan, ada baiknya jika individu yang bertelagah itu mencari jalan untuk menyelesaikan kes mereka secara baik di luar mahkamah. Jika gagal diselesaikan, maka atas dasar hak, jalan undang-undang adalah penyelesaiannya.
"Perlu diingat, kalah atau menang, masyarakat akan menjurus ke arah membuat keputusan kepada satu pihak. Walaupun perkara ini tidak sepatutnya berlaku, sebagai selebriti, ia sukar untuk dielakkan," ujarnya.
Naufal menjelaskan, publisiti juga adalah isu sampingan yang tidak boleh dielakkan golongan selebriti. Justeru, tindakan yang dibuat perlu jelas matlamatnya.
Justeru, jika hak individu berkenaan digugat, peruntukan undang-undang boleh menuntut dan menegakkan hak mereka.
| |
| SHEILA dan Jinggo turut termasuk senarai artis yang terbabit dalam kes saman di negara ini. |
"Mungkin ada yang anggap punca kes saman yang timbul agak remeh. Sebenarnya, sama ada remeh atau tidak, ia satu aspek yang relatif. Pada mata umum, mungkin ia dilihat remeh tetapi pihak yang dinafikan haknya menganggapnya serius.
"Pokok pangkalnya, adakah undang-undang memperuntukkan peruntukan-peruntukan yang wajar bagi situasi tersebut. Jika ya, tertakluk kepada keputusan pihak yang ingin mengambil tindakan tersebut untuk membuat keputusan," tegas Naufal.
Tidak logik
Menjadi seorang selebriti, mereka perlu bersiap sedia dengan cabaran dan dugaan yang datang tanpa diduga. Begitu juga dengan kes saman yang tiba-tiba sahaja perlu mereka lalui, ia mampu merosakkan imej seseorang selebriti itu sendiri mengikut persepsi masyarakat luar.
Menurut Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Harun Salim Bachik, sebelum mahu bertindak ke arah saman menyaman, adalah lebih baik jika ia diselesaikan dengan cara baik agar tiada kerosakan reputasi di kedua-dua belah pihak.
"Sedar tak sedar, hal ini boleh menjejaskan reputasi atau kredibiliti seseorang artis. Mungkin pihak yang mahu menyaman itu berada di kedudukan yang selesa, mereka gunakan undang-undang sebagai platform untuk mendapatkan hak masing-masing.
"Dari segi karier pula, susah untuk saya cakap kerana lebih banyak publisiti yang diraih, maka lebih banyaklah rezeki yang datang. Cuma dri segi keyakinan orang ramai terhadap seseorang selebriti itu mungkin terjejas. Tambah pula dengan medium media yang luas, masyarakat pasti akan mengikuti perkembangan menang kalah artis tersebut
"Nak ikutkan, baik pada dunia korporat atau hiburan, kes saman ini adalah satu perkara yang biasa. Mungkin kerana artis lebih dikenali, maka hal mereka tersebar dengan cepat.
"Mungkin, ada juga yang mahu mengambil kesempatan pada artis berkenaan untuk mengaitkan dengan individu lain agar boleh dijadikan bahan cerita. Menang atau kalah, perkara ini menjadi satu isu dan peminat seni ingin tahu apa kesudahannya," ujarnya.
Bagaimanapun, Harun agak kecewa bila ada pihak yang mengambil kesempatan dengan menyaman selebriti berkenaan dengan nilai ringgit yang tidak logik.
Sementara itu, Amy Search menganggap kes saman yang dibuat oleh selebriti adalah suatu perkara yang perlu dituntut jika mereka berada di pihak yang benar.
Sama ada ia berbaloi atau tidak dengan kos pengeluaran wang, tuntutan harus dibuat agar penggiat seni tidak mudah diperlekehkan.
"Setiap artis perlu tahu hak masing-masing agar tidak dipergunakan. Bila ada yng tidak kena, mereka perlu perjuangkan walaupun terpaksa naik turun mahkamah.
"Perjuangan ini juga bukan untuk diri semata-mata tetapi untuk industri seni tempatan sendiri. Sekali-sekala kita perlu menjaga kepentingan diri dan perlu lawan tidak kira sama ada kita saman orang atau orang mahu saman kita. Setakat ini, apa yang saya perjuangkan, saya dapat.
"Berdasarkan pengalaman, saya telah meninggalkan rujukan buat semua penggiat seni mengenai kes saman saya terhadap sebuah syarikat rakaman beberapa tahun yang lepas.
"Saya rasa, reputasi seseorang artis itu tidak akan terjejas jika kita berada di pihak benar," kata Amy yang telah menghabiskan puluhan ribu ringgit bagi setiap kes saman yang dilaluinya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: