| |
| PARA peminat bersorak dan melambaikan tangan setiap kali Stefan Olsdal (kiri) dan Brian Molko menghampiri bahagian depan pentas pada konsert tersebut. |
PLACEBO bukanlah suatu nama besar buat peminat muzik rock di negara ini biarpun kumpulan yang ditubuhkan di London 16 tahun lalu itu telahpun menghasilkan enam album. Sungguhpun begitu, kumpulan yang dianggotai oleh Brian Molko selaku penyanyi utama dan gitaris, Stefan Olsdal (gitaris) dan Steve Forrest (dram) itu tetap mempunyai para peminat mereka yang tersendiri di negara ini.
Para peminat Placebo yang kebanyakannya berusia 25 tahun ke atas seolah-olah tidak menghampakan mereka apabila mula beratur panjang di luar KL-Live, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur tempat berlangsungnya konsert itu hampir dua jam sebelum ia bermula.
Konsert pertama Placebo di negara ini yang diadakan di pusat hiburan terkenal itu disaksikan hampir 3,000 peminat termasuklah satu pertiga daripadanya merupakan warga asing yang terdiri daripada golongan 'mat salih'.
Tanpa publisiti meluas, namun kumpulan yang popular dengan lagu Nancy Boy itu bukan sahaja berjaya menarik para peminat setia mereka ke konsert tersebut, malah menyanyi bersama-sama setiap lagu yang disampaikan.
Kumpulan yang sedang dalam rangka konsert bergerak World Tour 2010 itu tampil di atas pentas pada pukul 9 malam dengan menyanyikan salah satu lagu popular mereka For What It's Worth.
Konsert jelajah yang antaranya meliputi negara seperti Indonesia, Australia, Taiwan, Thailand, Singapura dan Jepun itu antara lain bagi mempromosikan album keenam kumpulan itu berjudul Battle For The Sun yang berada di pasaran sejak tahun lalu.
Selain album itu, Placebo yang dalam bahasa Latin bermaksud saya akan bercakap juga telah menghasilkan lima lagi album berjudul Meds (2006), Sleeping With Ghosts (2003), Black Market Music (2000), Without You I'm Nothing (1998) dan Placebo (1996).
Dengan gaya muzik rock yang disulami elemen disko, industrial, pop dan sedikit metal menyebabkan para penonton bagai diserang histeria menghayati lagu-lagu Placebo yang sarat dengan runtunan emosi.
Persembahan muzik kumpulan yang boleh dianggap sebagai low-profile ini diteruskan dengan lagu-lagu mereka yang sendat dengan elemen eksperimen seperti Asthray Heart, Battle For The Sun, Soulmates, Speak In Tongues dan Follow The Cops Back Home.
Daripada mula berada di pentas sehinggalah ke penghujung set pertama persembahan, anggota-anggota Placebo terutamanya Brian Molko langsung tidak berkata sepatah perkataan termasuklah 'hello' kepada para penonton pada malam itu.
Placebo yang dikatakan mempunyai sedikit persamaan muzik hasil gabungan kumpulan seperti Ramstein, The Cure dan Sonic Violence (kumpulan industrial dari UK) lebih banyak menumpukan pada persembahan semata-mata.
Dengan menggunakan tiga gitar elektrik termasuklah yang dimainkan oleh pemuzik undangan mereka iaitu Nick Gavrilovic menambahkan lagi kebingitan yang adakalanya seakan-akan menjurus kepada aliran tekno bercampur disko.
Para penonton bertambah histeria apabila Placebo meneruskan persembahan dengan sebuah lagi lagu popular mereka berjudul Every You Every Me sambil mengangkat tangan dan menyanyikannya bersama-sama.
Lagu-lagu lain yang turut memanaskan lagi konsert yang mengenakan tiket RM98 dan RM158 itu ialah Special Needs, Breath The Underwater, Julien, The Never Ending Why, Come Undone, Devil In The Details, Meds, Song To Say Goodbye, Special K dan The Bitter End.
Selain tiga anggota utama Placebo, kumpulan itu turut menggunakan dua lagi pemuzik undangan iaitu Billy Lloyd selaku pemain bass, keyboards dan piano serta Fiona Brice (biola, keyboards dan percussions) bagi menambahkan lagi resipi adunan muzik mantap mereka.
Sebelum mengakhiri konsert selama hampir dua jam itu, Placebo sempat menyampaikan tiga buah lagu berjudul Bright Lights, Infra-Red dan Taste In Men yang menerima tepukan gemuruh tanda puas daripada para penonton.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: