ISU ikon timbul lagi dalam dunia hiburan tanah air. Ikon dalam Kamus Dewan Edisi Ketiga bermaksud 'gambar, lukisan, gambaran: puisi Sutardji dalam konteks ritual dan kepercayaan berserta - yang seiiring bagi dunia magis Melayu - Indonesia yang primitif atau lukisan dan gambar yang dianggap keramat (orang yang mulia)'.
Dulu masyarakat kata 'penyanyi itu' atau 'pelakon ini' bolehlah dijadikan ikon terutamanya kepada generasi muda. Mereka kata, golongan artis bukan sahaja mempunyai bakat seni yang tidak dimiliki oleh orang lain.
Malah, ramai juga yang berpendidikan tinggi dan sentiasa memberi contoh teladan yang baik buat para peminat mereka. Bakat dan personaliti yang menarik juga merupakan antara kelebihan buat golongan ini, sekali gus memudahkan masyarakat terpengaruh dengan mereka.
Itu dulu, tetapi sekarang ia jauh berubah dan senarionya juga sudah terbalik. Sekarang ini artis memang semakin ramai. Namun, banyak cerita fasal artis yang disiarkan di media-media massa sejak kebelakangan ini semakin menakutkan kerana lebih banyak berita buruk daripada baik tentang mereka.
Ia bukan setakat membabitkan kes-kes seperti cerai-berai, ditangkap khalwat, pecah rumah atau berfoya-foya di kelab-kelab malam sambil minum arak ditambah dengan pakaian menjolok mata.
Malah, lebih memeranjatkan apabila artis sekarang bukan sahaja ramai yang terbabit dalam gejala penagihan dadah tetapi mereka juga terlibat secara langsung dalam pemprosesan dan pengedaran bahan terlarang tersebut.
Sebab itu, sekarang ini apabila ada yang kata artis tidak lagi layak dipanggil ikon, sebaliknya perosak kepada masyarakat ramai jugalah yang 'panas bontot'. Tidak kurang juga yang melenting. Alasannya, 'janganlah kerana nila setitik rosak susu sebelangga'.
Pada masa sama mereka ini lupa bahawa 'siapa makan cili dialah yang terasa pedasnya'. Tidak mustahil sentimen itu timbul kerana golongan artis yang diperkatakan itu mungkin terdiri daripada kawan-kawan mereka juga. Bak kata orang 'cubit peha kiri, peha kanan terasa juga'.
Sampaikan ada juga 'orang kuat' dalam persatuan artis yang seolah-olah tidak sanggup menerima kenyataan atau persepsi baru itu yang dilabelkan terhadap golongan artis pada hari ini.
Apa yang menghairankan, mereka ini pula seakan-akan tidak menerima hakikat tentang akhlak dan nilai buruk yang dilalui oleh kebanyakan artis dalam kehidupan seharian mereka. Pejam mata sahajalah kerana sokongan ahli sebenarnya cukup penting bagi orang yang berpersatuan.
Bukan berniat untuk mempertikaikan nilai moral golongan artis, jauh sekali menghina mereka yang juga sama seperti manusia-manusia lain yang mempunyai kelemahan masing-masing.
Cuma yang menghairankan ialah tidak banyak usaha dilakukan bagi menyangkal tohmahan-tohmahan seperti itu. Banyak usaha boleh dijalankan, contohnya dengan mengadakan kursus, seminar, kaunseling ataupun motivasi bagi mempertingkatkan lagi tahap nilai moral serta jati diri golongan terbabit.
Jika Biro Tatanegara yang dianjurkan oleh kerajaan turut boleh dilibatkan kepada golongan pekerja swasta tanpa mengira usia dan latarbelakang kerjaya, mengapakah perkara yang sama tidak boleh diterapkan terhadap golongan artis tempatan?
Dalam hal ini, 11 persatuan artis yang bernaung di bawah Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) mahupun Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) yang memayungi ribuan ahli mereka boleh turut serta bagi memikirkan isu tersebut.
Sementara itu, kalau ada pun aktiviti-aktiviti berunsur keagamaan yang dianjurkan sama ada oleh persatuan-persatuan artis atau pihak kerajaan, golongan artislah yang paling liat untuk tunjuk batang hidung. Dalam soal menjadikan golongan artis sebagai ikon kepada masyarakat, ia bukanlah perkara yang mudah.
Ini kerana, tidak semua bidang seperti hiburan boleh melahirkan ikon yang mampu menjadi ikutan masyarakat daripada segi luaran mahupun dalaman. Gelaran ikon yang juga bermaksud sebagai panduan dalam melalui kehidupan seharian seseorang itu juga haruslah dikaji semula.
Masyarakat selepas ini janganlah terlalu mudah untuk mengangkat artis sebagai ikon, sebaliknya biarlah ikon yang diangkat itu benar-benar menepati kemurnian aspirasi budaya, bangsa dan agama Islam di negara ini.
Isu mengatakan golongan artis hari ini tidak layak lagi dijadikan ikon pun bukannya datang daripada mulut orang lain. Sebaliknya, ia datang daripada kalangan mereka sendiri. Memang ada logiknya kerana hanya mereka yang pernah bergelumang dengan dunia artis yang serba sosial sahaja tahu akan realiti kehidupan seharian golongan itu.
Selain itu, golongan artis janganlah berada dalam dilema sama ada mereka layak atau tidak layak untuk digelar ikon dalam masyarakat. Pada masa sama, selepas ini masyarakat juga haruslah meneliti, sama ada berita-berita yang dipaparkan oleh media massa mengenai golongan artis semakin positif ataupun semakin negetif?
Kalaulah berita-berita yang mewakili golongan artis semakin buruk juga, maka benarlah mereka ini memang tidak layak diberi gelaran ikon.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: