| |
| Pemain mendengar nasihat daripada jurulatih profesional Kwan Yoke Meng sebelum memulakan latihan. |
JIKA lebih sedekad lalu, imej keluarga Misbun menjadi tatapan dan juga impian seluruh anak muda negara yang mahu menjadi seperti mereka.
Masakan tidak, nama Misbun, Razif, Jailani dan juga Rashid Sidek menjadi bualan ramai khususnya di zaman kemuncak mereka iaitu pada tahun 1992, apabila anggota keluarga ini membantu Malaysia menjulang piala keramat sukan badminton, Piala Thomas.
Kini, anak muda negara sekali lagi membuka mata apabila menyaksikan kehebatan pemain badminton perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei yang baru sahaja merampas gelaran juara perseorangan All England di saat kejuaraan itu mencapai usia ke-100 tahun baru-baru ini.
Semangat dan kejayaan Chong Wei di pentas antarabangsa telah menjadi inspirasi kepada berpuluh ribu anak muda negara untuk menjadi sepertinya.
Antara beribu rakyat Malaysia yang mengangkat nama Chong Wei sebagai idola mereka adalah kanak-kanak berusia 11 tahun ini, Goh Ting Yu yang sanggup datang dari Sabah ke semenanjung, semata-mata mahu merealisasikan impiannya sebagai pemain badminton.
Kata kanak-kanak itu, minat terhadap sukan ini tidak hanya dipupuk menerusi rangsangan ibubapanya sahaja tetapi aksi Chong Wei yang dikenali menerusi kaca televisyen itu, menjadi penyumbang kepada impiannya.
Malah ketika bercakap dengannya juga, nama pemain no.1 dunia itu tidak lekang di bibirnya dan pertuturannya seringkali membangkitkan kehebatan pemenang pingat perak temasya Olimpik 2008 itu.
"Saya mahu menjadi seperti Chong Wei... bermain untuk negara dan menang pelbagai kejuaraan.
"Saya juga mahu bermain di All England, Piala Thomas dan melakukan seperti apa yang telah dilakukan Chong Wei," tuturnya.
Itulah Ting Yiu yang merupakan salah seorang daripada lapan pemain badminton cilik yang terpilih menyertai program realiti Jaguh, terbitan TV9.
Jaguh mengenengahkan persediaan bakat-bakat muda yang mahu merealisasikan impian mereka menjadi pemain badminton terbilang suatu hari nanti.
Lapan bakat cilik ini bakal dididik oleh bekas pemain perseorangan negara yang kini jurulatih profesional badminton, Kwan Yoke Meng dan beberapa lagi jurulatih berpengalaman.
Program ini dilihat sebagai rancangan realiti pertama yang cuba membawa sukan badminton kepada golongan muda selari ketika Malaysia disegani dunia sebagai pengeluar atlet-atlet badminton yang bertaraf antarabangsa.
Menurut Ketua Pengurusan Penjenamaan Kumpulan TV9, Rozaina Zainul Abidin, Jaguh menjadi medium untuk mencungkil bakat dalam arena badminton bermula dari akar umbi lagi.
"Selari dengan sukan ini yang menjadi antara sukan paling digemari di negara ini, kami bawakan Jaguh untuk memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai persediaan menjadi juara sukan badminton.
"Sejak Disember lalu, mereka telah mula menjalani latihan intensif dan peluang cuti sekolah kali ini pula membuka peluang untuk mereka menjalani latihan lebih keras," kata Rozaina ketika majlis pelancaran program itu di ibu kota, baru-baru ini.
Sementara itu, bekas perseorangan utama negara ketika Malaysia menjulang Piala Thomas 1992 lalu, Yoke Meng mengakui, program sebegini bertepatan kerana membuka peluang kepada bakat cilik untuk meneroka kelebihan mereka.
"Untuk mencipta bakat seperti Chong Wei perlu dimulakan ketika mereka ini masih kecil lagi iaitu semenjak di bangku sekolah lagi.
"Sekarang, langkah kerajaan mewajibkan setiap pelajar sekolah menyertai satu jenis sukan merupakan langkah paling tepat untuk mencari bakat-bakat baru untuk negara.
"Malah dengan adanya program seperti Jaguh ini, kanak-kanak yang berbakat dalam sukan badminton mampu menerokai bakat mereka dengan lebih jauh dan siapa tahu, mungkin dalam masa beberapa tahun lagi, kita ada banyak pemain yang melangkaui tahap Chong Wei," jelasnya.
Program Jaguh akan bersiaran selama lapan episod bermula 26 Mac ini pada jam 9.00 malam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: