Tuesday, March 23, 2010

Cilik tidak gentar


Nasha dan Fitribakal membawa cabaran Cilik musim ini.


KALI pertama melihat dua pelumba Caviaga Cilik Racing Team, rasa kagum mula menular dalam diri. Mana tidaknya, masing-masing masih berusia 15 dan 16 tahun, tetapi begitu berani untuk mengendalikan motosikal dengan pantas.

Lebih mengagumkan, salah seorang pelumba pasukan tersebut adalah seorang gadis yang baru di tingkatan tiga.

Nasha Edziera Muhamad Bahauddin mula melibatkan diri dalam sukan lasak tersebut sejak berusia 12 tahun lagi.

Bagi penulis, riak wajah anak sulung kelahiran Tampin, Negeri Sembilan itu dilihat begitu lemah lembut, tidak seperti hatinya yang begitu 'keras' untuk berada di atas jentera yang memecut laju.

Itulah yang dikatakan 'jangan menilai seseorang berdasarkan raut wajahnya'.

Bagi Nasha, dia sebenarnya begitu teruja untuk beraksi bersama pelumba handalan kejohanan Cub Prix Petronas AAM Malaysia musim ini.

Baginya, kejohanan ini sangat bermakna kerana dia diberi peluang oleh Caviaga Cilik Racing Team untuk menjadi pelumba utama di samping Muhamad Fitri Ashraf Razali yang berusia 16 tahun.

"Saya berbangga kerana diberi kepercayaan oleh pengurus pasukan untuk menjadi pelumba utama pasukan ini di samping Fitri.

"Tahun lalu, saya sekadar menjadi pelumba simpanan dan kini saya berpeluang untuk membuktikan keupayaan serta mahu memberi yang terbaik," katanya yang akan beraksi untuk kategori Wira EPG.

Ayah Nasha, Bahauddin berkata, dia semenangnya menyokong minat anak sulungnya itu, meskipun sukan tersebut secara keseluruhannya dikuasai oleh kaum Adam.

Katanya, dia seboleh-bolehnya mahu memberi sokongan penuh kepada Nasha, setelah anaknya itu memilih sukan lasak tersebut.

"Saya mahu lihat dia berjaya dalam sukan ini. Malah kami sekeluarga sentiasa memberi sokongan penuh kepadanya," katanya yang menemani Nasha pada majlis pelancaran Caviaga Cilik Racing Team di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Pasukan tersebut mendapat tajaan daripada syarikat pengeluar minyak pelincir negara, C-Weld Lubricant Sdn. Bhd. (C-Weld Lubricant).

C-Weld Lubricant merupakan syarikat tempatan yang mengeluarkan minyak pelincir untuk semua jenis kenderaan, termasuk motosikal.

Dalam pada itu, pengurus pasukan, Razali Ahmad berkata, dia sangat yakin dengan kemampuan dua pelumba mudanya itu untuk mengharungi persaingan musim ini.

Katanya, pihak pasukan mensasarkan salah seorang pelumba tersebut mampu untuk menduduki tempat kelima keseluruhan bagi kategori Wira EPG.

Katanya, sasaran tersebut adalah realistik berdasarkan pengalaman yang dimiliki oleh Fitri sejak berkecimpung dalam sukan tersebut dua tahun lalu.

"Muhamad Fitri pernah menduduki tempat keempat bagi kategori LC 135cc dan tangga kesembilan untuk acara Wira EPG, musim lalu.

"Oleh itu, sasaran yang diletakkan ke atas pasukan baru ini adalah realistik dan berharap mampu mencipta kejutan," katanya.

Mengulas lanjut, Razali berkata, Caviaga Cilik Racing Team akan menggunakan jentera baru iaitu Modenas.

Katanya, pemilihan jentera tersebut adalah selaras dengan usaha pasukan untuk menyokong barangan keluaran Malaysia, selain ia memudahkan pihak penaja pasukan tersebut, C-Weld Lubricant melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) terhadap produk keluaran syarikat tersebut.

Namun begitu katanya, dia memerlukan sedikit masa untuk membangunkan pasukan tersebut sebelum menjadi sebuah pasukan terbaik di kejohanan Cub Prix Petronas AAM Malaysia.

"Pasukan ini turut mempunyai akademi sendiri dalam membentuk pelumba muda. Sehubungan itu, saya memerlukan sedikit masa untuk melahirkan pelumba berbakat dan muncul sebagai sebuah pasukan disegani," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: