BHARATANATYAM bukan calang-calang tarian. Sebagai salah satu bentuk seni tarian klasik India tertua yang berasal dari Tamil Nadu, ia lazimnya diiringi muzik klasik yang diilhamkan daripada ukiran patung kuil purba, Chidambaram.
Bharatanatyam merupakan gabungan maksud BHA - Bhava bermaksud ekspresi, RA - Raga (muzik) dan TA - Tala (rentak) yang merupakan bentuk tarian tradisi terkemuka disebabkan keindahan gaya, kelembutan dan keaslian gaya tarian tersebut.
Setiap penari profesional Bharatanatyam harus memiliki 10 kualiti penting iaitu Javaha (kelincahan), Sthirathvam (kestabilan), Rekha (kelembutan), Bhramari (keseimbangan), Drishti (lirikan mata), Shramaha (kerja keras), Medha (kebijaksanaan), Shraddha (pengabdian), Vacho (pertuturan baik) dan Geetam (bakat menyanyi).
Guru tarian berpengalaman lebih 20 tahun, Nathya Sironmani Guru Shrimathi S. Shamala berkata, penari amatur biasanya mengambil tempoh selama tiga hingga empat tahun untuk menguasai teknik yang betul, bergantung kepada fokus dan kesungguhan individu apatah lagi bentuk tarian itu cukup rumit dengan ratusan langkah dan gaya perlu dihafal.
Selain itu, katanya, penari juga harus menghayati lagu klasik yang mengiringi persembahan tarian kerana ia merupakan aspek terpenting dalam memahami maksud teknik juga simbol-simbol tertentu yang diwakili.
“Sesekali muncul satu atau dua penari berbakat yang berjaya menguasainya dengan pantas. Namun saya sungguh terkejut dan bangga apabila anak murid paling kecil mampu berbuat demikian hanya dalam tempoh sesingkat satu tahun!,” ujarnya ketika ditemubual Mingguan mStar di Brickfields, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Kanak-kanak berbakat besar yang dimaksudkan itu adalah P. Kathiyainie, 9 tahun. Lagaknya persis penari profesional berkeyakinan dengan pengalaman berpuluh tahun apabila membuat persembahan di atas pentas.
Murid Tahun Tiga Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Jalan Cheras itu mengejutkan Shamala dengan keanggunan gaya tarian disulami ketepatan teknik sambil menghayati muzik klasik yang belum ditentu difahami kanak-kanak itu sendiri disebabkan penggunaan dialek berbeza seperti Telugu dan Kannada selain Tamil.
“Kathi memiliki bakat kurniaan Tuhan. Dalam 50 penari, hanya 20 betul-betul bagus tetapi tidak semestinya berbakat semula jadi. Kenapa saya kata begitu? Kerana pada usia semudanya, Kathi mampu mempersembahkan tarian menerusi tujuh lagu berbeza dan memahami pergerakan yang datang dengan setiap bait-bait lirik lagu klasik berkenaan walaupun dia tidak faham dialek tersebut,” kata Shamala.
Menurut bapanya, P. Puspanathan, 39, anak sulungnya itu tidak berhenti-henti menari jika berada di rumah. Jika disuruh mandi, dia akan menari sehingga ke bilik air, jika diminta mengambil sesuatu dia akan menari untuk mendapatkan barang tersebut.
Puspanathan turut berbangga dengan Kathiyainie yang senantiasa dipuji kerana stamina, fokus dan disiplin ketika mengikuti latihan dan melakukan persembahan di atas pentas.
Malah berbanding kanak-kanak lain yang selalunya kaku atau melakukan kesilapan kerana terlalu gemuruh berdepan penonton ramai, Kathiyainie akan tampil dengan memberi 100 peratus kesungguhan seperti sudah berpengalaman lama dalam bidang itu.
Pada masa sama, dia tidak pernah mengabaikan tanggung jawab sebagai murid, tekun mengulang kali pelajaran dan suka menyiapkan kerja rumah dengan pantas sekali pun cuti sekolah.
“Kami melatih Kathi mengimbangi pelbagai aktiviti selain akademik sejak Tahun Satu agar dia tidak leka dan membuang masa dengan menonton televisyen atau bermain komputer seperti kanak-kanak sekarang.Bharatanatyam bukan sahaja mengajarnya disiplin malah ia merupakan impian saya dan isteri, G. Athiletchumi, 35, untuk melihat Kathi mengejar impian menjadi penari klasik profesional,” jelas jurugambar akhbar The Star yang juga bapa kepada dua orang anak itu.
Selain mengikuti kelas tarian Bharatanatyam seminggu sekali selama dua setengah jam setiap petang Sabtu, Kathiyainie turut mengikuti program Smart Reader selama tiga jam pada pagi Sabtu, kelas renang dan kelas keagamaan setiap hari Ahad.
Kerumitan teknik tarian Bharatanatyam diperjelaskan menerusi Abhinaya atau Natya iaitu seni dramatik menceritakan sesebuah kisah dalam Bharatanatyam. Antaranya adalah pergerakan tulen Nritta, sebagai medium visual menggambarkan rentak tarian.
Karana pula merupakan 108 kunci pergerakan transisi yang melambangkan ciri-ciri Bharatanatyam dan kebanyakan tarian klasik India lain. Sebahagian besar daripadanya merangkumi gaya statik sebagai asas di mana penari perlu berhenti dan mengekalkan gaya itu selama 0.5 saat.
Hasta merangkumi pergerakan tangan penuh ekspresif sebagai kaedah berkomunikasi. Hasta merujuk kepada kepelbagaian simbol tangan yang boleh digunakan penari.
Kebanyakan pergerakan ini cukup terkenal seperti Anjali yang sering digunakan sebagai salutasi apabila menegur individu lain.
Sementara Adavu mewakili siri langkah yang merupakan komponen penting Bharatanatyam. Kebanyakan sekolah tarian mengiktiraf 108 prinsip adavu manakala sebahagian lagi melibatkan lebih 150 adavu. Selain itu terdapat elemen yang tidak kurang penting, seperti pergerakan kepala dan mata dramatik.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: