KUARANTIN pemain mungkin menjadi pilihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam usaha mengembalikan semula kejuaraan Piala Thomas 9-16 Mei depan yang kali terakhir dimenangi pada 1992.
TAK MENJADI...aksi Kien Keat (kanan) dan Boon Heong pada final Terbuka Switzerland, kelmarin.
Selepas melihat hanya Lee Chong Wei 'menjadi' setakat ini di samping 'gerhana' yang menyelubungi pemain beregu, apa salahnya tindakan tegas diambil bagi membentuk disiplin pemain.
Setiausaha Kehormat BAM, Ganga Rao membayangkan kemungkinan 'mengurung' pemain bagi memastikan mereka fokus kepada persiapan dan mengelakkan gangguan luaran yang boleh menjejas semangat sepasukan.
Biarpun sedar mengenai kemampuan beregu utama Koo Kien Keat/Tan Boon Heong, kegagalan mereka di dua tugasan terakhir di Eropah mencetuskan kebimbangan. “Saya tunggu Rexy (Mainaky) tiba dulu, selepas itu kami akan berbincang mengenai apa tindakan seterusnya perlu diambil, dan saya mahu tahu apa masalah yang dihadapi pemain.
“Malah kita akan berbincang dengan semua jurulatih untuk mencari jalan terbaik dan mengatur strategi kerana pemain negara lain mula menunjukkan peningkatan,” kata Ganga yang ditemui di Stadium Juara, Bukit Kiara.
| |
Mengulas mengenai prestasi beregu kedua, Fairuzizuan Tazari/Zakry Latiff, Ganga tidak menolak kemungkinan meminta jurulatih memberi tumpuan khusus kepada mereka.
“Fairuz dan Zakry sebenarnya masih bagus, cuma mungkin ada antara mereka mempunyai terlalu banyak tanggungjawab di luar gelanggang. Jadi saya akan cadangkan kepada jurulatih supaya kuarantin pemain. Masa makin suntuk dan saya fikir sudah tiba masa untuk serius, saya tidak mahu mereka main-main lagi,” katanya.
Bagi perseorangan, biarpun belum mengeluarkan senarai akhir pemain, BAM seakan pasti menggunakan pemain berpengalaman seperti Wong Choong Hann dan Muhd Hafiz Hashim selain menyenaraikan pemain muda seperti Chan Kwong Beng atau Tan Chun Seang buat kali pertama.
Namun yang mendukacitakan adalah tiada keputusan memberangsangkan dihasilkan pemain ini, baik daripada Choong Hann dan Hafiz biarpun BAM mendakwa pemain ini menunjukkan peningkatan.
Mungkin ada baiknya BAM melakukan eksperimen 'mengurung' pemain supaya hanya fokus kepada persediaan Piala Thomas berbanding aktiviti sosial untuk tempoh dua bulan terakhir ini.
BAM perlu menyerahkan senarai akhir pemain kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selewat-lewatnya dua minggu sebelum kejohanan bermula.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: