MENGANGKAT kisah percintaan dan bisnes batu arang yang jarang ditonjolkan pembikin drama, Glowing Embers yang bersiaran menerusi saluran ntv7 sejak 10 Mac lalu pada pukul 10 malam, nyata menjadi pertaruhan terbaru stesen televisyen tersebut.
Masakan tidak, berlatar belakang industri arang batu yang agak terkenal di Taiping, Perak, drama tersebut menampilkan jalan cerita yang padat dengan babak-babak mendebarkan.
Menurut Penerbit Eksekutif Glowing Embers, Dannis Chow, drama ini sarat dengan kisah cinta, pengkhianatan dan penipuan yang cukup licik.
"Kisah bermula apabila sekumpulan rakan yang membesar bersama di Kuala Sepetang, Taiping menjadikan relau batu arang, hutan bakau, sungai-sungai serta kilang membina perahu tradisi sebagai tempat permainan mereka.
"Namun, apabila terbit perasaan dengki dan cemburu, adakah jalinan persahabatan yang mereka pupuk akan berkekalan.
"Mungkinkah juga keluarga dan orang tersayang akan terkorban hanya kerana perasaan dengki yang terbit di kalangan mereka sendiri," katanya yang menghuraikan serba sedikit tengan plot cerita tersebut.
Tambah Dannis, Glowing Embers yang menelan kos kira-kira RM2 juta itu turut menceritakan konflik perebutan wang dan kuasa yang menjadi titik utama drama ini.
"Melalui kisah hidup Yao Feng dalam drama ini, kita dapat mempelajari bahawa wang boleh mengubah kehidupan seseorang itu. Yao Feng didorong keinginannya untuk mendapatkan lebih banyak wang dan dia sanggup memusnahkan kehidupannya sendiri, anak lelakinya dan juga mengorbankan lelaki yang paling disayanginya," jelasnya.
Drama 24 episod tersebut dibarisi oleh pelakon terkenal berketurunan Cina termasuk Debbie Goh, Frederick Lee, Wymen, Wang Jun, Yenn Teoh, Henley Xu, Melvin Sia, Roby, Jamie dan Pei Jie.
Sementara itu, Pengurus Besar ntv7, Airin Zainul, berkata, pihaknya teruja dengan Glowing Embers kerana jalan cerita yang mengagumkan.
"Ini merupakan kali pertama sebuah drama Cina tempatan telah menggunakan lokasi sekitar Taiping. Kami juga yakin Glowing Embers akan menguatkan lagi strategi untuk menawarkan drama tempatan yang terbaik untuk penonton kami," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: